Lebih 100 rakyat Palestin terbunuh oleh serangan Israel di seluruh Gaza
Sekurang-kurangnya 102 rakyat Palestin terbunuh dalam gelombang baru serangan udara maut tentera Zionis Israel di Gaza, menurut pegawai perubatan, ketika Israel meningkatkan genosidnya terhadap orang awam di kawasan yang dikepung itu.
Sementara itu, Hamas berkata bahawa ia sedang membincangkan cadangan gencatan senjata Gaza yang disokong AS dengan kumpulan Palestin yang lain, dan akan beri maklum balas kepada pihak pengantara sejurus selesai perbincangan.
Ziarah Hindu bermula di Kashmir yang ditadbir India
Ziarah tahunan Hindu ke kuil gua Himalaya di Kashmir yang ditadbir India telah bermula dengan keselamatan yang ketat melibatkan ribuan askar separa tentera dan alat pengawasan berteknologi tinggi.
Kumpulan hak asasi manusia telah menyifatkan ziarah itu sebagai "urusan tentera" kerana langkah keselamatan yang luar biasa mengganggu kehidupan seharian penduduk tempatan, dengan bas sekolah, kedai dan pasar terpaksa ditahan oleh tentera India.
Rusia negara pertama iktiraf kerajaan Taliban di Afghanistan
Rusia berkata ia telah menerima watikah duta baharu Afghanistan, menjadikannya negara pertama yang mengiktiraf kerajaan Taliban di negara itu.
Kementerian Luar Rusia berkata mereka percaya bahawa tindakan pengiktirafan rasmi kerajaan Emiriah Islam Afghanistan akan memberi dorongan kepada pembangunan kerjasama dua hala yang produktif antara negara dalam pelbagai bidang.
Kementerian Luar Afghanistan juga menyatakan harapan bahawa ia akan membawa kepada peningkatan kerjasama dan “juga akan mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara.
Iran buka semula kebanyakan lapangan terbang dan ruang udara selepas gencatan senjata dengan Israel
Iran telah membuka semula kebanyakan lapangan terbang dan ruang udaranya selepas penutupan penuh bulan lalu kerana konflik yang dimulakan oleh Israel, menurut media kerajaan.
Lapangan terbang antarabangsa Mehrabad dan Imam Khomeini Tehran, bersama-sama dengan lapangan terbang lain di utara, timur, barat dan selatan, kini beroperasi dan bersedia untuk mengendalikan penerbangan.
Masa untuk kongsi kesan krisis iklim dengan adil: Emine Erdogan
Wanita Pertama Turkiye Emine Erdogan menyeru negara-negara kaya untuk kongsi beban krisis iklim dengan cara yang adil dan saksama.
Beliau berkata sesetengah negara, walaupun menyumbang kurang daripada 1 peratus kepada pelepasan global, menghadapi akibat buruk seperti menjadi pelarian iklim atau kehilangan sumber makanan penting.
Selain dari seruan kerjasama antarabangsa untuk menangani ketidaksamaan ini, beliau menekankan keperluan mendesak untuk tindakan iklim global dan Pergerakan Sisa Sifar Türkiye sebagai langkah utama ke arah keadilan dan masa depan yang mampan untuk semua.