Sokongan Malaysia terhadap rakyat Palestin berasaskan prinsip dan tidak harus disalah anggap sebagai menyokong mana-mana kumpulan politik tertentu, kata Menteri Luar Mohamad Hasan di Parlimen pada Rabu.
Ketika sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, Mohamad menjelaskan pendirian lama Malaysia mengenai isu Palestin, menegaskan bahawa sokongan itu bukan kepada Hamas atau mana-mana pihak berkepentingan, tetapi kepada perjuangan rakyat Palestin secara keseluruhan.
“Sokongan Malaysia terhadap penderitaan dan perjuangan rakyat Palestin adalah bersifat prinsip,” katanya.
“Ramai yang bertanya, termasuk rakan sejawat saya, mengapa Malaysia seolah-olah menyokong Hamas. Kami telah jelaskan bahawa kami tidak menyokong Hamas. Kami menyokong perjuangan Palestin, dan Hamas hanyalah sebahagian daripada landskap Palestin.”
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Parliamen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman berkenaan usaha kerajaan dalam mempertahankan nasib umat Islam di Gaza di tengah-tengah perang kejam Israel yang berterusan.
Mohamad turut menegaskan Malaysia terus menggunakan pelbagai platform antarabangsa — termasuk Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), Majlis Keselamatan PBB (UNSC), dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) — untuk menyuarakan pendirian rakyat Malaysia dalam mengutuk kekejaman yang dilakukan Israel terhadap Palestin.
“Kita mendesak agar rakyat Palestin diberikan hak untuk mendirikan negara merdeka, kembali ke tanah air mereka, dan menubuhkan sebuah negara yang bebas dan berdaulat,” katanya.
Mohamad turut memaklumkan Malaysia akan sekali lagi membentangkan usul untuk mereformasi kuasa veto UNSC dalam sesi UNGA akan datang, bagi memastikan prinsip keadilan dan kemanusiaan tidak terus dinafikan oleh kuasa-kuasa besar.
Antara lain, usul itu menggesa agar kuasa veto tidak digunakan sewenang-wenangnya, khususnya dalam kes-kes melibatkan genosid, jenayah terhadap kemanusiaan, dan pemusnahan infrastruktur awam.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi yang bertanya sama ada Malaysia telah menghantar pasukan pengaman ke Palestin susulan krisis kemanusiaan di Gaza, Mohamad menjelaskan bahawa Malaysia tidak boleh secara unilateral menghantar pasukan pengaman, kerana misi sedemikian mesti diluluskan terlebih dahulu oleh UNSC.
“Ini bukan perkara yang boleh kita lakukan sendiri. Sebarang penghantaran pasukan pengaman mesti mendapat mandat Majlis,” katanya.
Beliau berkata ketiadaan status negara yang diiktiraf untuk Palestin merupakan halangan undang-undang utama untuk sebarang misi sedemikian.
“Palestin belum mempunyai sempadan yang jelas. Jadi ke mana pasukan pengaman hendak dihantar? Sebab itu Israel mendakwa mereka tidak menceroboh mana-mana negara.
“Apabila kita katakan mereka melakukan pencerobohan dan kekejaman, mereka akan tanya — negara mana yang telah kami ceroboh?” kata Mohamad.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa Malaysia sejak 1960-an tidak pernah gagal menyertai misi pengaman PBB dan terus menyokong usaha tersebut.
“Kini kita mempunyai seramai 860 anggota dan pegawai yang sedang berkhidmat di kawasan misi pengaman PBB,” tambah beliau.