Korea Utara pada hari Selasa meminta Amerika Syarikat (AS) untuk mengiktiraf statusnya sebagai sebuah negara senjata nuklear sebelum sebarang sidang kemuncak baharu dengan Presiden Donald Trump, lapor agensi berita KCNA.
Dalam satu kenyataan, Kim Yo Jong, adik kepada pemimpin Korea Utara dan Timbalan Pengarah Jabatan Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja Korea, menyatakan status nuklear Korea Utara kini "tidak boleh diputar balik."
"Pengiktirafan terhadap kedudukan tidak boleh berubah berkenaan Korea Utara (Republik Rakyat Demokratik Korea) sebagai negara senjata nuklear serta hakikat bahawa kemampuan dan persekitaran geopolitiknya telah berubah secara drastik harus menjadi prasyarat untuk meramal dan memikirkan segala sesuatu pada masa depan," kata Kim.
"Tiada siapa boleh menafikan realiti ini dan tidak sepatutnya tersalah faham."
Menjawab kenyataan terkini Rumah Putih yang menyatakan keterbukaan untuk dialog baharu, Kim menolak kenyataan tersebut sebagai "penilaian sepihak" terhadap masa lalu dan memberi amaran bahawa tahun 2025 "bukan 2018 atau 2019."
Kenyataannya merujuk kepada tiga sidang kemuncak tidak biasa antara Trump dan Kim Jong Un, iaitu di Singapura pada 2018, Hanoi pada 2019, dan di Zon Bebas Tentera Korea pada 2019.
Trump pada 2019 menjadi presiden AS pertama yang memasuki wilayah Korea Utara semasa masih memegang jawatan.
Sebagai sebahagian daripada rundingan dengan Pyongyang berkenaan program nuklear dan peluru berpandunya, beliau bertemu Kim di zon bebas tentera yang memisahkan Korea Utara dan Selatan.
Kim mengakui bahawa hubungan peribadi antara pemimpin Korea Utara dan Trump "boleh tahan," tetapi memberi amaran bahawa hubungan sedemikian tidak bermakna jika AS terus mengejar matlamat denuklearisasi tanpa menyesuaikan diri dengan perubahan geopolitik.
"Jika AS gagal menerima realiti yang telah berubah dan berkeras dengan pendekatan lama yang gagal, pertemuan Korea Utara-AS akan kekal sebagai 'harapan' pihak AS sahaja," katanya.