Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy tidak sepatutnya menyasarkan Moscow.
Kenyataan beliau pada Selasa itu dibuat selepas The Financial Times, yang memetik sumber yang dimaklumkan tentang perbincangan tersebut, melaporkan bahawa Trump telah memberi galakan kepada Ukraine secara peribadi untuk meningkatkan serangan ke atas Rusia.
Akhbar itu turut melaporkan Trump bertanya kepada Zelenskyy sama ada beliau mampu menyerang Moscow sekiranya AS membekalkan senjata jarak jauh.
Pada Isnin, Trump mengumumkan penghantaran lebih banyak senjata kepada Kiev dan pendirian yang lebih tegas terhadap Rusia susulan serangan ketenteraannya ke atas Ukraine.
Trump turut memberikan Kremlin tempoh 50 hari untuk menamatkan pertempuran atau berdepan sekatan ekonomi yang baharu.
Bersama Ketua NATO Mark Rutte, Trump turut mengumumkan satu perjanjian di mana anggota Eropah dalam pakatan itu akan membeli senjata bernilai berbilion dolar dari Amerika Syarikat — termasuk sistem anti-peluru berpandu Patriot — dan menghantarnya ke Ukraine.
Trump telah lama mengkritik peranan besar yang dimainkan AS dalam membekalkan senjata kepada Ukraine, meskipun NATO menyatakan bahawa Eropah kini menyumbang sebahagian besar daripada senjata yang dihantar ke Kiev.
Negara-negara Eropah seperti Jerman, Denmark, Sweden dan Belanda telah pun menyatakan kesediaan atau sedang mempertimbangkan untuk menyertai skim baharu AS itu.
AS perlu kongsi ‘tanggungjawab’ bekalkan senjata kepada Ukraine
Ketua dasar luar Kesatuan Eropah Kaja Kallas bagaimanapun berkata AS seharusnya “berkongsi tanggungjawab” dalam usaha membekalkan senjata kepada Ukraine.
“Kami menyambut baik pengumuman Presiden Trump untuk menghantar lebih banyak senjata ke Ukraine, walaupun kami berharap AS turut berkongsi beban itu,” kata Kallas selepas mesyuarat menteri luar EU di Brussels.
“Jika anda berjanji untuk memberikan senjata tetapi mengatakan orang lain yang akan membayarnya, itu bukan benar-benar sumbangan daripada anda.”
Pada Selasa, jurucakap Kremlin Dmitry Peskov berkata Ukraine kemungkinan besar akan melihat keputusan AS, NATO dan EU berhubung bantuan ketenteraan itu “sebagai galakan untuk meneruskan peperangan”.
Bercakap dalam satu sidang media di Moscow, Peskov berkata kenyataan oleh pemimpin politik Eropah menunjukkan mereka lebih cenderung untuk meningkatkan ketegangan berbanding mencari jalan damai.
Rusia kekal terbuka untuk rundingan langsung dengan Ukraine dan masih menunggu cadangan tarikh untuk pusingan ketiga rundingan, kata Peskov.
“Kami sedia, tetapi belum menerima sebarang cadangan daripada Kiev. Walaupun Washington dan Eropah mendakwa mahu berdialog, tindakan mereka menunjukkan sebaliknya,” tambahnya.