Amerika Syarikat (AS) telah mengenakan sekatan terhadap Pelapor Khas Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), Francesca Albanese, atas usahanya untuk menggerakan tindakan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap pegawai AS dan Israel.
"Pada hari ini, saya mengenakan sekatan ke atas Pelapor Khas UNHRC Francesca Albanese atas usahanya yang tidak sah dan memalukan untuk mendesak tindakan ICC terhadap pegawai, syarikat, dan eksekutif AS serta Israel," tulis Setiausaha Negara Marco Rubio di X pada hari Rabu.
Beliau menuduh Albanese melancarkan "kempen perang politik dan ekonomi" terhadap kedua-dua negara dan menyatakan bahawa tindakan sedemikian "tidak akan lagi diterima sama sekali".
"Kami akan sentiasa berdiri bersama rakan-rakan kami dalam hak mereka untuk mempertahankan diri," tambah Rubio.
Sekatan ini dikenakan susulan laporan Albanese minggu lalu yang mengenal pasti syarikat-syarikat yang memudahkan pendudukan Israel di tanah Palestin, termasuk Microsoft, Alphabet (Google), Amazon, dan Palantir, yang menyediakan peralatan ketenteraan, teknologi pengawasan, serta infrastruktur yang menyokong pendudukan haram tersebut.