Presiden AS Donald Trump telah menyatakan kemungkinan perubahan rejim di Iran selepas pesawat Amerika menjatuhkan bom “bunker buster” di tapak nuklear utama Tehran hujung minggu lalu.
Pendirian Trump bercanggah dengan kenyataan Naib Presiden JD Vance dan Menteri Pertahanan Pete Hegseth, yang mendakwa AS tidak berniat menggulingkan kerajaan Iran.
"Bahasa yang betul bukanlah istilah 'perubahan rejim', tetapi jika rejim Iran sekarang tidak mampu menjadikan Iran hebat semula, mengapa tidak ada perubahan rejim??? MIGA!!!" tulis Trump di platform media sosialnya, sebahagiannya menggunakan huruf besar sambil membuat kiasan kepada gerakan MAGA-nya.
Trump pernah berjanji semasa kempen untuk tidak melibatkan AS dalam peperangan asing. U-turn dalam pendiriannya ini mengecewakan golongan pro-isolationist dalam Parti Republikan yang ingin mengelakkan tentera AS terlibat dalam peperangan di negara jauh atas nama negara lain.
Pada masa lalu, AS telah melaksanakan perubahan rejim di banyak negara, yang kebanyakannya mengakibatkan kesan tidak diingini seperti ketidakstabilan politik, keganasan etnik, dan konflik sektarian.
Berikut adalah senarai ringkas perubahan rejim yang disokong AS sejak Perang Dunia II, yang membawa kepada perang saudara jangka panjang atau mengukuhkan kumpulan yang memusuhi kepentingan AS.
Iran – 1953
Dengan sokongan UK, AS memainkan peranan besar dalam menggulingkan kerajaan demokratik Perdana Menteri Mohammad Mossadegh pada 1953.
AS memasang monarki pro-Barat di bawah Shah Mohammad Reza Pahlavi, terutamanya untuk melindungi kepentingan minyak Barat dan menentang pengaruh Soviet di Iran.
Rampasan kuasa yang dirancang CIA melibatkan rasuah, propaganda, dan keganasan gerombolan.
Walaupun AS berjaya menggantikan Mossadegh dengan Shah, rampasan kuasa itu menimbulkan dendam berpanjangan terhadap AS di kalangan rakyat Iran.
Shah memerintah Iran dengan kuku besi sehingga 1979, apabila revolusi pimpinan pemimpin agama Ruhollah Khomeini menjatuhkan monarki dan menubuhkan kerajaan yang tegas anti-AS.
Rampasan kuasa 1953 sering disebut sebagai pencetus sentimen anti-AS di Timur Tengah.
Guatemala – 1954
Pada 1954, AS merancang penyingkiran Presiden Jacobo Arbenz yang dipilih secara demokratik, yang dianggap sebagai ancaman komunis kerana reformasi tanahnya mengancam kepentingan perniagaan AS.
CIA menggunakan perang psikologi, propaganda, dan pasukan askar upahan pimpinan pegawai tentera Carlos Castillo Armas untuk menggulingkan kerajaan Arbenz.
Walaupun rampasan kuasa itu berjaya dan Armas mengambil alih kuasa dengan sokongan AS, campur tangan rahsia itu mencetuskan lebih tiga dekad perang saudara (1960–1996), mengakibatkan kira-kira 200,000 kematian dan pelanggaran hak asasi manusia yang meluas.
Daripada membawa Guatemala ke dalam pengaruh AS, ketidakstabilan politik mengukuhkan kumpulan kiri dan meningkatkan sentimen anti-Amerika di Amerika Latin.
Cuba – 1961
AS cuba menggantikan kerajaan komunis Fidel Castro pada 1961 dengan rejim pro-AS, merancang "serangan" oleh pelarian Cuba yang dilatih CIA.
Serangan itu gagal dalam beberapa hari apabila pasukan Cuba mengalahkan pelarian tersebut. Kejayaan ini mengukuhkan Castro, yang memperkukuh kuasa dan hubungan dengan Kesatuan Soviet.
Rampasan kuasa yang gagal itu membawa kepada Krisis Peluru Berpandu Cuba 1962, ketika dunia hampir mengalami perang nuklear sepenuhnya.
Vietnam Selatan – 1963
AS merancang dan melaksanakan penyingkiran Presiden Ngo Dinh Diem pada 1963, yang didakwa merosakkan usaha Washington menentang komunisme di negara itu
Vietnam Selatan – 1963
CIA membantu para jeneral Vietnam Selatan menggulingkan presiden mereka sementara Duta AS Henry Cabot Lodge Jr membiayai operasi tersebut.
Walaupun jeneral-jeneral tersebut berjaya menggulingkan dan membunuh presiden mereka, rampasan kuasa ini mencipta kekosongan atau vakum dalam politik yang melemahkan kerajaan Vietnam Selatan sekaligus mengukuhkan pemberontakan Viet Cong.
Ketidakstabilan ini membuka jalan untuk peningkatan penglibatan tentera AS, yang mengakibatkan lebih 58,000 kematian tentera AS bersama jutaan korban rakyat Vietnam.
Seperti rampasan kuasa di Iran dan Guatemala, perubahan rejim yang disokong AS ini memporak-perandakan Vietnam Selatan dan merosakkan kepentingan jangka panjang Amerika di rantau tersebut.
Iraq – 1963
AS secara aktif menyokong rampasan kuasa Parti Baath pada 1963 terhadap Perdana Menteri Abd al-Karim Qasim yang pro-komunis dan enggan menyertai Republik Arab Bersatu yang berpihak kepada AS.
AS memainkan "peranan penting" dalam rampasan kuasa 1963 ini, yang digambarkan sebagai "salah satu operasi CIA paling rumit dalam sejarah Timur Tengah".
Qasim dibunuh, dan Parti Baath mengambil alih kuasa buat sementara waktu. Namun pemerintahan Baath kedua di bawah Saddam Hussein (1979-2003) mengubah Iraq menjadi musuh AS dan membawa kepada peperangan, penindasan serta ketidakstabilan serantau.
Afghanistan – 1979-89
AS membekalkan senjata kepada mujahidin Afghanistan pada 1980-an untuk menggulingkan kerajaan komunis yang diletakkan oleh Soviet dan menentang pengaruh Kremlin semasa Perang Dingin.
CIA secara rahsia menyalurkan berbilion dolar bantuan, senjata dan latihan, yang akhirnya membawa kepada pengunduran Soviet dari Afghanistan pada 1989.
Namun, penglibatan AS ini mencetuskan perang saudara (1989-96) di Afghanistan yang membantu Taliban merebut kuasa. Sementara itu, Al Qaeda bertapak di rantau tersebut, membawa kepada pencerobohan AS pada 2001 dan keruntuhan ketenteraman awam selama dua dekad berikutnya.
Iraq – 2003
AS menyerang Iraq pada 2003 untuk menggulingkan rejim Saddam Hussein dengan alasan memiliki senjata pemusnah besar-besaran (WMD). Amerika bercadang menggantikan rejim Saddam dengan apa yang didakwa sebagai demokrasi pro-Barat.
Walaupun Washington berjaya menjatuhkan rejim tersebut dengan pantas, tiada sebarang WMD ditemui. Pencerobohan ini mencetuskan pemberontakan apabila keganasan sektarian melanda negara dan kumpulan bersenjata melancarkan serangan terhadap tentera AS.
Dalam masa yang sama, kumpulan pengganas seperti Daesh membina pengaruh di kawasan tidak terkawal, merosakkan kestabilan seluruh rantau.
Lebih 4,400 tentera AS dan ratusan ribu rakyat Iraq terbunuh, dengan Iraq terus berada dalam keadaan tidak stabil selama bertahun-tahun.