Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio dan Menteri Luar China Wang Yi mengadakan pertemuan yang disifatkan sebagai “positif” di Malaysia, menurut kenyataan kedua-dua pihak, dalam usaha untuk meredakan ketegangan antara dua kuasa besar dunia itu.
Pertemuan secara bersemuka pertama antara Rubio dan Wang pada Jumaat – sejak Presiden AS Donald Trump kembali memegang jawatan – berlangsung di tengah-tengah pertikaian berterusan antara Washington dan Beijing melibatkan isu perdagangan, Taiwan serta perebutan pengaruh di rantau ini.
“Saya fikir ia adalah pertemuan yang sangat konstruktif dan positif,” kata Rubio kepada pemberita selepas perbincangan selama sejam di Kuala Lumpur, namun menegaskan bahawa “ia bukan satu rundingan”.
“Saya rasa ada beberapa bidang yang kami boleh bekerjasama.”
Rubio turut menyatakan keyakinan bahawa pertemuan antara Presiden Trump dan Presiden China Xi Jinping akan diadakan.
“Ada keinginan yang kuat dari kedua-dua pihak untuk menjadikannya realiti,” kata Rubio, namun menambah bahawa tiada tarikh ditetapkan setakat ini.
Beijing dalam satu kenyataan berasingan berkata, “kedua-dua pihak bersetuju bahawa pertemuan itu adalah positif, pragmatik dan konstruktif”.
Kedua-dua negara bersetuju untuk “meningkatkan komunikasi dan dialog melalui saluran diplomatik… serta meneroka bidang kerjasama baharu sambil menguruskan perbezaan pendapat”, menurut Kementerian Luar China.
Pertemuan antara Wang dan Rubio – yang dikenali sebagai tokoh anti-China yang tegar – berlangsung ketika menteri-menteri luar ASEAN mengadakan rundingan intensif di Kuala Lumpur selama tiga hari.
Diplomat tertinggi dari Rusia, Kesatuan Eropah, Britain dan Kanada turut hadir.
Dua ekonomi terbesar dunia itu kini terlibat dalam perang perdagangan apabila mereka saling mengenakan tarif dan sekatan perdagangan ke atas barangan masing-masing.