ASIA
4 min membaca
Dasar 'America First': Bagaimana Thailand dan negara lain berdepan dengan tekanan dagangan AS
Di tengah permainan kuasa global yang semakin agresif, perubahan dasar ekonomi Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Donald Trump memberi kesan besar kepada negara-negara membangun, termasuk Thailand.
Dasar 'America First': Bagaimana Thailand dan negara lain berdepan dengan tekanan dagangan AS
Thailand di antara negara-negara anggota ASEAN yang dikenakan tarif melampau pada Liberation Day bulan April, 2025. / Reuters
sehari yang lepas

Dengan tekanan tinggi daripada Washington, Thailand dan negara kecil terpaksa menerima syarat perdagangan yang tidak seimbang, termasuk pemotongan drastik tarif barangan AS—ada yang sehingga sifar—memaksa kerajaan, pakar ekonomi, dan industri tempatan bertindak pantas menyesuaikan diri.  

Kemenangan Donald Trump sebagai Presiden AS pada 2016 mengubah landskap perdagangan global secara drastik. Dasar 'America First' beliau, termasuk pengenaan tarif tinggi terhadap import, mengejutkan banyak negara, lebih-lebih lagi mereka yang bergantung kepada pasaran AS.  

Menurut Profesor Teerana Bhongmakapat, bekas Dekan Fakulti Ekonomi Universiti Chulalongkorn, dasar baru AS ini mengejutkan Bangkok, yang kini berdepan ancaman tarif AS mencecah 36%. Faktor kejutan ini disebabkan kerana dasar AS yang asyik berubah di bawah Trump pada penggal pertama dengan mengubah dasar secara mendadak. 

Negara kecil dipaksa tunduk pada desakan AS  

Pentadbiran Trump menggunakan tarif sebagai senjata diplomasi, mendesak negara seperti Thailand dalam mod mempertahankan diri. Negara-negara yang terdesak terpaksa memudahkan lagi bahan import dari AS untuk memasuki pasaran mereka.  

Bagi Thailand, ini bermakna menghapuskan tarif ke atas produk AS—satu langkah berisiko tinggi yang boleh mengancam industri tempatan yang masih memerlukan perlindungan.  

Mentaliti perdagangan bebas jadi penghalang?  

Teerana mengkritik sikap Thailand yang terlalu terikat dengan paradigma perdagangan bebas, sedangkan dunia sudah beralih kepada strategi lebih pragmatik.  

"Kita terlalu fokus pada perdagangan bebas, tetapi gagal memahami konsep 'tarif optimum' yang digunakan kuasa besar untuk manfaat diri mereka," jelasnya.  

Teori tarif optimum menunjukkan bahawa negara dengan pengaruh pasaran besar boleh memanipulasi tarif import untuk kepentingan domestik. Ia dijadikan sebagai alat politik dan psikologi. Konsep ini, walaupun kontroversi, telah lama wujud sejak abad ke-19 dan kini digunakan AS secara agresif di bawah Trump. 

Ketidakstabilan dasar AS Trump mencabar kepercayaan antarabangsa terhadap konsistensi dasar Washington, mendedahkan kelemahan persediaan negara kecil.  

Menurut Dr. Somjai Phagaphasvivat, pakar ekonomi politik, "Trump bersikap tidak menentu dan agresif. Dia hanya akan berundur jika dihadapkan dengan kekuatan setara, seperti China."  

Kedudukan Thailand dalam peta geopolitik ASEAN

Walaupun terpaksa akur, Thailand masih mempunyai sedikit ruang tawar-menawar.  

"Thailand masih ada pengaruh, tetapi tidak setanding Vietnam atau Indonesia yang lebih penting kepada AS dalam konteks mengimbangi pengaruh China," jelas Somjai.  

Setiap negara ASEAN mempunyai peranan masing-masing dalam rantau Asia Tenggara mahupun untuk AS. Vietnam memainkan peranan kritik dalam isu Laut China Selatan, manakala Indonesia, sebagai negara Islam terbesar dan ahli G20, memiliki nilai strategik tinggi. Laos dan Kemboja berpihak kepada China.

Posisi Thailand sebagai sekutu penting AS dalam rantau Asia Tenggara dan penimbang pengaruh China menjadikan Thailand berada dalam kedudukan tersendiri. Thailand perlu tahu percaturan untuk mengekalkan autonomi dalam sektor tertentu seperti pertanian walaupun di tekan kuat oleh AS.

Liberalisasi terkawal: Jalan tengah untuk Thailand  

AS turut mendesak liberalisasi sektor kewangan dan pelaburan di Thailand.  

"Liberalisasi sektor kewangan boleh menjadikan Thailand hab kewangan serantau, tetapi ia tak bermakna harus diliberalisasi sepenunya," kata Somjai.  

Beliau mencadangkan pembukaan terpilih, terutama dalam industri digital, sambil mengekalkan kawalan ke atas sektor strategik seperti perusahaan digital dengan mengamalkan kawalan strategik dalam aspek yang kritikal.

"Thailand mungkin boleh merundingkan tarif di bawah 30%, tetapi sukar untuk mencapai 19-20% seperti Vietnam dan Indonesia yang telah membuka pasaran sepenuhnya," ujar Somjai.  

Perbezaan ini menunjukkan pendekatan berbeza yang diambil oleh negara-negara ASEAN dalam menghadapi tekanan AS.  

Masa depan perdagangan global tanpa dominasi AS?

Dasar Trump dijangka terus mengganggu sistem perdagangan global sedia ada. Setelah Indonesia dan Vietnam akur kepada AS, kini Thailand menghadapi tekanan untuk melakukan perkara yang sama.

"Ramai percaya lebih banyak negara akan memperkukuh perjanjian dagangan bebas sesama sendiri, mengurangkan kebergantungan pada AS," ramal Somjai.  

Tambahan pula, pecahan gabungan perdagangan tradisional boleh membawa kepada dunia yang lebih multipolar, di mana blok serantau dan sistem penyelesaian alternatif menjadi semakin penting.

Pakar ekonomi seperti pemenang Hadiah Nobel, Paul Krugman, memberi amaran dasar tarif tinggi Trump boleh mencetuskan kemerosotan ekonomi global dan menjejaskan negara kecil.  

Kesimpulannya, AS dibawah Trump telah mengubah peraturan dagangan global, memaksa negara membangun berdepan realiti baru yang penuh cabaran. Keupayaan menyesuaikan diri dan strategi diplomasi yang bijak akan menentukan sama ada ekonomi mereka mampu bertahan atau tersungkur di bawah tekanan kuasa besar.


SUMBER:TRT World and Agencies
Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us