Agong Malaysia, Sultan Ibrahim Iskandar, pada hari Sabtu mengarahkan tentera menghentikan rancangan membeli helikopter Black Hawk yang sudah berusia puluhan tahun, dengan menggambarkannya sebagai "keranda terbang."
"Adakah kita mahu letak juruterbang kita dalam keranda terbang? Fikirkan sendiri," kata Sultan Ibrahim semasa perbarisan di daerah Mersing, Johor, sempena ulang tahun ke-60 Rejimen Perkhidmatan Khas Malaysia.
Baginda memberi amaran kepada pemimpin tentera agar tidak mengulangi kesilapan seperti pada 1980-an, apabila Malaysia membeli 40 pesawat A-4PTM SkyHawk terpakai dari AS. Pesawat itu mengalami masalah penyelenggaraan yang buruk dan kadar kemalangan yang tinggi.
Utamakan keselamatan
"Saya percaya semua ini berlaku kerana kementerian pertahanan penuh dengan ejen atau bekas jeneral yang menjadi peniaga. Kita ada juga firma tekstil yang mahu jual dron kepada kita," kata Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan di akaunnya di platform media sosial Facebook milik AS.
Pemerintah berusia 66 tahun itu, yang merupakan pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), menyeru pihak berwajib mengutamakan keselamatan dan keperluan tentera berbanding kepentingan orang tengah.
"Jangan buang masa beli barang tidak berguna yang tidak sesuai dengan keperluan tentera. Kalau tidak tahu harga sebenar, tanya saya dulu.
"Jangan cuba tipu saya. Kalau tidak mahu dengar cakap saya, saya tidak akan tegur lagi selepas ini," tegas baginda.