Dalam beberapa minggu terakhir, gelombang panas yang teruk telah melanda beberapa bahagian Eropah, Asia, dan Amerika Utara, mendorong suhu jauh melebihi purata musim dan memaksa kerajaan bertindak segera.
Eropah selatan dalam keadaan berjaga-jaga
Greece antara negara paling teruk terjejas, dengan suhu mencecah lebih 40°C. Pihak berkuasa telah menguatkuasakan waktu rehat wajib pada waktu tengah hari untuk pekerja luar dan penghantar makanan, selain menggalakkan kerja dari rumah bagi mengelak penyakit berkaitan panas. Pasukan bomba negara itu juga berada dalam keadaan siaga tinggi kerana risiko kebakaran hutan yang meningkat.
Di Balkan, termasuk Albania, Bosnia, Serbia, dan Kosovo, gelombang panas ini memburukkan lagi keadaan kemarau. Albania terpaksa mengalihkan air sungai untuk menyelamatkan ladang yang kering, manakala Serbia mengenakan sekatan air di kawasan luar bandar. Pengeluaran tenaga hidroelektrik di rantau ini merosot mendadak, memaksa negara-negara meningkatkan import elektrik.
China keluarkan amaran panas tahap maksimum
Di timur dan tengah China, sekurang-kurangnya 28 wilayah termasuk wilayah Shandong dan Henan telah dikenakan amaran panas tahap tertinggi. Beberapa kawasan seperti bandar pantai Qingdao mencatat suhu melebihi 40°C.
Permintaan elektrik melonjak ke tahap tertinggi dalam sejarah, dan beberapa universiti membuka perpustakaan berhawa dingin 24 jam sebagai tempat perlindungan. Seorang pekerja asrama meninggal dunia dan seorang pelajar dimasukkan ke hospital akibat strok haba, menimbulkan kebimbangan tentang kesiapsiagaan menghadapi cuaca melampau.
Pada 2022, China dilanda gelombang panas terburuk sejak 1961, dengan banyak kawasan mengalami suhu tinggi selama 79 hari dari pertengahan Jun hingga akhir Ogos. Menurut laporan 2023 dalam jurnal perubatan The Lancet, kira-kira 50,900 kematian berkaitan gelombang panas dilaporkan di China tahun itu.
India, Pakistan berdepan cuaca panas terik
Asia Selatan juga terus mengalami tahap panas berbahaya. Di India, beberapa bahagian Rajasthan, Delhi, dan Uttar Pradesh mengalami suhu hampir 45°C selama berminggu-minggu.
Hospital melaporkan peningkatan kes strok haba, manakala sekolah di beberapa daerah mengubah waktu operasi atau ditutup sepenuhnya. Hospital di Delhi mencatatkan lonjakan kes berkaitan panas, dengan Hospital Ram Manohar Lohia merawat hampir 50 pesakit strok haba dalam beberapa hari sahaja.
Data nasional dari Pusat Kawalan Penyakit Kebangsaan (NCDC) India merekodkan 110 kematian disahkan akibat strok haba dan lebih 40,000 kes antara Mac hingga pertengahan Jun 2025, dengan Uttar Pradesh (36 kematian), Bihar (17), dan Rajasthan (16) mencatatkan kes tertinggi.
Di jiran Pakistan, bandar Jacobabad – antara tempat paling panas di Bumi – mencatat suhu 48°C selama sekurang-kurangnya 20 hari setakat 2025. Kerajaan telah mengeluarkan nasihat kesihatan awam menggesa orang ramai berada di dalam rumah pada waktu puncak panas.
Amerika Syarikat, Mexico
Satu kubah panas atau heat dome yang kuat sedang terbentuk di barat AS dan utara Mexico, membawa suhu yang amat tinggi dan memburukkan lagi risiko sedia ada.
Death Valley sudah mengalami panas teruk di awal musim, dengan bahaya kebakaran disebabkan brek kenderaan yang terlalu panas dan mencatat 38°C pada Mac – petanda trend membimbangkan suhu purata yang semakin tinggi.
Satu gelombang panas besar diramalkan akan meningkatkan suhu siang hari melebihi 43°C di kawasan pedalaman California, Arizona, dan Nevada sehingga pertengahan minggu.
Di Mexico, Perkhidmatan Meteorologi Kebangsaan (SMN) melaporkan gelombang panas meluas di banyak negeri pada pertengahan Mei, dengan suhu melebihi 45°C di Coahuila, Nuevo Leon, Tamaulipas, San Luis Potosi, Michoacan, Guerrero, dan lain-lain. Ibu negara Mexico City mencatat suhu sekitar 30–35°C dalam tempoh ini.
Krisis iklim membawa parah
Pakar menyatakan kekerapan dan keparahan gelombang panas semakin meningkat akibat krisis iklim. Menurut Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah, Jun 2025 merupakan bulan Jun paling panas pernah direkodkan secara global, menandakan bulan ke-13 berturut-turut suhu global memecahkan rekod.
Tindakan kerajaan dan amaran
Kerajaan di kawasan terjejas telah mengeluarkan nasihat awam, membuka pusat penyejukan, dan di beberapa tempat, menghadkan kerja luar. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran kumpulan rentan seperti warga tua, kanak-kanak, dan pekerja luar lebih berisiko.
Dengan gelombang panas tiada tanda akan reda, ahli meteorologi memberi amaran suhu melampau akan berterusan dalam minggu-minggu mendatang di beberapa bahagian Eropah, Asia, dan Amerika Utara.