Syarikat pertahanan dan kenderaan Turki, Katmerciler, serta syarikat pertahanan Malaysia, Deftech, telah menandatangani perjanjian kerjasama pada Khamis bagi pengeluaran dan eksport bersama kenderaan perisai EREN 4x4 sempena Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa 2025 (IDEF) di Istanbul.
EREN 4x4 merupakan kenderaan pantas, berkuasa, dinamik, mudah dikendalikan, ergonomik dan serba guna, dengan penyelenggaraan yang ringkas.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Katmerciler, Mehmet Katmerci dan Ketua Pegawai Eksekutif Deftech, Mohammad Shanaz. Ia merangkumi pengeluaran bersama EREN 4x4 di Malaysia serta eksport dari Kuala Lumpur.
Katmerciler, pengeluar kenderaan darat, menyertai IDEF dengan kenderaan perisai tahan ranjau 4x4 HIZIR – kenderaan tempur paling berkuasa dalam segmennya di Turkiye – yang menarik perhatian kerana potensi eksport yang tinggi. Ia turut mempamerkan Kenderaan Darat Tanpa Pemandu Kelas Sederhana Tahap 2 (O-IKA 2) dengan Platform Tembakan Kawalan Jauh (UKAP), yang pertama seumpanya dari Turkiye bagi kenderaan darat tanpa pemandu (UGV) yang berantai dan dikawal dari jauh.
Edisi ke-17 pameran pertahanan selama enam hari itu bermula pada Selasa dan berlangsung serentak di Pusat Pameran Istanbul, Lapangan Terbang Ataturk, Hotel Wow dan Marina Atakoy.
Acara ini dianjurkan oleh KFA Fairs dengan sokongan Sekretariat Industri Pertahanan Turkiye (SSB) dan Yayasan Angkatan Tentera Turki, dengan Anadolu sebagai rakan komunikasi global.