TÜRKİYE
2 min membaca
Erdogan beri amaran tindakan Israel akan ‘membakar seluruh dunia’
Presiden Erdogan mengecam keganasan Israel di Syria dan memberi amaran terhadap negara lain yang mahu bersekongkol dengan Tel Aviv, sambil menegaskan sokongan Turkiye untuk perpaduan Syria.
Erdogan beri amaran tindakan Israel akan ‘membakar seluruh dunia’
Presiden Recep Tayyip Erdogan sekali lagi menegaskan pendirian Turkiye yang menolak sebarang usaha memecah-belahkan Syria. / AA
18 Julai 2025

Israel adalah sebuah negara yang tidak berundang-undang, melanggar peraturan, tidak berprinsip, dan angkuh seperti pengganas, yang memperalatkan dinamik serantau untuk menghalalkan tindakannya, kata Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, sambil mengecam keganasan berterusan Israel terhadap negara-negara jiran.

Bercakap selepas mesyuarat Kabinet di Ankara pada Khamis, Presiden Turkiye itu mengutuk keras serangan Israel di Syria dan di seluruh rantau itu, sambil memberi amaran bahawa keganasan Israel yang tidak dikawal boleh mencetuskan konflik yang lebih besar.

“Israel telah menggunakan masyarakat Druze sebagai alasan untuk mengganas di Syria sejak dua hari lalu,” kata Erdogan. “Ketika ini, masalah terbesar di rantau kita adalah keganasan Israel. Jika raksasa ini (Israel) tidak dihentikan sekarang, ia akan menyalakan api di rantau kita dan membakar seluruh dunia.”

Sokongan berterusan untuk Syria

Erdogan menegaskan sekali lagi pendirian tegas Turkiye yang menolak sebarang usaha untuk memecah-belahkan Syria, dan mengulangi komitmen jangka panjang Ankara untuk mempertahankan kesatuan wilayah negara yang dilanda perang itu.

“Kami tidak bersetuju dengan pemisahan Syria semalam, dan kami sama sekali tidak akan bersetuju dengannya hari ini atau pada masa akan datang,” tegasnya.

Presiden Turkiye itu turut memberi amaran kepada negara-negara serantau agar tidak bersekutu dengan Israel, sambil menyatakan bahawa tindakan sedemikian akan membawa padah buruk.

“Mereka yang turun ke dalam perigi menggunakan tali Israel akan sedar satu hari nanti bahawa mereka telah membuat perkiraan yang silap,” katanya. “Mereka yang bergantung kepada Israel akan sedar jua akhirnya bahawa mereka telah membuat kesilapan besar.”

‘Syria yang stabil menjamin kestabilan rantau’

Erdogan menekankan bahawa masa depan Syria mempunyai kaitan dengan kestabilan seluruh rantau itu.

“Syria yang stabil akan membawa kestabilan kepada semua negara jiran; jika tidak, semua pihak akan menanggung akibatnya,” katanya. “Kami sedang memantau rapat segala perkembangan di Syria, mengekalkan komunikasi dengan rakan sejawat kami, dan akan terus berbuat demikian.”

Kenyataan Erdogan dibuat ketika kebimbangan antarabangsa semakin meningkat berikutan tindakan agresif Israel di selatan Syria, terutamanya di kawasan yang didiami komuniti Druze.

Kenyataan tegas pemimpin Turkiye ini mencerminkan kebimbangan mendalam Ankara terhadap peranan Israel yang dianggap semakin menggugat kestabilan serantau, serta kesungguhan Turkiye untuk terus mempertahankan kedaulatan Syria.

SUMBER:TRT World
Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us