logo
Menjejak Bunyi
04:39
04:39
Menjejak Bunyi
Tanpa sedar, jutaan pemain berisiko mengalami masalah pendengaran. Bagaimana permainan video boleh menyebabkan masalah pendengaran dan apakah langkah yang sedang diambil untuk menanganinya?

Ramai orang fikir masalah pendengaran hanya melibatkan warga emas. Kita sering dengar datuk atau nenek minta kita bercakap lebih kuat. Atau jiran tua menaikkan 'volume' TV mereka ke tahap maksimum.

Namun, pakar kesihatan memberi amaran:

Semakin ramai anak muda kini berisiko mengalami kehilangan pendengaran.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) jutaan pemain belia berisiko mendapat masalah pendengaran. Mereka bermain permainan video dengan bunyi yang kuat selama berjam-jam.

Satu laporan menyatakan hampir tiga bilion orang menggunakan permainan video di telefon, komputer dan konsol. Kebanyakan peranti ini tidak mempunyai alat untuk melindungi pendengaran. Ini sangat berbahaya untuk kanak-kanak.

Jika trend ini berterusan, kira-kira 2.5 bilion orang mungkin mengalami kehilangan pendengaran menjelang 2050.

Anda sedang mendengar Santapan Minda oleh TRT Global Podcasts. Rancangan ini membawakan artikel-artikel TRT Global dalam bentuk audio. Dalam episod ini, kami mengadaptasi artikel “Permainan Video dan Kehilangan Pendengaran: Sisi Gelap Hobi Anak Muda” oleh Pauline Odhiambo, yang pertama kali diterbitkan pada 13 Mac 2025.

Kanak-kanak lebih terdedah kepada bunyi kuat kerana telinga mereka lebih sensitif. Tetapi mereka suka bermain kerana permainan video mempunyai kesan bunyi yang kuat dan mereka juga bermain terlalu lama.

Dan ramai kanak-kanak yang tidak mahu berhenti bermain. Ini kata Ted Ouma, seorang bapa kepada tiga orang anak di Kenya:

Katanya, dia kerap mengingatkan anak-anaknya untuk memperlahankan bunyi semasa bermain permainan video. Menurut Ted, anak-anaknya juga tidak gemar bermain di luar kerana permainan video lebih menghiburkan untuk mereka.

Ted tidak keseorangan.

Ramai ibu bapa yang menghadapi masalah sama.

WHO berkata orang dewasa boleh mendengar bunyi 80 desibel dengan selamat selama 40 jam seminggu. Itu adalah seperti bunyi loceng pintu. Bermakna, semakin kuat sesuatu bunyi itu, masa yang selamat untuk mendengar juga menjadi semakin pendek. Dan untuk kanak-kanak, had selamat itu jauh lebih rendah, seperti yang diterangkan oleh Dr. Jackline Mutua:

Beliau menyatakan bahawa bagi orang dewasa, 90 desibel hanya selamat selama empat jam seminggu, manakala 95 desibel selamat selama satu jam 15 minit. Namun, bagi kanak-kanak, tahap itu adalah jauh lebih rendah.

Telinga kanak-kanak tidak mampu menampung tahap bunyi yang lebih tinggi seperti orang dewasa. Permainan video yang terlalu kuat boleh menyebabkan kerosakan yang kekal, terutama jika mereka bermain berjam-jam setiap hari.

Satu kajian pada 2024 yang diterbitkan dalam BMJ Public Health meneliti empat permainan video menembak yang popular. Didapati purata tahap bunyi adalah antara 88 hingga 91 desibel.

Ini adalah terlalu kuat untuk kanak-kanak.

Bunyi yang melebihi 92 desibel sepatutnya dihadkan kepada hanya 45 minit seminggu untuk kanak-kanak.

Sesetengah bunyi lebih bahaya daripada yang lain. “Bunyi impulse” ialah letupan kuat yang singkat — seperti bunyi tembakan.

Bunyi ini boleh mencecah 119 desibel dan menyebabkan kerosakan serta-merta. Ia juga boleh menyebabkan tinnitus — bunyi dengungan dalam telinga yang tidak hilang.

Bersempena Hari Pendengaran Sedunia pada 3 Mac, WHO dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa memperkenalkan piawaian keselamatan yang baharu.

Ini adalah garis panduan global yang pertama untuk pendengaran selamat dalam permainan video.

Piawaian ini merangkumi:

• Penjejakan bunyi dalam masa nyata,

• Mod 'earphone' yang mengawal kelantangan, dan

• Amaran apabila bunyi terlalu kuat.

Alat ini membantu ibu bapa menetapkan had selamat untuk pendengaran tanpa perlu menyekat waktu bermain.

Sebelum ini, peraturan global tentang keselamatan bunyi dalam dunia permainan tidak pernah dilakukan. Tapi kini, kita mempunyai alat untuk melindungi pendengaran — agar permainan video kekal menghiburkan dan kita tidak berisiko hilang pendengaran.

Bagi ibu bapa seperti Ted, alat ini sangat membantu.

Ini kerana tiada permainan video yang patut berbunyi lebih kuat daripada riang tawa seorang anak kecil.

Itu sahaja untuk episod kali ini. Terima kasih kerana mendengar dan terus dapatkan maklumat tepat! Sehingga kita berjumpa lagi. Episod Santapan Minda ini merupakan adaptasi artikel di TRT Afrika.


Audio lain
Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us