Asal mula konflik Israel-Palestin dapat dikesan sejak akhir abad ke-19 dengan kemunculan gerakan Zionis yang bertujuan menubuhkan negara untuk orang Yahudi di Palestin. Sejak itu, wilayah tersebut mula dilanda siri peperangan, penjajahan dan pemberontakan.
Ini bukan kali pertama konflik ini bertukar menjadi ganas. Dari peperangan Arab-Israel pada 1948, Perang Enam Hari (1967), Perang Lebanon (1982) dan dua Intifada Palestin, wilayah ini telah menyaksikan banyak keganasan. Namun, yang membezakan 7 Oktober ialah keupayaan Hamas untuk menguasai wilayah di Israel. Walaupun hanya untuk waktu yang singkat, ia adalah sesuatu yang belum pernah dicapai oleh mana-mana kumpulan pejuang Palestin sebelum ini.
Pejuang Hamas berjaya menawan pangkalan tentera Re’im, iaitu markas Israel di Gaza, dalam operasi yang menyebabkan semua tentera Israel di situ sama ada terkorban atau ditangkap. Walaupun tentera Israel akhirnya berjaya mendapat kembali pangkalan tersebut, kejadian itu menggoyang keyakinan Israel mengenai kehebatan tenteranya.
Mengapa 7 Oktober berbeza?
Bagi kebanyakkan pengulas isu Palestin, peristiwa 7 Oktober tiada “precedent” atau duluan. “Seingat saya tiada,” kata Kamel Hawwash, seorang profesor, penulis dan penganalisis politik Palestin kepada TRT World, merujuk kepada keunikan 7 Oktober dimana wilayah di Israel berjaya ditakluki dalam peperangan panjang ini.
Ahli Akademik Palestin Sami al-Arian berkata walaupun Hamas pernah menyerang Israel beberapa kali, ini adalah kali pertama mereka berjaya menguasai tanah jajahan Israel untuk seketika.
“Ingat, ini adalah kali pertama sejak perang 1973 di mana Israel diserang dahulu. Cuma kali ini Israel diserang di wilayahnya sendiri, berbeza dengan 1973 dimana Mesir menyerang wilayahnya di Sinai manakala Syria di Bukit Golan,” kata Arian kepada TRT World.
Semenanjung Sinai, yang telah dicerobohi dua kali oleh Israel, pertama pada akhir 1950-an dan kali kedua antara 1967 dan 1982, adalah wilayah milik Mesir, manakala Bukit Golan yang berada di bawah jajahan Tel Aviv sejak 1973, secara rasmi adalah sebahagian daripada Syria.
Joost Hiltermann, Pengarah Program Timur Tengah di International Crisis Group, merenung kepentingan 7 Oktober. “Kami tidak pernah melihat perkara seperti ini,” katanya.
Hiltermann menggambarkan serangan itu sebagai “gabungan semua perkara yang telah terjadi sebelum ini,” merujuk kepada pelbagai peringkat penentangan oleh rakyat Palestin, dari usaha yang disokong oleh Mesir dan negara Arab lain pada 1960-an dan 1970-an, hingga Intifada dan beberapa peperangan di Gaza.
Sesetengah penganalisis membuat perbandingan terhadap Perang Oktober 1973, iaitu satu lagi konflik penting antara negara Arab dan Israel yang juga bermula pada awal Oktober. Namun, kali ini, Israel diserang di dalam sempadannya sendiri, berbeza dengan 1973 apabila Mesir dan Syria menyasarkan wilayah yang diduduki Israel.
Pada 7 Oktober 2023, serangan Hamas mengorbankan 1,180 orang Israel termasuk orang awam, mencederakan 2,400 orang dan seterusnya kumpulan pejuang Palestin itu mengambil 251 orang sebagai tebusan di Gaza. Selepas serangan itu, Israel membunuh hampir 42,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Perubahan selepas 7 Oktober
Sebelum 7 Oktober, Israel merasa yakin bahawa corak politik yang telah lama wujud di Timur Tengah, dimana negara-negara Arab enggan mengakui kewujudan negara Yahudi di rantau itu, telah berubah memihak kepadanya. Beberapa negara Arab telah mula menormalisasi hubungan dengan Israel, hasil pengantaraan pentadbiran Donald Trump.
“Sebelum 7 Oktober, Israel seolah-olah sedang menulis bab terakhir projek penjajahannya di Palestin. Ia hampir menundukkan kepimpinan Palestin, memecahkan perpaduan nominal sokongan Arab terhadap Palestin dan bersedia untuk mengambil sebahagian besar Tebing Barat,” kata Ramzy Baroud, seorang penulis dan penganalisis Palestin, yang merujuk kepada normalisasi hubungan, peminggiran pihak berkuasa Palestin dan pengepungan Gaza yang berterusan.
Baroud menggambarkan ucapan Netanyahu di PBB pada 2023 sebagai “kemuncak detik yang memusnahkan dalam sejarah,” apabila Perdana Menteri Israel itu membentangkan peta yang tidak memasukkan mana-mana wilayah Palestin, dan menyebutnya sebagai “Timur Tengah Baharu.” Dalam visi Netanyahu, “Palestin tidak wujud sebagai sebuah realiti politik, dan rakyat Palestin tidak lagi relevan sebagai sebuah negara yang mempunyai aspirasi,” kata Baroud.
Namun, dua minggu selepas ucapan Netanyahu di PBB, peristiwa 7 Oktober yang tidak dijangka itu berlaku dan ia mengubah segalanya, “mengembalikan hak rakyat Palestin untuk mencapai perdamaian di Timur Tengah, meneutralkan keupayaan tentera Israel yang menggunakan kekerasan untuk mencapai objektif politiknya dan mendedahkan normalisasi antara Israel dan negara Arab sebagai satu sandiwara,” tambah Baroud.
Serangan 7 Oktober membolehkan Hamas mengganggu integrasi Israel ke dalam Timur Tengah “dengan sangat berkesan”, terutamanya melalui cadangan Koridor Ekonomi India-Timur Tengah-Eropah, “dengan memulakan perang baharu,” kata Hiltermann. Bagaimanapun, beliau juga percaya bahawa Hamas tidak berjaya mencapai hasil yang banyak secara keseluruhannya.
Kesan Serantau
Kedudukan Israel di pentas antarabangsa kini di bawah tekanan. Negara-negara Barat, terutamanya di Eropah, menjadi lebih lantang dalam mengkritik tindakan Israel, manakala penyokong Palestin mendapat tumpuan dunia.
Selepas 7 Oktober, diplomasi serantau Israel, khususnya rundingannya dengan Arab Saudi yang bergerak ke arah normalisasi telah terhenti. Arab Saudi kini enggan menormalkan hubungan dengan Tel Aviv susulan kekejaman di Gaza. Negara-negara seperti Turki, Afrika Selatan dan Iran meneruskan kritikan terhadap tindakan Israel, manakala di PBB kuasa besar seperti China dan Rusia menyuarakan kebimbangan terhadap tindakanp Israel.
Pakar-pakar PBB memberi amaran kepada Israel bahawa ia berisiko menjadi sebuah negara “pariah.” Tidak seperti Amerika Syarikat di platform PBB, China dan Rusia - dua kuasa besar - mengecam serangan pager dan walkie-talkie Israel di Lubnan, yang dilihat sebagai pelanggaran undang-undang kemanusiaan. Beberapa negara Eropah seperti Sepanyol dan Ireland turut memberi amaran kepada Tel Aviv sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang selepas ini.
Baroud berkata satu bentuk legitimasi baharu sedang muncul di peringkat global, yang berpihak kepada Gaza dan menentang penjajahan Israel serta pelanggaran hak asasi manusia. Peralihan ini, katanya, menggantikan “old order” (cara lama), ketika mana Israel terus melakukan apa yang digambarkannya sebagai “kekejaman yang tidak terkata” yang berdepan dengan “penentangan legenda” rakyat Palestin.
“Legitimasi kini milik mereka yang berdiri bersama Gaza, berjuang dan berkorban untuk Gaza, serta memperluas sempadan konflik atas nama Gaza. Mereka yang berada di pihak lain telah mengalami delegitimasi yang tidak pernah dilihat sebelum ini.”
7 Oktober sememangnya mengubah lanskap konflik Israel-Palestin. Apa yang sebelum ini dilihat sebagai perkara yang telah dijangka kesudahannya, dengan Israel memegang kawalan penuh dan harapan Palestin terus pudar, kini terdapat ketidakpastian. Serangan itu bukan sahaja mendedahkan kelemahan Israel tetapi turut mengesahkan bahawa perdamaian di Timur Tengah tidak boleh dicapai tanpa menangani isu Palestin.
“Ini bermakna, tempoh pasca 7 Oktober akan memaksa penulisan semula peraturan politik dan geopolitik yang menguasai Palestin. Ini melibatkan seluruh Timur Tengah, termasuk kedudukan Israel dengan negara-negara Arab serta paradigma kuasa serantau yang berpusat di AS,” kata Baroud.