Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengarahkan pihak tenteranya melancarkan serangan “lebih hebat” ke atas ibu negara Iran, Tehran, sambil menuduh Iran melanggar gencatan senjata antara dua musuh ketat itu.
“Saya telah mengarahkan IDF (tentera), dengan penyelarasan bersama Perdana Menteri, untuk meneruskan aktiviti serangan lebih hebat di Tehran bagi meneutralkan sasaran rejim dan infrastruktur pengganas di Tehran, susulan operasi semalam,” kata Katz dalam satu kenyataan yang dipetik oleh akhbar Yedioth Ahronoth.
Katz mendakwa beliau mengeluarkan arahan itu “berdasarkan pelanggaran mutlak terhadap gencatan senjata yang diisytiharkan Presiden Amerika Syarikat oleh pihak Iran dan pelancaran peluru berpandu ke arah Israel.”
Kenyataan ini dibuat tidak lama selepas tentera Israel memaklumkan kepada orang ramai bahawa mereka kini selamat untuk keluar dari tempat perlindungan.
Sebelum itu, pihak tentera mendakwa siren serangan udara berbunyi di utara Israel pada Selasa selepas satu lagi serangan peluru berpandu dari Iran dikesan — hanya beberapa jam selepas Donald Trump mengumumkan gencatan senjata.
Iran nafi langgar gencatan senjata
Iran bagaimanapun menafikan dakwaan Israel bahawa ia telah melancarkan peluru berpandu ke arah Israel selepas bersetuju dengan gencatan senjata, menurut penyiar IRIB dan agensi berita ISNA.
Pelanggaran yang didakwa itu berlaku tidak lama selepas Israel mengumumkan bahawa ia bersetuju dengan gencatan senjata dua hala bersama Iran, berdasarkan cadangan yang dikemukakan oleh Trump.
Trump pada Isnin berkata Israel dan Iran telah bersetuju dengan satu gencatan senjata yang “Sepenuhnya” dan “Menyeluruh”, sekali gus menamatkan “Perang 12 Hari” yang bermula dengan serangan Israel ke atas kemudahan nuklear Iran dan beberapa lokasi lain pada 13 Jun.
Iran kemudiannya bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu. Susulan itu, AS turut membedil tiga tapak nuklear Iran pada awal pagi Ahad.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Pangkalan Udara Al Udeid milik tentera AS di Qatar pada malam Isnin.
Gencatan senjata berkuat kuasa pada jam 0400 GMT hari Selasa, dengan Trump menyeru kedua-dua pihak agar tidak melanggarnya.
SUMBER: TRT World & Agensi