KUALA LUMPUR — Dalam satu langkah perpaduan yang kukuh, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri Viet Nam, Bùi Thanh Sơn, berdiri di hadapan pemimpin global di Persidangan Keempat Kerjasama Negara-negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD IV) dan mengulangi komitmen teguh Viet Nam terhadap keadilan untuk Palestin, menurut Viet Nam News.
Viet Nam kekal dalam pendiriannya menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat—dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kotanya—berdasarkan sempadan sebelum 1967. Komitmen Viet Nam selaras dengan resolusi-resolusi PBB yang tertentu.
Semasa persidangan CEAPAD, beliau mengumumkan bahawa bantuan kemanusiaan bernilai $350,000 akan disalurkan untuk Palestin menerusi pertubuhan antarabangsa bagi meringankan penderitaan dan menyokong proses pembinaan semula. Sokongan terhadap Palestin tidak berakhir di situ. Beliau juga menyatakan Viet Nam bersedia untuk bekerjasama dengan rakan kongsi lain, lebih-lebih lagi dari Timur Asia untuk mengumpul sumber tertentu, berkongsi kepakaran pembangunan, serta menyokong usaha pengukuhan kapasiti.
Para delegasi CEAPAD menyuarakan kerisauan mereka terhadap situasi kemanusiaan di Gaza, menyeru keganasan ditamatkan dan gencatan senjata dilaksanakan agar keselamatan orang awam terjamin dan usaha kemanusiaan dapat diteruskan.
Persidangan yang dipengerusikan bersama oleh Malaysia dan Jepun telah menyaksikan rangka kerja Pelan Tindakan Kuala Lumpur CEAPAD IV diluluskan. Rangka kerja ini bertujuan untuk mengukuhkan dan menyelaraskan usaha yang bersesuaian dengan keperluan Palestin.
Malaysia merupakan pengerusi ASEAN untuk 2025. ASEAN adalah pertubuhan 10 negara di Asia Tenggara yang ditubuhkan pada 1967 bermula dengan Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand, dan Singapura dan kini termasuk Brunei Darussalam, Cambodia, Lao, Myanmar, dan Vietnam.