Pada 3 Julai, The New York Times menerbitkan artikel yang kelihatan seperti pendedahan politik yang agak biasa. Namun menjelang senja, ia menjadi topik kontroversi - bukan tentang subjeknya, Zohran Mamdani, tetapi tentang akhbar itu sendiri.
Artikel kontroversial itu memfokuskan pada satu fakta dari masa lalu Mamdani: permohonan masuk ke Universiti Columbia tahun 2009 ketika berusia 17 tahun di mana beliau menanda dua kotak identiti kaum - "Asia" dan "Hitam atau Afrika Amerika". Beliau tidak diterima di Columbia.
Pada NYT, pendedahan ini adalah sesuatu yang signifikan, dengan menyatakan Mamdani kini mengenalpasti sebagai warga Amerika keturunan India-Uganda tetapi tidak sebagai Hitam.
Biasanya, kisah sebegini mungkin akan tenggelam dalam kitaran berita, tetapi konteks penerbitannya mencetuskan bantahan yang masih menjadi topik perbualan di media sosial AS.
Mamdani, 33, kini adalah calon Demokrat untuk jawatan Datuk Bandar New York dan ahli dewan undangan negeri dari Queens. Dilahirkan di Uganda oleh ibu bapa Asia Selatan, beliau berpindah ke New York pada usia tujuh tahun.
Beliau menjadi warganegara AS pada 2018. Sebagai seorang Muslim dan sosialis demokratik, Mamdani telah menggugat pusat-pusat kuasa politik tradisional bandar itu.
Artikel NYT kononnya adalah sebagai tinjauan fakta tentang masa lalunya - satu perkara "rutin" pengawasan politik. Tetapi pengkritik cepat menegaskan bahawa butiran yang difokuskan itu bersumber dari dokumen kemasukan universiti yang digoddam.
Dokumen tersebut dibocorkan kepada NYT oleh sumber tanpa nama yang hanya digambarkan sebagai "pengkritik akademik tindakan afirmatif".
Dalam masa 24 jam selepas penerbitan, sumber itu dikenal pasti secara terbuka.
Cremieux, seperti yang dirujuk dalam artikel, didedahkan oleh The Guardian sebagai Jordan Lasker, penulis Substack yang terkenal mempertahankan sains perkauman dan mempromosikan pandangan yang mengaitkan bangsa dengan kecerdasan.
Tulisan Lasker sering merujuk kajian yang memperdebatkan hierarki kaum dalam IQ, dan beliau dikaitkan dengan ekosistem dalam talian sayap kanan ekstrem.
Artikel 'keji'
"Mengapa berikan dia kerahsiaan sedangkan pandangannya sudah ada dalam rekod awam?" soal Jane Kirtley, profesor etika media di University of Minnesota kepada Columbia Journalism Review (CJR).
"Ada unsur manipulasi di sini, dan NYT sepatutnya menjangkanya."
Pada pengkritik, keputusan NYT menerbitkan artikel itu bukan sahaja dipertikaikan dari segi etika tetapi juga bermotifkan politik.
Lembaga editorial akhbar itu, yang tidak lagi menyokong calon tempatan, sebelumnya telah mengeluarkan editorial pedas tentang pencalonan Mamdani, secara efektif menggesa pengundi tidak menyokongnya.
Penerbitan kisah permohonan universiti itu, hanya beberapa minggu sebelum pemilihan pendahuluan Demokrat, ditafsirkan secara meluas sebagai usaha terancang untuk melemahkan calon utama yang ditakuti establishment.
Tokoh awam cepat bertindak balas. Penganalisis politik AS Keith Olbermann menyifatkan artikel itu sebagai "keji".
Suara media terkemuka lain di X dan Reddit menuduh NYT memutihkan pseudosains perkauman untuk tujuan cemuhan politik.
Frasa "NYT smear" menjadi topik utama di X selama tiga hari.
Malah di dalam NYT sendiri ada bantahan.
Jamelle Bouie, kolumnis terkemuka akhbar itu, menyiarkan kritikan terhadap artikel tersebut sebelum memadamnya, dilaporkan kerana tekanan akibat peraturan media sosial akhbar.
Bantahan itu melimpah ke kempen Mamdani. Tetapi bukan seperti yang dijangkakan NYT.
Sumbangan meningkat, kata pengurus kempen. Sumbangan dolar kecil melonjak lebih 20 peratus dalam tiga hari selepas penerbitan. Sukarelawan mendaftar dengan kadar lebih tinggi.
Tinjauan dalaman yang dikongsi dengan wartawan menunjukkan peningkatan sokongan dalam kalangan pengundi muda dan komuniti diaspora Afrika dan Asia Selatan.
Dalam beberapa wawancara dengan media tempatan, pengundi melihat artikel NYT sebagai "gangguan", "terdesak", dan "peringatan tentang siapa yang mengawal naratif".
"Saya tak ada masalah dengan cara dia mengenal pasti dirinya," kata Curtis Sliwa, calon Republikan yang bertanding dengan Mamdani, kepada Fox News.
Isi kosong
Mamdani sendiri berkata: "Saya menanda pelbagai kotak untuk menggambarkan latar belakang saya sepenuhnya. Walaupun kotak ini membataskan, saya mahu permohonan universiti saya mencerminkan siapa saya."
Pengkritik mengatakan persoalan sebenar bukan tentang kategori kaum dalam borang universiti, tetapi tentang kuasa: siapa yang dibenarkan menggunakan identiti Amerika dengan kompleksiti, dan siapa yang dihukum kerananya.
Bagi ramai, kisah ini menjadi bumerang bukan hanya kerana tiada isi, tetapi kerana ia mendedahkan bagaimana media arus perdana masih bergelut untuk menggambarkan calon yang tidak sesuai dengan acuan politik tradisional.
Daripada menggambarkan Mamdani sebagai tidak jujur, ia mengukuhkan imejnya sebagai sasaran ketidakselesaan elit - dan membantu menyatukan penyokongnya.
Dalam mempertahankan artikel itu, Patrick Healy, penolong editor pengurusan untuk Piawaian dan Kepercayaan di NYT, menegaskan kisah itu berita bernilai.
"Yang paling penting ialah sama ada maklumat itu benar dan faktual - ia benar, disahkan oleh Encik Mamdani; bahawa ia disahkan secara bebas; dan relevan kepada awam," katanya kepada CJR.
Tetapi pembelaan itu sedikit pun tidak melambatkan hakisan kepercayaan dalam kalangan pembaca NYT yang lebih muda dan progresif.
Tatkala bantahan pembaca masih bergema, NYT secara senyap menutup ruangan komen pada artikel Mamdani - pengakuan diam bahawa kontroversi ini tidak akan berlalu.
Serangan NYT ini telah mendedahkan garis pecah dalam ekosistem media dan bagaimana kewartawanan arus perdana Amerika memilih arus antara fakta dan keadilan.
Seperti kata Kirtley: "Anda tidak melindungi sumber hanya kerana mereka menyerahkan dokumen. Anda perlu fikir mengapa mereka menyerahkannya kepada anda sejak awal."