Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menuduh bekas Presiden Barack Obama merancang satu rampasan kuasa terhadap pentadbirannyanya serta menggesa pihak berkuasa mengambil “tindakan tegas” dan “mengheretnya ke muka pengadilan.”
Dalam sidang media bersama Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. di Pejabat Oval pada Selasa, Trump menjawab soalan mengenai tokoh kewangan penuh kontroversi Jeffrey Epstein dan pelaku pemerdagangan seks kanak-kanak Ghislaine Maxwell namun kemudiannya mengalih perhatian kepada Obama.
“Anda sepatutnya memburu Presiden Obama,” katanya. “Apa yang mereka lakukan terhadap negara ini… bermula pada 2016 dan hingga 2020… mereka cuba menipu pilihan raya, dan mereka telah ‘kantoi’, dan sepatutnya ada tindakan tegas terhadap hal ini,” ujar Trump.
Beliau turut menuduh Obama terlibat secara langsung, dengan mendakwa: “Obama telah tertangkap secara langsung… Arahan beliau tertera di atas kertas. Kertas itu telah ditandatangani.”
Trump mendakwa bahawa apa yang ada dalam tangan pihak berkuasa bukan sekadar bukti, tetapi “bukti tidak boleh disangkal bahawa Obama bersikap subversif, bahawa Obama… cuba mengetuai satu rampasan kuasa.”
Beliau menuduh Obama, bersama bekas Setiausaha Negara Hillary Clinton dan bekas Presiden Joe Biden, sebagai dalang di sebalik satu operasi jenayah, dengan Obama sebagai “ketua geng.”
“Apa yang mereka lakukan pada 2016 dan 2020 adalah jenayah pada tahap tertinggi,” tambahnya.
“Mereka cuba merompak pilihan raya. Mereka cuba menyembunyikan keputusan pilihan raya. Mereka melakukan perkara yang tidak pernah dibayangkan sesiapa pun, walaupun di negara lain,” katanya.
‘Cubaan untuk alih perhatian’
Pejabat Obama mengeluarkan kenyataan balas mengecam dakwaan yang disifatkan sebagai “pelik” dan “melampau.”
“Sebagai menghormati institusi presiden, pejabat kami biasanya tidak melayan kepalsuan dan maklumat salah yang sering dikeluarkan dari Rumah Putih ini. Tetapi dakwaan kali ini cukup keterlaluan. Tuduhan pelik ini adalah tidak masuk akal dan satu cubaan lemah untuk mengalih perhatian,” kata kenyataan itu.
Obama juga menolak dakwaan pentadbiran Trump bahawa beliau telah memanipulasi penilaian risikan berkenaan campur tangan Rusia dalam pilihan raya 2016.
Pengarah Perisikan Negara (DNI) Tulsi Gabbard mengeluarkan satu laporan pada Jumaat lalu yang menggariskan dakwaan penipuan pilihan raya dan menuduh beberapa pegawai terlibat dalam satu “konspirasi berunsur pengkhianatan.”
“Tiada apa dalam dokumen yang dikeluarkan minggu lalu menafikan kesimpulan yang diterima secara meluas bahawa Rusia berusaha mempengaruhi pilihan raya presiden 2016 tetapi tidak berjaya memanipulasi sebarang undi. Penemuan ini turut disahkan dalam laporan 2020 oleh Jawatankuasa Perisikan Senat dwipartisan yang ketika itu dipengerusikan oleh Marco Rubio,” tambah kenyataan pejabat Obama.
Trump telah lama menjadikan Obama sebagai sasaran. Pada 2011, beliau menuduh Obama — ketika itu Presiden — tidak dilahirkan di Amerika Syarikat, menyebabkan Obama terpaksa mendedahkan salinan sijil kelahirannya.