Rundingan tidak langsung antara Hamas dan Israel bagi mencapai gencatan senjata di Gaza kini berdepan halangan, apabila Israel dilaporkan mahu mengekalkan pendudukan ketenteraannya di wilayah itu, menurut dua sumber Palestin yang mengetahui proses rundingan tersebut.
“Rundingan di Doha kini tergendala dan bertambah kompleks disebabkan keengganan Israel, setakat Jumaat, untuk membentangkan peta pengunduran sebenar. Sebaliknya, mereka hanya membentangkan peta penempatan semula tentera Israel,” kata salah seorang sumber kepada AFP pada Sabtu.
Pemindahan secara paksa
Menurut wartawan TRT World Mohammed Al-Kassim, proses rundingan gencatan senjata Hamas-Israel menjadi perlahan apabila Israel mencadangkan pemindahan paksa rakyat Palestin ke Rafah.
Cadangan terbaharu Israel untuk membina apa yang digelar sebagai “bandar kemanusiaan” yang dipenuhi khemah di atas runtuhan Rafah di selatan Gaza dikecam sebagai cubaan untuk memindahkan rakyat Palestin secara paksa atas nama bantuan kemanusiaan, ketika pembunuhan beramai-ramai terus berlaku di wilayah itu.
Dalam satu taklimat pada Isnin, Menteri Pertahanan Israel Israel Katz mendedahkan rancangan untuk memindahkan sekitar 600,000 rakyat Palestin ke kawasan berpagar yang dibina di atas runtuhan di Rafah selepas perjanjian gencatan senjata dicapai. Mereka akan berdepan pemeriksaan keselamatan yang ketat dan tidak dibenar meninggalkan kawasan tersebut.
‘Perangkap maut’
Hamas mahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil alih operasi bantuan kemanusiaan, namun Israel tetap berkeras mahu menggunakan Gaza Humanitarian Foundation (GHF) yang penuh kontroversi.
Amerika Syarikat turut mendesak PBB dan agensi bantuan antarabangsa supaya bekerjasama dengan GHF — organisasi baharu yang dibiayai AS dan disokong Israel untuk mengagihkan makanan kepada rakyat Palestin di Gaza yang kebuluran dan terkepung.
Menurut angka terbaharu daripada Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza, lebih 700 rakyat Palestin telah dibunuh oleh tentera Israel dan kontraktor swasta semasa mereka cuba mendapatkan makanan sejak akhir Mei.
Sekitar 5,000 orang cedera dalam insiden tembakan hampir setiap hari ketika pengagihan bantuan, tambah kementerian itu.
Situasi itu mencetuskan semula kecaman terhadap skim bantuan yang disokong AS dan Israel.
Agensi bantuan PBB menyifatkan pengagihan bantuan oleh GHF sebagai “sesuatu yang menjijikkan” dan “perangkap maut yang mengorbankan lebih banyak nyawa daripada yang diselamatkan.”
PBB dan kumpulan bantuan swasta enggan bekerjasama dengan GHF, dengan alasan ia melanggar prinsip kemanusiaan.
Mereka turut menuduh AS dan Israel mengatur siapa yang boleh menerima bantuan di Gaza.
Penjajahan semula
Israel tetap mendesak agar Hamas meletak senjata dan kepimpinan tertingginya diusir ke luar negara.
Hamas pula menegaskan bahawa mereka mahu tentera Israel berundur sepenuhnya dari Gaza, yang menempatkan lebih dua juta penduduk.
Menurut AFP, delegasi Israel membentangkan peta dalam rundingan yang mencadangkan agar pasukan tenteranya kekal di lebih 40 peratus wilayah Palestin itu.
“Delegasi Hamas tidak akan menerima peta Israel itu kerana ia secara dasarnya mengesahkan penjajahan semula separuh Gaza dan mengubah Gaza menjadi zon-zon terpencil tanpa laluan atau kebebasan bergerak,” tambah sumber itu.
Pihak perantara telah meminta kedua-dua pihak menangguhkan rundingan sehingga ketibaan utusan khas Presiden AS Donald Trump, Steve Witkoff, ke Doha.
Satu sumber Palestin berkata terdapat “sedikit kemajuan” yang dicapai dalam rancangan pembebasan tahanan Palestin dan penyaluran lebih banyak bantuan ke Gaza.
Namun mereka menuduh delegasi Israel tidak mempunyai kuasa sebenar dan “sengaja melengah-lengahkan dan menghalang perjanjian demi meneruskan perang yang dahsyat”.