KRISIS ISRAEL-IRAN
5 min membaca
Bila bom pulang ke gagang: Kemunafikan kemarahan Israel terhadap serangan hospital
Tatkala peluru berpandu Iran menghentam sebuah hospital di Israel, Tel Aviv bangkitkan undang-undang perang dan kesucian pusat perubatan. Namun, setelah 20 bulan mengebom hospital-hospital Gaza secara sistematik, moral tinggi Israel kini terkubur.
Bila bom pulang ke gagang: Kemunafikan kemarahan Israel terhadap serangan hospital
Kemunafikan Israel dalam menafikan undang-undang antarabangsa untuk Gaza tetapi untuk Israel apabila diserang oleh Iran. / AP
20 Jun 2025

Pada awal pagi 19 Jun 2025, peluru berpandu Iran menghentam Pusat Perubatan Soroka di bandar selatan Israel, Beersheba—sebuah hospital utama yang merawat orang awam dan anggota tentera Israel.  

Dalam beberapa jam, naratif yang sudah biasa terungkap. Pegawai Israel dan media mengutuk serangan itu sebagai jenayah perang, menggambarkannya sebagai serangan sengaja terhadap nyawa orang tidak bersalah dan pelanggaran norma antarabangsa. Tetapi bagi sesiapa yang memerhatikan tindakan Israel sendiri di Gaza, kemarahan ini lebih mirip sandiwara daripada tragedi.  

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu tidak membuang masa. "Penzalim di Tehran akan membayar harga penuh," katanya, sementara tajuk berita media seluruh dunia memperbesar kemarahannya. Menteri Pertahanan Israel Katz menambah nada keras, memanggil Pemimpin Agung Iran Khamenei "Hitler moden" yang "tidak boleh terus wujud." Menteri Kesihatan Uriel Buso menggelar serangan itu sebagai "tindakan pengganas," menuduh Iran "sengaja menyasarkan orang awam dan pasukan perubatan." Sementara Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben-Gvir, yang terkenal dengan retorikanya melampau, menyamakan rejim Iran dengan Nazi, menyatakan mereka "melancarkan peluru berpandu ke hospital, warga tua, dan kanak-kanak."  

Media Israel mengulangi mesej ini dengan nada seragam. Channel12 News menyiarkan rakaman dramatik tingkap pecah, kakitangan cedera, dan asap tebal keluar dari wad kecemasan Soroka, menggambarkan "kerosakan besar" dan pemindahan panik dari hospital. Kementerian Luar Israel memperbesarkan krisis di media sosial: "BERITA TERKINI: Laporan serangan langsung ke Hospital Soroka di Beersheba."  

Tiada jeda, tiada keraguan. Naratif tanpa pengesahan atau nuansa: Iran telah menyerang hospital, maka mereka melakukan jenayah perang yang tidak terkatakan.  

Tetapi ada satu butiran penting yang sengaja dikeluarkan dari laporan: Pusat Perubatan Soroka bukan hanya merawat orang awam. Ia adalah salah satu hospital tentera terbesar Israel, di mana askar-askar Israel dirawat dan dipulihkan—termasuk ramai yang cedera dalam serangan Israel di Gaza, kempen yang dikutuk kerana jumlah korban awam yang dahsyat.  

Dari sudut ini, Soroka boleh dianggap sebagai kemudahan dwi-guna—istilah yang sering digunakan Israel sendiri untuk menghalang serangan ke hospital di Gaza. Menurut piawaiannya sendiri, Israel berhujah bahawa apabila hospital menempatkan militan atau aset ketenteraan, ia kehilangan perlindungan di bawah undang-undang antarabangsa dan menjadi sasaran tentera yang sah.  

Bilakah hospital bukan hospital?

Kemunafikan Israel jelas dan amat menjeliikkan.  

Sejak 7 Oktober 2024, Israel telah secara sistematik menyasarkan berpuluh hospital di Gaza secara sistematik. 

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekurang-kurangnya 32 hospital dan 53 pusat kesihatan utama telah rosak atau musnah sepenuhnya. Serangan ke Hospital Al-Shifa, Nasser, Indonesia, dan Al-Quds adalah antara yang paling teruk. Serangan-serangan ini membunuh kakitangan perubatan, pesakit, dan keluarga pelarian yang mencari perlindungan. Bayi pramatang meninggal dunia selepas inkubator kehilangan kuasa. Doktor ditahan. Bilik kecemasan menjadi kubur. Seluruh kampus hospital diratakan.  

Israel membenarkan setiap serangan ini dengan satu alasan: "Hamas menggunakan hospital sebagai pusat komando." Justifikasi ini menjadi dalih untuk memusnahkan infrastruktur perubatan Gaza yang sudah rapuh.  

Tetapi inilah yang penting: tiada bukti konkrit pernah dikemukakan untuk menyokong dakwaan ini. Kadang-kadang, Israel mengeluarkan rakaman dron kabur, animasi komputer, atau video tidak stabil yang kononnya menunjukkan pintu terowong. Ini jarang disahkan. Seringkali, dakwaan diulang tanpa henti dalam media Israel dan Barat walaupun tiada bukti nyata. Apabila pemerhati antarabangsa, organisasi hak asasi manusia, atau wartawan meminta bukti, Israel mengelak dna menafikannya.

Beban pembuktian diputarbelitkan. Israel mendakwa Hamas bersembunyi di hospital; maka, hospital boleh diserang. Tiada soalan ditanya. 

Pemimpin Barat kebanyakannya menerima dakwaan ini tanpa soal. Pegawai AS mengulangi hujah Israel. Ahli politik Britain dan Jerman menekankan "hak Israel untuk mempertahankan diri." Media arus perdana menyiarkan tajuk beritayang mengaburkan perbezaan antara hospital dan markas. Kemusnahan di Gaza tidak digambarkan sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa, tetapi sebagai kesan sampingan perang yang diperlukan.  

Tetapi kini, naratifnya berubah. Apabila Iran menyasarkan hospital Israel—yang tebukti merawat askar cedera—kemarahan bergema dengan gendang moral berdengung tanpa henti. Ini, kata mereka, adalah “keganasan”. “Jenayah perang”. Serangan terhadap ‘tamadun’ itu sendiri.  

Kerangka moral

Kontradiksi ini bukan sekadar mengejutkan. Ia meruntuhkan kerangka undang-undang dan etika yang Israel dakwa pertahankan. Anda tidak boleh mengebom hospital selama 20 bulan, menganggapnya sebagai keperluan tentera, kemudian menyebutnya jenayah perang bila anda dibom oleh pihak “seteru” dalam konflik yang anda mulakan.  

Dan bukan itu sahaja. Israel sejak lama dituduh meletakkan infrastruktur ketenteraan di kawasan awam, termasuk berhampiran sekolah, kawasan perumahan, dan ya, hospital.

Kumpulan hak asasi seperti B’Tselem dan Human Rights Watch telah mendokumentasikan amalan ini selama bertahun-tahun. Malah wartawan Israel sendiri pernah melaporkan penggunaan ruang awam oleh tentera. Namun, apabila Hamas dituduh melakukan perkara yang sama, ia bukan sekadar bahan perbincangan, tetapi menjadi hukuman mati.  

Apa yang jelas adalah: hospital tidak boleh menjadi sasaran. Meskipun di Beersheba, Tehran, dan juga di Bandar Gaza. Kemudahan perubatan dilindungi secara jelas di bawah Konvensyen Geneva, dan serangan ke atasnya—terutama yang mengakibatkan korban awam—adalah pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa.  

Tetapi yang tidak boleh diterima adalah sikap bermuka-muka. Israel tidak boleh mendakwa moralnya jelas walhal ia sendiri tenggelam dalam kerosakan moral yang diciptanya.  

Ia tidak boleh menghancurkan dan meratakan hospital-hospital Gaza, kemudian bertindak seolah-olah undang-undang perang tiba-tiba penting apabila hospitalnya sendiri diserang.  

Sikap moral tidak boleh tiba-tiba muncul melalui kenyataan akhbar atau pos media sosial.  

Kini, Israel berdiri di atas gunung runtuhan perubatan dan mendakwa ia adalah alas keagungan.  

Selagi tiada akauntabiliti sebenar untuk apa yang telah—dan masih—berlaku di Gaza, setiap rayuan Israel kepada undang-undang antarabangsa, perlindungan awam, dan kesucian ruang perubatan, hanyalah bagai musang berbulu ayam. Keadilan tidak boleh dipilih-pilih.

Hak asasi manusia tidak datang dengan klausa pengecualian.  

Jika hospital itu suci, ia mesti suci untuk semua.




SUMBER:TRT World
Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us