DUNIA
2 min membaca
Protes perang Gaza: Polis Pakistan tahan lebih 170 orang serang KFC
Polis di bandar utama seluruh negara mengesahkan sekurang-kurangnya 11 insiden terjadi, di mana cawangan KFC diserang oleh penunjuk perasaan bersenjatakan kayu.
Protes perang Gaza: Polis Pakistan tahan lebih 170 orang serang KFC
Di Lahore, polis berkata kawalan keselamatan di 27 cawangan KFC di sekitar bandar itu akan dipertingkatkan susulan dua serangan dan lima cubaan lain yang berjaya digagalkan. / AP
18 April 2025

Polis menahan puluhan orang di Pakistan selepas lebih 10 serangan beramai-ramai dilakukan ke atas cawangan rangkaian makanan segera Amerika Syarikat, KFC, yang tercetus akibat sentimen anti-Amerika dan penentangan terhadap perang Israel di Gaza, mneurut pihak berkuasa.

Polis di bandar-bandar utama termasuk Karachi di selatan, Lahore di timur dan ibu negaranya Islamabad mengesahkan sekurang-kurangnya 11 kejadian berlaku di mana cawangan KFC diserang oleh penunjuk perasaan yang bersenjatakan kayu dan melakukan vandalisme.

Sekurang-kurangnya 178 orang telah ditahan, menurut pihak berkuasa pada minggu ini.

KFC dan syarikat induknya Yum Brands, yang berpusat di AS, tidak memberikan sebarang komen.

Di Lahore, polis berkata mereka mempertingkat keselamatan di 27 cawangan KFC selepas dua serangan berlaku dan lima cubaan lain yang berjaya digagalkan.

“Kami sedang menyiasat peranan individu dan kumpulan tertentu dalam serangan ini,” kata Faisal Kamran, pegawai kanan polis Lahore, sambil menambah bahawa 11 orang, termasuk seorang ahli parti Tehreek-e-Labbaik Pakistan (TLP), telah ditahan di bandar itu.

Beliau turut menegaskan bahawa protes itu tidak dianjurkan secara rasmi oleh TLP.

Boikot

Jurucakap TLP, Rehan Mohsin Khan berkata kumpulannya “menyeru umat Islam memboikot produk Israel, tetapi tidak pernah mengeluarkan seruan untuk memprotes di luar premis KFC.”

“Jika ada individu lain yang mendakwa dirinya pemimpin atau aktivis TLP dan terlibat dalam tindakan sedemikian, ia adalah tindakan peribadinya dan tidak ada kaitan dengan dasar parti,” kata Khan.

Jenama-jenama Barat kini menjadi sasaran boikot dan pelbagai protes di Pakistan serta negara-negara majoriti Muslim lain sejak beberapa bulan lalu susulan serangan ketenteraan Israel ke atas Gaza.

Tel Aviv melancarkan perang kejam ke atas Gaza pada 7 Oktober 2023, dan sejak itu, lebih 51,000 rakyat Palestin telah terbunuh dalam serangan Israel, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Yum Brands menyatakan salah satu jenama lain miliknya, iaitu Pizza Hut, turut terkesan akibat boikot yang berpanjangan susulan perang Israel di Gaza.

Di Pakistan, jenama tempatan semakin mendapat tempat dalam pasaran minuman berkarbonat yang berkembang pesat selepas sebahagian pengguna mula memboikot produk jenama AS.

Pada 2023, pegangan pasaran Coca-Cola dalam sektor pengguna di Pakistan jatuh kepada 5.7% daripada 6.3% pada 2022, menurut GlobalData, manakala PepsiCo jatuh kepada 10.4% daripada 10.8%.

Pada awal April, kumpulan ulama agama di Pakistan menyeru boikot terhadap mana-mana produk atau jenama yang menyokong Israel atau ekonomi Amerika, namun menasihatkan orang ramai supaya kekal aman dan tidak merosakkan harta benda.

SUMBER: TRT World & Agensi

Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us