KUALA LUMPUR — Malaysia akan menurunkan had umur belia pada 1 Januari 2026, selepas dua kali penangguhan sebelumnya, menurut Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh pada sesi Majlis Perundingan Belia Negara (MBPN) yang berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) semalam.
Menurut beliau Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menjelaskan isu itu melalui beberapa sesi keterlibatan dan juga menyediakan sokongan pembiayaan untuk membantu pelaksanaan peralihan umur belia.
Sewaktu sesi MPBN, beberapa wakil belia telah meluahkan kebimbangan bahawa persatuan belia, terutamanya di kawasan luar bandar, masih belum bersedia untuk pelaksanaan ini. Ada juga pihak belia yang meminta agar had umur ditetapkan pada 35 tahun.
Menurut Hannah, belia Malaysia yang di luar badan-badan persatuan sudah berubah. Oleh itu, pelaksanaan had umur baru harus dilaksanakan selaras dengan perubahan masa.
Beliau juga menyatakan, "KBS akan mencadangkan kertas kerja kepada kabinet supaya semua kementerian meneruskan bantuan dan sokongan yang sedia ada, mengikut kumpulan umur masing-masing, untuk tempoh yang tertentu.”
Pada November 2023, Hannah menyatakan efektif 2026, Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 akan berkuatkuasa. Selaras dengan definisi umur belia di bawah pindaan ini, jumlah belia di Malaysia turun kepada 9.9 juta atau 30.5% jumlah penduduk Malaysia. Sebelum ini, julat umur belia adalah pada 15-40 tahun, iaitu 15.1 juta 46.5% jumlah penduduk negara itu.
Pindaan ini juga akan mengehadkan julat umur pemegang jawatan dalam pertubuhan belia kepada 18-30 tahun, serta mengehadkan tempoh jawatan kepada empat tahun.
Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) yang ditubuhkan pada 1971 berfungsi sebagai arena untuk pemimpin belia di Malaysia untuk membentangkan isu-isu belia kepada kerajaan Malaysia.