KRISIS ISRAEL-IRAN
2 min membaca
Iran beri amaran awal kepada Qatar sebelum serang pangkalan AS: laporan
Amaran awal itu dibuat bertujuan mengelak kemalangan jiwa, sekali gus menunjukkan bahawa serangan balas tersebut hanya bersifat simbolik.
Iran beri amaran awal kepada Qatar sebelum serang pangkalan AS: laporan
10 peluru berpandu Iran menyasarkan pangkalan AS di Qatar, menurut penyiar rasmi Israel, KAN. / Reuters
24 Jun 2025

Iran telah menyelaraskan serangannya ke atas Pangkalan Udara Amerika Syarikat di Qatar bersama pegawai Qatar dan telah memberi amaran lebih awal bagi mengurangkan kemungkinan kemalangan jiwa, lapor The New York Times, memetik sumber dari Iran yang enggan dinamakan dan mengetahui tentang operasi tersebut.

Akhbar itu melaporkan pegawai Iran telah bekerjasama dengan Qatar sebelum serangan dilakukan dengan memberi makluman bahawa serangan bakal berlaku bagi meminimumkan kemudaratan.

Tehran merasakan ia perlu menunjukkan tindakan balas secara “simbolik” terhadap AS sambil melaksanakan operasi dengan cara yang memberi “laluan keluar kepada semua pihak,” kata tiga pegawai Iran kepada akhbar tersebut.

Sumber tersebut menyamakan strategi ini dengan pendekatan Iran pada 2020, apabila ia memberi amaran kepada Iraq sebelum melancarkan peluru berpandu balistik ke atas pangkalan Amerika susulan pembunuhan Jeneral tertinggi Iran Qasem Soleimani.

Angkatan Tentera Iran mengumumkan bahawa mereka telah melancarkan “serangan peluru berpandu yang dahsyat dan kuat” ke atas pangkalan Al Udeid di Qatar sebagai sebahagian daripada Operasi Bashayer Al-Fath atau Pengumuman Kemenangan.

Qatar telah memintas peluru berpandu tersebut dan mengecam serangan itu, sambil memaklukan tiada kematian dilaporkan.

Seorang pegawai kanan Rumah Putih turut mengesahkan bahawa pentadbiran AS “sedar dan sedang memantau rapat ancaman berpotensi terhadap Pangkalan Udara Al Udeid.”

Kedutaan AS menasihatkan warganya untuk “berlindung di tempat masing-masing” berikutan konflik yang semakin memuncak selepas serangan udara AS ke atas fasiliti nuklear Iran hujung minggu lalu.

Serangan tersebut merupakan tindakan balas terhadap serangan AS ke atas tapak nuklear utama Iran, yang diarahkan oleh Presiden Donald Trump.

Ketua Turus Tentera Iran Mejar Jeneral Abdolrahim Mousavi berikrar pada Isnin bahawa serangan ke atas kemudahan nuklear Iran oleh AS “tidak akan dibiarkan tanpa tindak balas.”

Trump pula memberi amaran bahawa sebarang serangan balas oleh Iran “akan dibalas dengan kekuatan yang jauh lebih dahsyat daripada apa yang disaksikan” semasa serangan hujung minggu lalu.

SUMBER: AA

Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us