Filem Superman baharu arahan James Gunn kini ditayangkan di pawagam, dan ia bermula dengan babak menggemparkan di mana sebuah angkatan tentera berteknologi tinggi menyasarkan orang awam di seberang pagar sempadan yang dikawal ketat.
Jika babak ini mengingatkan anda kepada serangan Israel ke atas Gaza, anda tidak keseorangan.
Media sosial pantas menafsirkan filem ini sebagai kritikan jelas terhadap tindakan Israel di Gaza.
Satu ulasan lima bintang di Letterboxd menyifatkannya sebagai “sangat anti-Israel”, dan pendapat itu meraih hampir sembilan juta tontonan.
Satu lagi hantaran, yang dilihat oleh 11 juta pengguna di X, menyatakan kritikan filem itu “sangat jelas dan terus terang.”
Seorang pengguna X menulis: “Korang tak main-main bila kata filem Superman tu sangat anti-Israel dan pro-Palestin, dan memang langsung tak cuba sorok pun.”
Seorang lagi mengulas: “Superman sangat terang-terangan anti-Israel, dan ya Tuhan, ia memang sangat bagus.” Seorang lagi pengguna menambah: “Saya memang suka sentimen anti-Israel daripada Superman, dan sekarang saya tahu James Gunn memang berpendirian tegas.”
Kontroversi terhadap mesej filem ini semakin memuncak sejak Gunn memberitahu The Times bahawa kisah ini adalah tentang “politik” dan “moraliti,” dan perjalanan Superman pada asasnya adalah kisah seorang “imigran.” Kenyataan itu mengundang kritikan hebat, terutamanya daripada penyokong dasar imigresen ketat Presiden Donald Trump.
James Gunn, mahupun para pelakon, tidak pernah secara jelas menyatakan bahawa cerita ini ada kaitan dengan Israel atau Palestin, namun ramai penonton memberi tumpuan kepada salah satu jalan cerita utama filem ini sebagai alegori kepada perang semasa.
Tetapi adakah filem ini benar-benar memfokuskan kepada Israel dan Palestin? Sama ada perbandingan ini wajar atau tidak, ia terbuka kepada tafsiran. Penulisan di bawah mengandungi spoiler.
Filem ini menampilkan konflik antara dua negara fiksyen, Boravia dan Jarhanpur, yang dibandingkan dengan situasi di Gaza.
Kisah ini bermula tiga minggu selepas Superman (David Corenswet) campur tangan untuk menghalang Boravia, sekutu Amerika Syarikat, daripada menyerang jirannya yang miskin, Jarhanpur. Boravia memiliki kekuatan ketenteraan yang hebat dan disokong oleh AS, manakala Jarhanpur digambarkan sebagai lemah dan miskin.
Pada awal cerita, Lois Lane (Rachel Brosnahan), seorang wartawan, menemu bual Superman mengenai tindakannya di Boravia.
“Menteri pertahanan kata dia akan siasat tindakan anda,” kata Lois. Superman membalas, “Tindakan saya? Saya hentikan perang.”
Tentera Boravia muncul dengan kereta kebal dan senjata berat manakala orang awam dari Jarhanpur melarikan diri tanpa perlindungan. Paparan visualnya kelihatan biasa — tanah gersang, pakaian sederhana, dan orang awam disambut dengan muncung senapang apabila mereka menghampiri pagar sempadan.
Walaupun ketidakseimbangan kuasa ini turut wujud dalam banyak peperangan sebenar, terdapat satu butiran khusus yang membuatkan ramai melihat persamaan lebih dekat dengan situasi Israel dan Palestin.
Orang Boravia digambarkan sebagai berkulit putih, manakala penduduk Jarhanpur pula tidak.
Keganasan Boravia turut dipaparkan sebagai usaha penjajahan penempatan, untuk mengusir penduduk asal Jarhanpur dan meluaskan wilayahnya sendiri.
Dalam satu babak, senjata eksperimen digunakan ke atas orang awam.
Dalam adegan lain, penduduk Jarhanpur berjalan ke arah pagar sempadan sambil membawa kayu dan batu, manakala tentera Boravia mengacukan senapang ke arah mereka dari sebalik pagar besi. Seorang budak lelaki mengibarkan bendera Superman dengan harapan dia akan diselamatkan ketika askar semakin menghampiri.
Bagi sesetengah pihak, perbandingan ini terlalu jelas.
Perbualan antara watak-watak juga mencerminkan hujah yang biasa kedengaran dalam debat Israel-Palestin.
Lois Lane mempertahankan kedudukan rejim pembunuh Boravia dengan mengatakan bahawa kerajaan Jarhanpur yang lebih kuat boleh menjadi ancaman masa depan — satu hujah yang sering digunakan terhadap Hamas.
Filem ini menggambarkan Superman sebagai satu-satunya orang yang terselamat daripada pembunuhan beramai-ramai yang memusnahkan keluarganya dan seluruh peradabannya. Pengalaman ini memberinya keupayaan untuk mengenal pasti sifat sebenar rejim baharu yang melakukan kekejaman yang sama.
Superman dan sesiapa sahaja yang berani mencabar golongan maha kaya atau rejim yang dituduh melakukan keganasan akan dikurung dalam pusat tahanan sempit yang menjijikkan, sama seperti pusat tahanan ICE (Penguatkuasa Imigresen dan Kastam AS).
Mereka yang ditahan tidak dilayan seperti manusia dan pihak berkuasa memenjarakan mereka tanpa tempoh penahanan yang jelas.
Realiti ini turut mencerminkan layanan kejam Israel terhadap rakyat Palestin yang ditahan tanpa saluran undang-undang atau hak-hak kemanusiaan.
Daripada menentang Klan kepada menyaksikan penjajahan
Tidak menghairankan jika filem baharu arahan James Gunn ini dilihat sebagai satu naratif adiwira dan ketidakadilan masa kini.
Sejarah Superman sememangnya berkait rapat dengan perjuangan menentang penindasan — daripada melawan KKK sehinggalah menentang Nazi.
Namun dalam versi kali ini, musuh Superman menggunakan alat propaganda moden.
Salah satu pendekatan paling berani dalam filem ini ialah bagaimana penjahat jutawan dan rejim digambarkan memanipulasi dunia maya untuk menjatuhkan reputasi Superman.
Mereka melancarkan serangan melalui ‘ladang’ troll, yang secara literal dikendalikan oleh monyet dalam cerita ini, untuk menyerang reputasi Superman di media sosial. Kempen itu menggunakan cercaan berbentuk Islamofobia, menuduh Superman menyimpan “harem” wanita dalam konspirasi untuk menakluk dunia.
Tuduhan liar ini mencerminkan propaganda Israel selepas peristiwa 7 Oktober, di mana pihak berkuasa sering menuduh musuh mereka melakukan jenayah yang sebenarnya dilakukan oleh mereka sendiri.
Seperti yang dipaparkan dalam filem ini, watak jahat – menyerupai tokoh seperti Elon Musk dan Donald Trump – bertindak atas kepentingan peribadi dan bersikap hipokrit, sambil menggambarkan Superman sebagai ancaman utama.
Konflik antara Boravia dan Jarhanpur terus menjadi tumpuan, dengan pemimpin Boravia, Vasil Glarkos (dilakonkan oleh Zlatko Buric), seorang ahli politik tua berkulit putih yang dahagakan kuasa dan menyerupai Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Beliau secara terang-terangan menyatakan niat untuk merampas tanah, mengambil minyak dan gasnya, menyerahkan sebahagiannya kepada golongan elit kaya, dan menjual selebihnya kepada pihak yang sanggup memberi bayaran paling tinggi.
Vasil juga bekerjasama dengan antagonis utama, Lex Luthor (dilakonkan oleh Nicholas Hoult). Lex digambarkan memainkan peranan penting dalam pencerobohan Boravia dan bercita-cita untuk menakluk sebahagian daripada Jarhanpur untuk dirinya sendiri.
Nada politik lain yang turut diketengahkan termasuk bagaimana watak Lex Luthor diinspirasikan daripada Donald Trump.
“Sudah tentu, Donald Trump ialah model kami,” kata penulis Superman, John Byrne, kepada The Daily Beast pada 2016. DC Comics kemudian menerbitkan “biografi tidak rasmi Lex Luthor” di mana kulit bukunya mirip The Art of the Deal, buku tulisan Trump.
Menulis dalam masa nyata
Garis masa dalam filem ini juga selari dengan peristiwa dunia sebenar. James Gunn mula menulis skrip sejurus selepas 7 Oktober 2023 dan menyiapkannya pada Disember. Penggambaran bermula pada hujung Februari 2024.
Sepanjang tempoh ini, Gunn memberi komen secara tidak langsung mengenai perang tersebut. Pelawak Mesir, Bassem Youssef, mengumumkan bahawa beliau kehilangan peluang berlakon dalam filem ini selepas membuat kenyataan mengenai Gaza, walaupun Gunn kemudian menjelaskan bahawa Youssef sebenarnya tidak pernah ditawarkan peranan secara rasmi, meskipun mereka pernah berbincang mengenainya.
Gunn menulis di Threads bahawa tiada sebarang pertikaian berlaku antara mereka dan bahawa sebarang salah faham telah diselesaikan melalui perbualan.
Walaupun pengarah itu tidak menyentuh secara langsung mengenai sebarang persamaan dengan dunia sebenar, Boravia dan Jarhanpur telah lama muncul dalam komik sejak bertahun-tahun, menjadikannya sukar untuk menafikan persamaan dengan Israel dan Palestin.