Sekitar 66 juta tahun yang lalu, sebuah asteroid sebesar Gunung Everest meluncur melalui angkasa dengan kelajuan luar biasa. Ia bergerak pantas dalam kegelapan dan akhirnya menghentam Bumi.
Kesan hentaman itu melepaskan sejumlah tenaga yang luar biasa—serupa dengan letupan berbilion bom atom secara serentak! Kemusnahannya sangat dahsyat sehingga menghapuskan 75% daripada semua spesies di planet ini, termasuk dinosaur.
Itulah asteroid terbesar yang pernah menghentam Bumi, dan kini ia dirujuk sebagai “pemusnah planet”. Kini, asteroid secara amnya tidak menimbulkan ancaman besar untuk kita. Namun, baru-baru ini, saintis memberi amaran terdapat satu asteroid yang sedang menuju ke arah laluan yang hampir dengan Bumi. Adakah ia sangat dekat atau jauh? Nampaknya, ada kemungkinan ia boleh menghentam kita dalam beberapa tahun akan datang.
Dari letupan besar dan gelombang seismik hingga gangguan iklim serantau, inilah yang boleh kita jangkakan jika asteroid ini benar-benar menghentam Bumi. Anda sedang mendengar Santapan Minda oleh TRT Global Podcasts. Podcast ini menyaji anda dengan artikel pilihan dari TRT Global, diadaptasi untuk pengalaman mendengar dan menghayati.
Pada 27 Disember 2024, saintis menemui sebuah asteroid baharu yang dinamakan 2024 YR4. Tidak banyak yang diketahui mengenai batu angkasa ini, tetapi ahli astronomi sedang mengesannya dengan teliti untuk mendapatkan lebih banyak maklumat—dan tidak lama lagi, pemerhatian ini mungkin melibatkan balai cerap paling berkuasa yang pernah dilancarkan ke angkasa.
Asteroid 2024 YR4 ini dianggarkan mempunyai kelebaran sekitar 90 meter—lebih kurang sebesar padang bola. Batu sebesar itu mungkin kelihatan kecil berbanding saiz Bumi, tetapi sebenarnya cukup besar untuk menyebabkan kemusnahan yang ketara. Dengan kelajuan lebih 61,000 kilometer sejam, Agensi Angkasa Eropah meramalkan ia mampu menembusi kerak Bumi pada tahun 2032 dan mengakibatkan kerosakkan berskala besar yang boleh memusnahkan sesebuah bandar besar.
Jadi, apakah kebarangkalian ia akan menghentam bumi?
Pusat Kajian Objek Menghampiri Bumi di NASA menyatakan kemungkinan pelanggaran adalah sebanyak 2.3% dalam tempoh tujuh tahun. Anda mungkin berfikir, “oh, 2.3% je? Itu peratusan yang sangat rendah!”
Benar, ia adalah kebarangkalian kecil. Tetapi masalahnya ialah, beberapa minggu yang lalu, kebarangkalian itu hanyalah sebanyak 1.3%. Peningkatan mendadak ini menyebabkan saintis di seluruh dunia menjadi sangat berwaspada.
Kini, kemungkinan asteroid ini menghentam kita adalah sebanyak satu dalam 50. Tetapi peningkatan kebarangkalian ini bukan kerana asteroid itu tiba-tiba bergerak lebih pantas ke arah bumi. Sebaliknya, ia kerana kita sekarang mempunyai teknologi sistem pemantauan yang lebih tepat. Teleskop dan sistem pengesanan yang canggih membolehkan saintis memperoleh ukuran yang lebih tepat, sekali gus membantu memperhalusi ramalan mereka.
Saintis menggunakan “Skala Bahaya Hentaman Torino”, satu sistem yang mengkategorikan risiko yang ditimbulkan oleh objek berhampiran Bumi dengan skala antara kosong dan 10. Kosong bermaksud objek itu tidak berisiko untuk berlanggar dengan Bumi manakala 10 bermakna hentaman itu memang tidak dapat dielakkan dan akan menyebabkan bencana global, seperti kepupusan secara besar-besaran.
Ketika ini, asteroid 2024 YR4 dinilai pada tahap tiga—iaitu asteroid ini “ada potensi bahaya” dan perlu diberi perhatian, namun kebarangkalian hentaman tidak dapat dipastikan. Menurut jurucakap NASA, Molly Wasser, beberapa objek sebelum ini pernah berada dalam senarai risiko tinggi tetapi akhirnya dikeluarkan apabila data baharu diperoleh. Oleh itu, pelan tindakan saintis sekarang ialah untuk terus memantau asteroid itu dengan teliti dan mengumpulkan lebih banyak data untuk memperhalusi ramalan mereka.
Setiap tahun, sekitar 3,000 objek berhampiran Bumi ditemui, tetapi asteroid dalam julat saiz 2024 YR4 ini lebih sukar untuk dikesan kerana ia lebih gelap, kecil, dan sukar dilihat di teleskop. Apa yang rumit ialah, ahli saintis mempunyai waktu yang sangat terhad untuk memerhati asteroid sebelum ia hilang dari penglihatan, kerana batu angkasa itu hanya boleh dikaji dengan menggunakan cahaya matahari yang terpantul pada permukannya. Ini bermakna, ahli saintis perlu membuat kerja dengan pantas agar mereka dapat mengumpul data sebanyak mungkin sebelum batu-batu angkasa itu meneruskan laluan orbit mereka sekitar matahari.
Jadi, apakah yang boleh kita lakukan jika asteroid ini terus menuju ke arah bumi? Laluan asteroid dipengaruhi tarikan graviti dari objek lain di angkasa dan sebarang tolakan, walaupun sedikit, boleh mengubah trajektorinya. Inilah peranan dan usaha pertahanan planet yang dimainkan oleh NASA.
Jika anda peminat sains fiksyen atau peminat angkasa, anda mungkin masih ingat tentang Misi DART atau Double Asteroid Redirection Test pada tahun 2022. Ketika itu, NASA berjaya menggunakan sebuah kapal angkasa untuk menghentam asteroid bagi mengubah laluan trajektorinya. Ia merupakan detik bersejarah—bukti bahawa manusia kini boleh menukar laluan asteroid jika perlu. Walaupun asteroid 2024 YR4 ini bukan ancaman segera, misi seperti DART memberi harapan bahawa kita mampu bersiap bersedia jika ada batu angkasa yang lebih besar dan berbahaya menghampiri bumi.
Mudah untuk merasa kecil apabila kita melihat langit pada waktu malam dan memikirkan betapa luasnya angkasa. Tetapi kita bukan sekadar pemerhati pasif. Kita adalah peneroka, penyelesai masalah, dan pelindung planet kita.
Itu sahaja untuk episod kali ini. Terima kasih kerana mendengar, dan sehingga kita bertemu lagi. Sentiasa berjaga-jaga dan terus dapatkan maklumat tepat! Episod Santapan Minda ini diadaptasi daripada artikel di TRT World.