Malaysia kini dikenakan tarif sebanyak 19 peratus ke atas eksportnya ke Amerika Syarikat, turun daripada kadar sebelumnya iaitu 25 peratus, menurut satu perintah eksekutif baharu yang ditandatangani oleh Presiden AS Donald Trump.
Kadar tarif baharu itu akan berkuat kuasa pada 7 Ogos dan terpakai ke atas semua barangan yang memasuki AS untuk tujuan penggunaan, kecuali penghantaran yang telah pun dalam perjalanan. Perintah yang ditandatangani pada 31 Julai itu meminda Perintah Eksekutif 14257 dan menyemak semula duti ad valorem bagi puluhan rakan dagang.
Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja masing-masing dikenakan kadar baharu sebanyak 19 peratus. Vietnam dikenakan tarif sedikit lebih tinggi iaitu 20 peratus, manakala Brunei kekal pada kadar 25 peratus. Laos dan Myanmar menerima kadar tertinggi iaitu 40 peratus. Singapura tidak termasuk dalam pusingan semakan terbaharu ini.
Dalam satu kenyataan, Rumah Putih berkata tindakan eksekutif itu adalah sebahagian daripada usaha Trump untuk mengurangkan defisit dagangan barangan AS yang semakin bertambah.
“Tindakan tegas ini mencerminkan usaha berterusan Presiden untuk melindungi Amerika Syarikat daripada ancaman asing terhadap keselamatan negara dan ekonomi, dengan mewujudkan hubungan perdagangan yang adil, seimbang dan timbal balik,” menurut kenyataan itu, sambil menambah bahawa perubahan ini bertujuan mengukuhkan asas industri pertahanan AS serta menyokong pekerja dan pengilang tempatan.
Trump sebelum ini telah mengenakan tarif asas 10 peratus ke atas negara-negara yang sedang menjalani rundingan perdagangan, dengan tarikh akhir 1 Ogos untuk memuktamadkan perjanjian atau berdepan kadar duti yang lebih tinggi. Beliau memberitahu media minggu ini bahawa “beberapa” perjanjian telah dicapai, namun tidak menyatakan negara mana yang terlibat.
Perintah eksekutif itu turut menyebut bahawa sebahagian negara yang terjejas “telah bersetuju atau sedang hampir memuktamadkan perjanjian perdagangan dan keselamatan yang bermakna” dan akan kekal dikenakan tarif disemak semula ini sehingga perjanjian dimeterai.
Satu perintah berasingan yang turut ditandatangani oleh Presiden AS akan menaikkan kadar tarif ke atas barangan dari Kanada daripada 25 peratus kepada 35 peratus, bermula 1 Ogos.
Walaupun kebanyakan negara dikenakan tarif antara 15 hingga 30 peratus, beberapa negara — termasuk Iraq (35%), Switzerland (39%) dan Syria (41%) — menerima kadar yang lebih tinggi.