Hampir separuh penduduk Amerika Syarikat - kira-kira 161 juta orang - berdepan gelombang haba "sangat berbahaya" dengan suhu mencecah lebih 38°C di sepanjang Pantai Timur, termasuk New York, Philadelphia dan Washington, DC.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS (NWS) memberi amaran gabungan haba dan kelembapan akan mendorong indeks haba - suhu "rasa seperti" - setinggi 43°C di beberapa kawasan Timur Laut.
Di Bandar New York, suhu meningkat kepada 37°C, mencatat hari terpanas di bandar itu sejak 2012.
Berhampiran Newark, New Jersey mencatat 39.4°C, manakala Philadelphia mencapai 38°C.
"Haba sebegini amat berbahaya dan tidak boleh dipandang ringan," kata NWS sambil menasihati penduduk mengelak aktiviti lasak dan kekal terhidrat.
Gelombang haba ini mencetuskan gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan lebih 34,000 rumah di daerah Bronx, New York, memaksa pembekal tenaga Con Edison menggesa pelanggan mengurangkan penggunaan elektrik.
Kawasan awam di beberapa bandar hampir sunyi menjelang tengah hari.
Di Washington, Perkhidmatan Taman Negara menutup Monumen Washington atas alasan "haba melampau di kawasan DC."
Syarikat kereta api Amtrak mengumumkan pengurangan kelajuan di laluan Pantai Timur akibat suhu ekstrem, dengan memberi amaran tentang kelewatan.
'Kubah haba'
Suhu tinggi ini sebahagian daripada corak cuaca dikenali sebagai "kubah haba" - sistem tekanan tinggi yang memerangkap udara panas berhampiran permukaan, meningkatkan tahap haba selama beberapa hari.
Ahli meteorologi dan pakar iklim menyatakan fenomena sedemikian semakin kerap, panjang dan kuat akibat pemanasan global.
Tahun 2024 merupakan tahun terpanas direkodkan secara global, dengan 2025 diunjurkan antara tiga teratas.
Haba melampau merupakan punca utama kematian berkaitan cuaca di AS, mengatasi taufan, banjir dan puting beliung.