PERANG GAZA
7 min membaca
Kebuluran menjadi senjata pembersihan etnik dan kekejaman genosid Israel di Gaza
Sekatan makanan terhadap jutaan penduduk Gaza oleh Israel adalah sama seperti kekejaman kem Nazi dan eksperimen penjajah Britain di India yang membiarkan rakyat negara itu kebuluran.
Kebuluran menjadi senjata pembersihan etnik dan kekejaman genosid Israel di Gaza
(Kiri) Yazan al-Kafarneh, anak Palestin yang maut akibat kurang zat makanan pada 2024; dan seorang subjek eksperimen Nazi di Warsaw pada 1942. / TRT World
22 Julai 2025

Eksperimen kelaparan British: Pelan dasar penjajahan

Pada 2006, selepas Hamas memenangi pilihan raya Palestin, Israel bersama Kuartet Timur Tengah — Amerika Syarikat, Rusia, PBB dan Kesatuan Eropah — melancarkan sekatan ekonomi terhadap rakyat Palestin. Israel sengaja melakukan sekatan tersebut supaya ekonomi Palestin di Gaza akan berada “di ambang kehancuran,” menurut satu dokumen diplomatik AS yang didedahkan oleh WikiLeaks.

Di belakang tabir, pemimpin Israel berulang kali memberitahu diplomat Amerika bahawa sebagai sebahagian daripada pelan sekatan menyeluruh terhadap Gaza, “mereka berniat mengekalkan ekonomi Gaza di ambang kehancuran tanpa benar-benar menjatuhkannya.” Sejak bermulanya sekatan pada 2007, kerajaan Israel telah mula menganggarkan jumlah kalori harian yang diperlukan untuk mencegah atau menyebabkan kekurangan zat makanan di Gaza.

Pengambilan kalori harian purata yang kritikal untuk kelangsungan hidup dianggarkan sekitar 2,100 kilokalori (kcal) sehari. Dokumen “Garis Merah” Israel menggunakan anggaran lebih tinggi iaitu 2,279 kalori seorang, mengambil kira pengeluaran makanan domestik di Gaza. Pengiraan seperti ini mempunyai sejarah panjang yang gelap dalam masyarakat penjajah haram.

Selepas kemarau teruk dan kegagalan tanaman di Dataran Tinggi Deccan pada 1876, Kebuluran Besar di India Selatan berlarutan selama dua tahun - penuh mimpi ngeri dan merebak ke bahagian utara.

Ketika itu, Pesuruhjaya Kebuluran British Sir Richard Temple melaksanakan eksperimen ke atas manusia, dengan “lelaki-lelaki muda yang gagah” dibiarkan kelaparan sehingga mereka kelihatan seperti “kerangka bernyawa … langsung tidak layak untuk bekerja.”

Bagi memaksimumkan kutipan hasil British, Temple berusaha menentukan jumlah makanan minimum untuk kelangsungan hidup, yang dianggarkannya sekitar 1,627 kcal di Madras pada 1877.

Namun, kadar kematian berlebihan yang berkaitan dengan kebuluran dianggarkan mencecah sehingga 8 juta orang.

Shoah 2008–2009 di Gaza

Di Gaza, matlamat Israel adalah untuk mengekalkan ekonomi “di ambang kehancuran” sambil mengelak krisis kemanusiaan.

Kabinet Netanyahu ketika itu berhasrat untuk “meletakkan rakyat Palestin dalam diet, tetapi bukan untuk membuat mereka mati kelaparan.”

Semasa Perang Israel ke atas Gaza 2008–2009, wilayah itu dikenakan apa yang disebut sebagai “Shoah” (bahasa Ibrani untuk Holocaust), seperti yang diakui oleh Timbalan Menteri Pertahanan Israel ketika itu, Matan Vilnai.

Israel berharap tindakan itu akan menyebabkan rakyat Palestin di Gaza berpaling tadah terhadap Hamas. Tujuannya adalah untuk “memundurkan Gaza kepada beberapa dekad ke belakang,” kata Jeneral Pemerintah ketika itu, Yoav Gallant — yang 15 tahun kemudian menjadi sasaran waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas dakwaan “jenayah perang menggunakan kebuluran sebagai kaedah peperangan dan menyerang orang awam secara sengaja; serta jenayah terhadap kemanusiaan termasuk pembunuhan, penganiayaan, dan tindakan tidak berperikemanusiaan yang lain.”

Pada Mei 2018, Majlis Keselamatan PBB (UNSC) sebulat suara meluluskan Resolusi 2417 yang mengecam penggunaan kebuluran terhadap orang awam sebagai kaedah peperangan, serta penafian kemasukan bantuan kemanusiaan secara tidak sah kepada populasi awam.

Namun, sepanjang perang di Gaza, hampir keseluruhan prinsip dalam Resolusi 2417 UNSC telah dilanggar — sekali gus membuka jalan kepada kekejaman genosid Israel di Gaza dan persekongkolan Barat yang diketuai AS dalam pembantaian tersebut.

Dari kebuluran cara Nazi kepada rancangan jeneral Israel

Dalam tinjauan sejarah, pengepungan total Israel terhadap Gaza yang padat dengan penduduk — termasuk 2.3 juta pelarian Palestin — bukanlah sesuatu yang unik. Ia mempunyai persamaan dengan pengepungan Leningrad dan 3.1 juta penduduknya.

Sebahagian daripada Hungerplan Nazi oleh ideolog SS, Herbert Backe, objektif utamanya adalah untuk membiarkan kira-kira 31 hingga 45 juta rakyat Soviet dan Eropah Timur mati kebuluran dengan cara merampas stok makanan dan menyalurkannya kepada tentera Jerman.

Dengan bantuan eugenik (ideologi pemurnian bangsa melalui kawalan genetik) Amerika dan rasisme kulit putih, layanan AS terhadap penduduk asal (Native American) menjadi inspirasi dasar kebuluran di Jerman Nazi pimpinan Hitler.

Menggunakan kebuluran sebagai senjata telah diajar kepada satu generasi rakyat Jerman pada 1914–1919, apabila British mengenakan sekatan terhadap Jerman.

Matlamatnya ialah untuk menghalang Jerman daripada mengimport barangan — sekali gus membuat rakyat dan tenteranya kebuluran sehingga menyerah kalah.

Di Gaza, ‘Rancangan Jeneral’ Israel — berasaskan sekatan bekalan makanan dan penyebaran wabak — tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya akibat tekanan dan tentangan antarabangsa.

Namun, pelaksanaannya secara separa telah pun menghumban Gaza ke ambang kebuluran seawal Oktober 2024, dengan pegawai tertinggi PBB menggambarkan keadaan di Gaza utara sebagai “kiamat,” apabila semua orang di sana “berisiko mati akibat penyakit, kebuluran dan keganasan.”

Persamaan yang mengerikan

Dalam sepucuk surat dengan nada yang tajam, Setiausaha Negara AS Antony Blinken memberikan kata dua kepada Israel — tempoh 30 hari untuk memastikan lebih banyak trak bantuan memasuki Gaza setiap hari. Menurut PBB, Israel gagal memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan AS pada awal November. Namun, pentadbiran Biden ketika itu tidak mengambil sebarang tindakan, manakala Blinken pula buat-buat lupa.

Satu kajian menyeluruh mengenai ketersediaan makanan di Gaza menunjukkan bahawa antara Oktober 2023 hingga April 2024, jumlah trak makanan yang memasuki Gaza kekal di bawah paras sebelum perang. Tetapi, sejauh mana seriusnya situasi di Gaza jika dibandingkan dengan peristiwa sejarah yang serupa?

Dalam karya klasiknya Axis Rule in Occupied Europe (1944), Raphael Lemkin — sarjana perintis dalam kajian kekejaman besar-besaran dan pengasas Konvensyen Genosid — memberi amaran bahawa “penduduk Yahudi di wilayah-wilayah jajahan sedang melalui proses penghapusan (1) melalui kelemahan dan kebuluran, kerana catuan makanan untuk orang Yahudi ditetapkan pada tahap yang sangat rendah; dan (2) melalui pembunuhan beramai-ramai di dalam ghetto.”

Lemkin mengukuhkan hujahnya dengan data dari laporan AS pada 1943, yang menunjukkan bahawa orang Yahudi hanya menerima satu persepuluh daripada pengambilan kalori normal — hampir sama dengan kadar yang diterima ramai rakyat Palestin di Gaza lapan dekad kemudian.

Mukadimah pembersihan etnik dan genosid

Dalam konteks sejarah, penggunaan kebuluran secara besar-besaran sebagai senjata telah lama dikaitkan dengan aktiviti imperialisme dan penjajahan — dan sering menjadi pentas awal kepada kekejaman genosid.

Dalam kerangka ini, keganasan penjajah melakukan pembunuhan beramai-ramai dapat dilihat menerusi kem tahanan Nazi, seperti kem British semasa Perang Boer Kedua (1899–1902), diikuti dengan genosid Herero dan Namaqua (1904–1908) di bawah Empayar Jerman.

Daripada Empayar British di India sehinggalah ke Afrika Barat Daya Jerman (kini Namibia), kebuluran dan kelaparan pernah digunakan sebagai ‘mukadimah’ kepada genosid, seperti yang ditegaskan oleh Raphael Lemkin:

“Teknik paling langsung dan paling drastik dalam genosid adalah pembunuhan. Ia boleh berlaku dalam bentuk pembunuhan secara perlahan yang bersifat saintifik melalui kebuluran besar-besaran, atau pembunuhan pantas tetapi tidak kurang saintifik melalui pemusnahan besar-besaran di bilik gas, hukuman mati beramai-ramai, atau pendedahan kepada penyakit dan keletihan.”

Mengikut sejarah, kebuluran besar-besaran dan genosid memasuki fasa baharu pada era Nazi, hasil kekejaman industri, kecekapan sistem pembunuhan berantai, dan inovasi saintifik.

Dalam satu ironi yang menyakitkan, kem tahanan dan kebuluran secara besar-besaran berjalan seiring dengan kemunculan dunia moden di Barat. Satu cara yang paling kasar untuk membandingkan tindakan ini merentasi masa dan lokasi ialah melalui pengiraan kalori.

Pengambilan kalori dari kem tahanan Nazi ke Gaza

Pengepungan Nazi ke atas Leningrad (kini St. Petersburg) dari musim luruh 1941 hingga Januari 1944 merupakan antara pengepungan paling lama dan paling memusnahkan dalam sejarah.

Apabila tentera Jerman menghalang bekalan makanan daripada memasuki kota itu, separuh daripada populasi seramai 2.4 juta orang meninggal dunia — kebanyakannya akibat kebuluran. Sepanjang tempoh maut yang dikenali sebagai Musim Sejuk Kebuluran, purata catuan harian hanyalah sekitar 300 kalori.

Catuan rasmi yang lebih rendah lagi direkodkan dalam kajian kebuluran di Ghetto Warsaw pada 1942. Dengan niat untuk menyebabkan kebuluran di seluruh ghetto dalam masa beberapa bulan, pihak Nazi hanya membenarkan pengambilan 180 kalori sehari bagi setiap tahanan, selain menahan vaksin dan ubat-ubatan penting untuk mencegah penyebaran penyakit dalam kawasan yang sesak itu.

Disebabkan itu, pasaran gelap berkembang pesat, menyumbang 80 peratus daripada bekalan makanan ghetto dan menghidupkan rangkaian 250 dapur amal. Apa pun jumlah pengambilan kalori sebenar, ia menjadi laluan perlahan dari kebuluran kepada kematian.

Seperti yang ditulis Raphael Lemkin, penggunaan kebuluran sebagai senjata sering dikaitkan dengan pembersihan etnik “selepas pemindahan penduduk asal dan penjajahan kawasan tersebut oleh warga negara penindas.”

Bagaimana pula dengan Gaza? Diukur berdasarkan jumlah keseluruhan bekalan makanan yang memasuki wilayah tersebut sejak Oktober 2023, pengambilan kalori penduduk dianggarkan sekitar 860 kcal sehari — satu pertiga lebih rendah daripada kadar di kem Nazi lebih lapan dekad lalu.

Apabila pencerobohan Jerman ke atas Kesatuan Soviet gagal dan arus Perang Dunia Kedua berubah, keadaan di kem Nazi semakin merosot, dengan pengambilan kalori harian susut kepada 700 kcal pada 1944.

Namun angka itu hampir tiga kali ganda lebih tinggi daripada 245 kcal yang direkodkan di Gaza utara pada separuh pertama 2024 — sewaktu akhbar New York Post menyiarkan tajuk utama penuh kontroversi bahawa tiada kebuluran di Gaza.

(Petikan ini diambil daripada buku terbaharu Dr. Dan Steinbock, The Obliteration Doctrine, dan disediakan secara eksklusif kepada TRT World.)

SUMBER:TRT World
Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us