Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio menggesa Kemboja agar segera meredakan ketegangan dengan Thailand dan supaya bersetuju melaksanakan gencatan senjata susulan pertikaian sempadan yang terus memuncak antara kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakap Jabatan Negara AS Tammy Bruce, Rubio menyeru Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn, supaya komited menghentikan permusuhan.
Rubio turut menegaskan komitmen Presiden Donald Trump terhadap keamanan serantau dan kepentingan melaksanakan gencatan senjata serta-merta.
“Amerika Syarikat bersedia untuk menyokong dan memudahkan rundingan selanjutnya bagi memastikan keamanan dan kestabilan berpanjangan antara Thailand dan Kemboja,” kata kenyataan itu.
Panggilan telefon tersebut dibuat ketika pertempuran dan ketegangan diplomatik terus meningkat di antara kedua-dua negara ASEAN itu, dengan masing-masing saling menuding jari atas keganasan terbaharu di kawasan sempadan yang dipertikaikan.
Penglibatan Washington mencerminkan kebimbangan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap situasi berkenaan, yang dilihat berisiko menjejaskan kestabilan rantau Asia Tenggara.