Organisasi berita dan penerbitan kini berdepan pilihan yang sukar - mereka boleh memilih untuk bekerjasama dengan syarikat kecerdasan buatan (AI) atau hadapi risiko kandungan berita diambil syarikat AI.
Syarikat media multinasional milik keluarga Murdoch, News Corp, merupakan antara organisasi yang menandatangani perjanjian dengan OpenAI, dimana ia membenarkan OpenAI memaparkan kandungan berita sebagai respons kepada pencarian pengguna dalam ChatGPT.
Perjanjian ini bermakna pemaju ChatGPT dan alat AI lain seperti Sora, sebuah model AI yang boleh mencipta video realistik dan kreatif berdasarkan arahan teks, akan mempunyai akses kepada penerbitan kandungan semasa dan arkib News Corp.
Apa kesannya terhadap masa depan berita apabila dunia kewartawanan di kongsi dengan syarikat AI dan gergasi teknologi?
Kerjasama terbaharu OpenAI dengan pemain besar lain dalam dunia media “pastinya membantu News Corp menjana aliran pendapatan daripada penggunaan kandungan beritanya untuk melatih model AI, tetapi jumlah yang dibayar oleh OpenAI dalam perjanjian ini tidak tinggi berbanding nilai data itu,” kata Terry Flew, profesor komunikasi digital dan budaya di Universiti Sydney dan seorang Felo Laureate Majlis Penyelidikan Australia (ARC), kepada TRT World.
“Bagi OpenAI dan syarikat lain seperti Google, ini adalah masalah yang mereka hadapi selama ini dalam mendapatkan data yang boleh dipercayai secara sah, dan keperluan untuk model perniagaan yang lebih matang.”
Kedua-dua syarikat yang terlibat tidak mendedahkan butiran kewangan perjanjian terbaharu OpenAI, namun menurut Wall Street Journal, yang dimiliki oleh News Corp, perjanjian itu mungkin melebihi $250 juta dalam tempoh lima tahun dan ini termasuk pampasan dalam bentuk tunai dan kredit untuk penggunaan teknologi syarikat AI tersebut.
News Corp juga memiliki MarketWatch dan New York Post di AS. Syarikat ini memiliki The Daily Telegraph, news.com.au, dan The Australian di Australia, manakala The Sun, The Sunday Times, serta The Times pula di UK.
Perjanjian beberapa tahun yang diumumkan ini menyusul perjanjian OpenAI pada 29 April dengan Financial Times yang berpangkalan di London, yang melesenkan kandungannya bagi pembangunan pembelajaran AI. Penerbit lain, seperti syarikat induk Politico Axel Springer, The Associated Press, Prisa Media di Sepanyol, dan Le Monde di Perancis, turut membuat perjanjian yang sama.
“Berita adalah emas tulen bagi syarikat AI,” kata Jonathan Soma, seorang profesor yang mengajar data kewartawanan di Columbia Journalism School, kepada TRT World. “Ia ditulis oleh manusia, lebih baharu daripada had pengetahuan chatbot mereka, dan itulah apa yang ingin diketahui oleh ramai pengguna. Jika organisasi berita ingin menjual hak kepada bahan yang begitu berharga, mereka sepatutnya menetapkan harga yang sangat tinggi.”
Soma tidak percaya AI akan menggantikan kewartawanan; sebaliknya, ia “akan menjadi parasit yang melekat dalam dunia kewartawanan.”
“Tanpa wartawan, chatbot semasa tidak akan ada apa-apa untuk ditulis, tiada apa yang diterbitkan, tiada jawapan yang boleh diberikan,” jelas Soma.
“Persoalannya adalah sama ada kerjasama ini boleh memberi organisasi berita pendapatan yang setimpal dengan usaha yang diperlukan untuk menghasilkan kandungan asal. Saya tak rasa News Corp dan organisasi berita lain benar-benar tahu betapa berharganya kandungan mereka, dan saya tak rasa OpenAI mahu bayar nilai sebenar kandungan tersebut.”
Beberapa syarikat seperti New York Times dan Chicago Tribune memilih laluan lain dengan menyaman OpenAI serta Microsoft kerana menggunakan artikel mereka untuk melatih AI.
Alat AI seperti ChatGPT, Copilot dari Microsoft, dan Gemini dari Google menggunakan model bahasa besar (LLM) yang menganalisis sejumlah besar teks di internet untuk meramalkan perkataan seterusnya dalam ayat, membolehkan mereka meniru cara percakapan dan penulisan manusia.
Marius Dragomir, pengarah Media and Journalism Research Center, sebuah badan pemikir penyelidikan media dan dasar bebas, menekankan perlunya ada peraturan bagi penerbit yang berkolaborasi dengan syarikat AI. Walaupun kerjasama ini mungkin membawa manfaat komersial, tidak semua kandungan memenuhi piawaian kualiti dan ketepatan yang tinggi.
Dragomir memberitahu TRT World penting untuk semua pihak ingat bahawa ketidaksaman yang ketara adalah sifat industri media, yang boleh membawa kepada liputan yang lebih berat sebelah disebabkan beberapa pasaran media yang “berkhidmat untuk kepentingan pemiliknya.” Ada yang sangat terkonsentrasi dengan kuasa, manakala yang lain dikawal oleh propaganda dan disinformasi, sering disebarkan oleh media yang dibiayai oleh kerajaan, tambahnya.
“Dalam kes News Corp, beberapa medianya terkenal dengan kandungan tabloid yang kadangnya tidak tepat dan jelik, jadi persoalannya timbul: adakah kandungan ini sesuai untuk dipersembahkan sebagai ‘jawapan yang betul’ kepada soalan-soalan yang mungkin ditanya oleh pengguna AI?,” kata Dragomir.
Menurut profesor dari Columbia Journalism School, Soma, chatbot juga cenderung menghasilkan maklumat palsu dan melakukan pengeditan berlebihan.
“AI mudah memetik artikel tetapi kemudiannya memberi ringkasan yang salah – lihat sahaja kekecohan terkini dengan hasil carian generatif Google. Hasil AI ini, yang tidak mempunyai konsep kebenaran, boleh menjadi tempat pembiakan bagi maklumat salah,” katanya.
Bagi pengasas Media CoPilot Pete Pachal, sebuah newsletter di Substack tentang bagaimana AI mengubah media dan kewartawanan, kerjasama antara OpenAI dan News Corp “terasa seperti satu perubahan baharu.”
Walaupun masa depan berita kelihatan tidak menentu dikala The New York Times menyaman OpenAI atas pelanggaran hak cipta pada Disember, Pachal memberitahu TRT World, “Nampaknya perjanjian kandungan akan menjadi kebiasaan,” dengan adanya perjanjian yang dibuat dengan penerbit terkenal seperti AP dan Axel Springer - dan yang terbaharu, News Corp.
“The New York Times telah menemui beberapa sekutu kecil dalam tuntutan mahkamahnya, tetapi tidak ramai. Namun, sekiranya keputusan memihak kepada Times, walaupun sedikit, boleh mengubah keseluruhan gambaran ini.”
“Dari segi taktik, perjanjian ini masuk akal kerana ia akan memberi penerbit pendapatan yang sangat diperlukan dalam jangka pendek,” kata Pachal. Namun, ini mungkin menjadi kesilapan dalam jangka panjang kerana syarikat AI pada dasarnya dibenarkan untuk “memiliki hubungan pelanggan bagi ringkasan AI,” tambahnya.
Menurut Pachal, Google adalah “pemain besar yang mempengaruhi desakan ini.” Katanya penerbit akan mengalami penurunan trafik apabila AI Overviews Google, yang mempunyai ringkasan AI di bahagian atas enjin cariannya, kerap digunakan.
“Tidak akan ada perjanjian dengan Google mengenai kandungan,” jelas Pachal, “kerana Google, sama ada betul atau salah, hanya melihat AI Overviews sebagai lanjutan daripada perayapan web yang telah dilakukannya selama beberapa dekad.”
Tambahnya, “Akibat terbesar daripada perjanjian dengan OpenAI ini adalah penerbit akan terdorong untuk menyokong OpenAI dalam sebarang perselisihan mengenai masa depan carian AI. Kerana jika Google menang, semua wang itu akan kering dengan cepat.”
Apabila pengguna semakin selesa dengan alat AI yang memberi respons langsung kepada pertanyaan, timbul kebimbangan bahawa manusia mungkin akan bergantung lebih kepada chatbot untuk maklumat berbanding laporan yang dilakukan oleh wartawan dan syarikat media.
Alfred Hermida, seorang profesor di Sekolah Kewartawanan, Penulisan, dan Media di Universiti British Columbia, di mana beliau pernah berkhidmat sebagai pengarah selama lebih lima tahun, menjelaskan kepada TRT World bahawa laman web berita mungkin kehilangan pembaca santai yang mahu kemas kini berita cepat, yang membawa kepada penurunan ketara dalam trafik.
“Mereka adalah sumber pendapatan berharga untuk penerbit, tetapi mampu membahayakan dalam jangka panjang kerana sistem AI dapat dilatih dengan menggunakan kandungan kewartawanan,” kata Hermida, sambil menambah bahawa perjanjian yang dibuat dengan News Corp penting untuk OpenAI kerana ia membekalkan bahan latihan yang diperlukan secara berterusan.
“Apa yang kurang jelas ialah apa akan terjadi pada pihak media jika dan apabila sistem seperti ChatGPT belajar menghasilkan laporan berita yang sangat baik.”
Kerjasama ini boleh memperluaskan audiens News Corp dengan kehadiran mereka yang biasanya tidak mengunjungi saluran beritanya. Namun, kata Hermida masih tidak jelas sama ada ini akan meningkatkan pembacaannya.
“Bukti dari media sosial menunjukkan bahawa ini tidak membantu menerapkan kesetiaan jenama kerana orang ramai akan menyebut perantara, contohnya, Facebook, sebagai sumber berita,” menurut Hermida, yang melihat perjanjian antara organisasi berita dan syarikat AI sebagai “pedang bermata dua.”
“Risikonya ialah penerbit berita akan bergantung kepada syarikat AI, seperti yang mereka lakukan dengan Facebook untuk visits dan pendapatan.”
Kualiti ringkasan ini dan pengalaman keseluruhan pengguna bagi pertanyaan berita yang dihasilkan AI akan menentukan sama ada ia akan menjadi sumber utama maklumat bagi orang ramai.
Erik Borra dari fakulti kajian kemanusiaan dan media di Universiti Amsterdam berkata orang ramai mungkin perlu bersiap sedia menghadapi perubahan dalam cara kandungan berita diakses.
Menurutnya, “Pengguna berkemungkinan tidak akan mengklik laman web penerbit. Bagi penerbit, ia akan menjadi lebih sukar untuk ‘mengesan’ berita mana yang popular, dan mereka tidak lagi dapat menjalankan iklan di sebelahnya (di mana lebih banyak tontonan biasanya bermaksud lebih banyak wang).
“Ini juga mungkin bermaksud penurunan dalam langganan individu.”