Seorang pegawai kanan Israel berkata rejim Zionis itu mungkin akan mentadbir Gaza “untuk satu tempoh” selepas peperangan kejamnya, dan menolak sebarang usaha untuk mengembalikan kuasa kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) di wilayah terkepung itu.
“Mesti ada sistem pentadbiran di Gaza untuk menguruskan kehidupan harian. Kami mungkin akan berada di sana untuk satu tempoh masa,” kata pegawai yang enggan dinamakan itu kepada portal berita Israel, Walla.
Pegawai itu merupakan sebahagian daripada delegasi yang mengiringi Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dalam lawatannya ke Amerika Syarikat.
“Jika kami tidak berada di sana pada peringkat awal, kami tidak dapat memastikan kuasa dapat diserahkan kepada pihak lain,” katanya tanpa menamakan mana-mana kumpulan secara khusus.
Walaupun menyatakan bahawa sistem pemerintahan itu akhirnya akan dikendalikan oleh rakyat Palestin, beliau menegaskan “Pihak Berkuasa Palestin tidak akan mentadbir Gaza.”
Media Israel sebelum ini melaporkan Tel Aviv sedang mempertimbangkan satu pentadbiran bersama yang melibatkan negara Arab dan badan antarabangsa bagi mentadbir Gaza selepas peperangan, dalam usaha menghalang Hamas atau PA berkuasa.
“Syarat utama untuk menamatkan perang ialah ketiadaan Hamas di Gaza. Gaza mesti lucut senjata dan pemimpinnya dibuang negeri,” katanya, sambil menambah bahawa “kuasa lain akan mengambil alih wilayah tersebut dan menghalang penggunaan senjata.”
Israel mendakwa serangan ketenteraan yang sedang berlangsung bertujuan melumpuhkan struktur ketenteraan Hamas dan menyingkirkannya dari tampuk kuasa.
Pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza
Israel telah melancarkan pembunuhan beramai-ramai di Gaza sejak Oktober 2023.
Lebih 57,500 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dilaporkan terbunuh.
Menurut agensi berita rasmi Palestin WAFA, dianggarkan 11,000 orang dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan.
Namun, ramai penganalisis percaya angka kematian yang sebenar jauh lebih tinggi daripada yang dilaporkan oleh pihak berkuasa Gaza, dengan anggaran mencecah sekitar 200,000 orang.
Washington memperuntukkan AS$3.8 bilion dana ketenteraan kepada sekutunya, Israel setiap tahun.
Sejak Oktober 2023, Amerika Syarikat telah membelanjakan lebih AS$22 bilion bagi menyokong pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza dan peperangan di negara-negara jiran.
Walaupun beberapa pegawai kanan AS mengkritik Israel berhubung kadar kematian orang awam yang tinggi di Gaza, Washington setakat ini masih enggan mengenakan sebarang syarat terhadap penghantaran senjata.
Pada November, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Dalam kes berasingan, Israel turut berdepan saman genosid yang difailkan oleh Afrika Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kempen ketenteraan di wilayah bergolak itu.
SUMBER: TRT World & Agensi