Dalam masa hanya 25 tahun, satu daripada setiap dua orang dewasa di planet ini mungkin akan mengalami obesiti.
Ini bermakna anda atau saya boleh menghadapi masalah kesihatan ini TIDAK LAMA LAGI.
Satu kajian baru memberi amaran bahawa tanpa perubahan yang serius, kira-kira 60 peratus daripada seluruh populasi dewasa di bumi akan mengalami berat badan berlebihan atau obesiti menjelang tahun 2050. Ini amat membimbangkan terutama di Afrika Utara, Timur Tengah, Amerika Latin, dan Caribbean, di mana data meramalkan satu pertiga daripada semua golongan muda yang obes mungkin akan tinggal di wilayah-wilayah ini.
Ini bukan isu yang patut dipandang remeh. Kajian tersebut menyatakan sistem kesihatan di seluruh dunia akan menghadapi kesukaran jika kita tidak bertindak sekarang.
Anda sedang mendengar Santapan Minda dari TRT Global Podcasts. Program ini menghidangkan artikel-artikel TRT Global yang diadaptasi khusus untuk format audio. Dalam episod ini, kami telah menyesuaikan artikel "Krisis obesiti mengancam Afrika Utara, kajian baru memberi amaran?" yang pertama kali diterbitkan di TRT Afrika pada 4 Mac 2025.
Obesiti ialah satu keadaan perubatan di mana seseorang mempunyai lemak badan berlebihan yang boleh menjejaskan kesihatan. Ia biasanya diukur menggunakan Indeks Jisim Badan (BMI) berdasarkan ketinggian dan berat. Jika BMI anda 30 atau lebih, anda dikategorikan sebagai obes. Obesiti meningkatkan risiko pelbagai masalah kesihatan serius, termasuk penyakit jantung, kencing manis, dan beberapa jenis kanser. Punca obesiti ada beberapa sebab, seperti faktor genetik, pemakanan, aktiviti fizikal, dan persekitaran. Mengatasi obesiti selalunya memerlukan gabungan perubahan gaya hidup, termasuk pemakanan sihat dan peningkatan aktiviti fizikal.
Dunia telah menyaksikan peningkatan obesiti yang mendadak. Pada tahun 2021, lebih 2.6 bilion orang dewasa mengalami berat badan berlebihan atau obesiti – peningkatan 180 peratus berbanding tahun 1990!
Data ini diperoleh daripada laporan "Global Burden of Disease Study 2021" yang diterbitkan dalam The Lancet Medical Journal pada Mac 2025. Kajian ini melibatkan ribuan penyelidik di seluruh dunia dan dibiayai oleh Yayasan Bill & Melinda Gates. Ia merupakan usaha kolaboratif besar-besaran untuk menangani isu-isu kesihatan global yang paling kritikal. Berdasarkan kajian mereka, obesiti adalah salah satu cabaran kesihatan terbesar abad ini.
Mereka menganalisis data dari 204 negara. Kajian menunjukkan bahawa lebih separuh daripada populasi dewasa obes dunia tertumpu di hanya lapan negara: Mesir, China, India, Amerika Syarikat, Brazil, Rusia, Mexico, dan Indonesia.
Sebut sahaja tentang obesiti, Amerika Syarikat menjadi negara pertama yang difikirkan, tetapi percaya atau tidak, China mendahului dengan jumlah terbesar! 402 juta orang dewasa di China mengalami berat badan berlebihan atau obesiti – lebih tinggi daripada jumlah populasi Amerika Syarikat!
Keadaan di Afrika Utara dan Timur Tengah juga semakin membimbangkan. Sejak 1990, kadar obesiti dalam kalangan lelaki telah melebihi tiga kali ganda, manakala dalam kalangan wanita ia menjadi dua kali ganda. Angka ini menunjukkan betapa pantasnya masalah ini merebak.
Anda mungkin bertanya: "Adakah krisis ini boleh menjadi lebih teruk?"
Malangnya, ya. Ramalan menunjukkan bahawa menjelang 2050, 3.8 bilion orang dewasa mungkin akan mengalami berat badan berlebihan atau obesiti.
Itu melebihi separuh populasi dewasa dunia!
Perkara ini akan memberi beban besar kepada sistem kesihatan, terutamanya di negara-negara miskin. Sebagai contoh, di Sub-Sahara Afrika, jumlah orang dewasa yang mengalami berat badan berlebihan atau obesiti dijangka meningkat 255% menjelang 2050. Di Nigeria sahaja, 141 juta orang dewasa mungkin akan menghadapi masalah ini pada masa itu.
Dan inilah bahagian yang paling membimbangkan. Kadar obesiti juga semakin meningkat dalam kalangan kanak-kanak. Jumlah kanak-kanak dan remaja obes di seluruh dunia dijangka berlipat ganda menjelang 2050. Ini bermakna generasi masa depan mungkin akan hidup dengan masalah Kesihatan berkaitan berat badan lebih awal berbanding sebelum ini.
Tapi mengapa semua ini terjadi?
Kebanyakan orang beranggapan ia disebabkan oleh pemakanan tidak sihat dan kurang bersenam. Namun, para pakar mengatakan sebab-sebabnya lebih rumit daripada itu.
Dr. Fatima Cody Stanford dari Mass General Brigham menjelaskan bahawa obesiti adalah kondisi kompleks yang dipengaruhi pelbagai faktor. Antaranya termasuk: Gangguan pemakanan, proses penuaan, perubahan genetik dan epigenetik, berhenti merokok, kurang tidur, kesihatan usus, kecacatan fizikal, obesiti ibu bapa, dan gaya hidup tidak aktif.
Beliau menekankan bahawa ini hanyalah sebahagian daripada banyak penyumbang kepada penyakit ini.
Tetapi ada berita baik. Obesiti boleh dicegah. Kita boleh melawannya melalui: dasar kesihatan awam, kempen pendidikan, akses kepada makanan sihat, dan galakan aktiviti fizikal.
Namun, kajian The Lancet menegaskan tiada negara yang berjaya membalikkan trend peningkatan berat badan berlebihan dan obesiti. Jadi, untuk membuat perubahan nyata, negara-negara perlu bertindak lebih pantas dan berusaha lebih gigih.
Penyelidik mencadangkan kita memerlukan: akses lebih baik kepada makanan sihat dan berpatutan, pendidikan nutrisi yang lebih meluas, komuniti, sekolah & tempat kerja yang mesra pejalan kaki, kawalan pemasaran makanan ringan (terutama untuk kanak-kanak), pelabelan makanan yang telus, serta sistem kesihatan yang menawarkan intervensi awal.
Tetapi, yang paling penting sekali, memerangi obesiti memerlukan perubahan budaya di mana masyarakat lebih menghargai kesihatan berbanding kemudahan.
Obesiti merupakan krisis kesihatan global yang memerlukan perhatian dan tindakan segera. Memandangkan jumlah kes terus meningkat, jelaslah bahawa kita perlu bekerjasama untuk mencari penyelesaian dan mewujudkan masa depan yang lebih sihat untuk generasi akan datang.
Terima kasih kerana sudi mendengar tentang topik krisis obesiti. Episod Santapan Minda ini merupakan adaptasi daripada sebuah artikel di TRT World.