Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memfailkan saman terhadap The Wall Street Journal (WSJ) dan pemiliknya Rupert Murdoch pada Jumaat, menuntut ganti rugi sekurang-kurangnya AS$10 bilion berikutan laporan yang mendakwa beliau menulis surat hari lahir berunsur lucah kepada ahli kewangan penuh kontroversi, Jeffrey Epstein.
“Kami baru sahaja memfailkan saman terhadap semua yang terlibat dalam menerbitkan artikel ‘berita palsu’ yang menipu, jahat, memfitnah dan tidak berasas di helaian ‘sampah’ yang dikenali sebagai The Wall Street Journal,” tulis Trump dalam satu hantaran di media sosial.
WSJ pada Khamis melaporkan sepucuk surat oleh Trump termasuk dalam sebuah album yang dihasilkan sempena hari lahir ke-50 Epstein.
Album itu disusun oleh pembantu lama Epstein, Ghislaine Maxwell, yang telah disabitkan sebagai pemerdagang seks kanak-kanak pada 2003, menurut laporan tersebut.
Saman Trump, yang disifatkannya sebagai “tindakan undang-undang bersejarah,” menyasarkan akhbar tersebut, wartawan WSJ Khadeeja Safdar dan Joseph Palazzolo yang menulis artikel itu, syarikat induknya News Corp dan Dow Jones, Rupert Murdoch, serta eksekutif News Corp Robert Thomson.
‘Penipuan’
Saman yang difailkan di mahkamah persekutuan Miami itu menuduh pihak defendan gagal mematuhi etika kewartawanan selain mendakwa laporan tersebut adalah “palsu, memfitnah, tanpa bukti dan menjatuhkan maruah.”
“Saya harap Rupert dan ‘rakan-rakannya’ bersedia untuk menghadapi sesi soal jawab selama berjam-jam dan memberi keterangan mereka dalam kes ini,” tambah Trump di platform Truth Social.
Laporan WSJ itu muncul ketika Trump sedang berdepan badai politik melibatkan fail-fail Epstein — koleksi dokumen kerajaan yang masih belum didedahkan oleh Jabatan Kehakiman AS, dan kini memecahbelahkan gerakan “Make America Great Again” (MAGA) yang dipopularkannya semasa kempen pilihan raya presidennya.
Minggu lalu, Jabatan Kehakiman mendedahkan bahawa Epstein meninggal dunia kerana membunuh diri pada 2019 dan mendakwa “senarai pelanggan” yang sebelum ini diheboh-hebohkan tidak wujud — satu kenyataan yang mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong MAGA.
Trump menyifatkan skandal Epstein sebagai “penipuan” dan menggesa penyokongnya untuk melupakan isu itu, meskipun mereka terus menuntut dokumen-dokumen tersebut — termasuk “senarai pelanggan” yang menurut Peguam Negara Pam Bondi pada Februari lalu “sedang berada di atas meja saya sekarang.”