Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberi amaran kepada Israel supaya tidak mengebom Iran, menyifatkannya sebagai “pelanggaran besar” terhadap perjanjian gencatan senjata.
“ISRAEL. JANGAN JATUHKAN BOM ITU. JIKA KAMU LAKUKAN, IA ADALAH PELANGGARAN BESAR. BAWA PULANG SEMUA JURUTERBANG, SEKARANG!” kata Trump dalam satu hantaran di platform media sosial miliknya, Truth Social, pada Selasa.
Semasa meninggalkan Rumah Putih, beliau turut berkata Israel perlu bertenang.
“Sekarang ini saya perlu tenangkan Israel. Sebaik sahaja kami mencapai perjanjian, Israel mengeluarkan sejumlah bom yang tak pernah saya lihat sebelum ini — jumlah yang paling besar pernah kami lihat,” katanya.
Beliau turut berkata bahawa Israel dan Iran “tak tahu apa yang mereka sedang lakukan.”
Kenyataan Trump itu dibuat selepas Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengarahkan tenteranya melancarkan serangan ke atas Tehran, dengan mendakwa Iran telah melanggar gencatan senjata yang diumumkan oleh Trump sebelum ini.
‘PERANG 12 HARI’
Israel, bermula 13 Jun, telah melancarkan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran dan beberapa lokasi lain, dengan mendakwa Tehran hampir memiliki senjata nuklear.
Iran, yang menafikan memiliki sebarang program senjata nuklear, bertindak balas dengan serangan peluru berpandu.
AS kemudiannya mengebom tiga kemudahan nuklear utama Iran — di Fordow, Natanz dan Isfahan — awal pagi Ahad. Trump berkata serangan itu telah “memusnahkan sepenuhnya” tapak-tapak tersebut.
Serangan balas Iran ke atas Pangkalan Udara Al Udeid milik tentera AS di Qatar berlaku pada malam Isnin, namun tiada kerosakan serius atau kematian dilaporkan. Perjanjian yang menyusul kemudiannya menamatkan “PERANG 12 HARI.”
Gencatan senjata itu pada asalnya diumumkan oleh Trump, yang menyatakan ia melibatkan pemberhentian operasi secara berperingkat, dengan Iran memulakan gencatan senjata terlebih dahulu, diikuti oleh Israel 12 jam kemudian. Penghentian sepenuhnya akan diumumkan pada jam ke-24.
Media Israel melaporkan Qatar telah menjadi perantara dalam perjanjian tersebut.
Presiden AS kemudiannya mengesahkan gencatan senjata telah berkuat kuasa, sambil memberi amaran kepada kedua-dua negara agar tidak melanggarnya:
“GENCATAN SENJATA TELAH BERKUAT KUASA. TOLONG JANGAN LANGGARI!”
SUMBER: TRT World & Agensi