logo
Kebangkitan Peperangan Tentera AI
06:21
06:21
Kebangkitan Peperangan Tentera AI
Dengan AI berpotensi menentukan permulaan dan pengakhiran sesuatu konflik, adakah kita sedang menyerahkan terlalu banyak kawalan manusia kepada AI?

Ini merupakan bunyi yang sering kita dengar dalam video dari Gaza. Inilah bunyi medan perang pada hari ini. Ia melibatkan penggunaan dron dan kenderaan udara tanpa pemandu dalam operasi ketenteraan. Kini, dron tidak semestinya dikawal oleh manusia lagi, kerana kecerdasan buatan yang menentukan siapa hidup dan siapa akan mati.

Penggunaan AI kini tidak lagi tertumpu kepada kehidupan harian dan perniagaan sahaja. Hari ini, zon perang menjadi medan ujian yang baharu.

Anda sedang mendengar Santapan Minda oleh TRT Global Podcasts, sebuah rancangan yang membawa artikel TRT Global dalam bentuk audio. Dalam episod kali ini, kami mengadaptasi artikel yang bertajuk “Rise of the military machine: How AI is setting the pace of war” oleh Ozan Ahmet Cetin yang diterbitkan pada 2 Mei 2025.

Penggunaan AI yang meluas menimbulkan kebimbangan di seluruh dunia. Namun apa yang lebih membimbangkan adalah penggunaannya dalam peperangan. Sekurang-kurangnya 20 negara kini mempunyai program AI ketenteraan. Amerika Syarikat mempunyai lebih 800 projek berkaitan AI — daripada kenderaan berautonomi ke sistem membuat keputusan di medan perang. China juga membuat pelaburan besar dalam konsep risikan perang pintar. Rusia dan Ukraine turut menggunakan alat AI dalam perang mereka.

Alat pemantauan yang menggunakan AI mampu mengimbas ribuan video secara serentak. Dron berautonomi dan unit siber boleh mengesan dan menjejak sasaran. Sistem pertahanan udara pula bertindak balas dengan pantas dan tepat, melangkaui keupayaan manusia.

Apa yang membimbangkan adalah kebanyakkan keputusan itu dibuat tanpa pengawasan manusia. Keputusan hidup dan mati kini dibuat — atau sekurang-kurangnya dipengaruhi — oleh algoritma.

Lihat saja contoh di Gaza.

Laporan oleh +972 dan Local Call menunjukkan sistem AI seperti ‘Lavender’, ‘Where’s Daddy?’ dan ‘Gospel’ digunakan oleh tentera Israel untuk menjana senarai sasaran serangan udara.

‘Lavender’ memberi tumpuan kepada individu. Ia menganalisis data besar seperti rekod telefon, media sosial dan corak pergerakan untuk mengenal pasti individu yang dikaitkan dengan kumpulan militan.

‘Where’s Daddy?’ digunakan untuk menjejak dan menyasarkan individu yang didakwa sebagai operatif Hamas, khususnya ketika mereka pulang ke rumah — yang sering kali turut melibatkan ahli keluarga mereka.

‘Gospel’ pula ditugaskan untuk mencari bangunan untuk diserang, termasuk stor senjata atau pusat kawalan — justifikasi yang digunakan untuk menyerang bangunan awam.

Jadi, apa masalahnya?

Wartawan Israel Yuval Abraham yang mendedahkan sistem ini berkata, pengawasan manusia amat minimum. Kadang kala, ada sasaran yang diluluskan hanya dalam beberapa saat sahaja.

Yuval menjelaskan bahawa mesin itu mengimbas serta mengumpul data pemantauan, dan kemudian menilai individu itu berdasarkan kemungkinan penglibatan mereka dengan kumpulan militan.

Menurutnya berdasarkan sumber, tentera Israel sedar bahawa sistem itu membuat kesilapan dalam kira-kira 10 peratus kes — termasuk menyasarkan orang awam atau mereka yang tidak jelas kaitannya dengan Hamas. 

Perubahan yang dibawa oleh AI dalam peperangan bukan hanya melibatkan senjata. AI kini mengubah cara perang bermula dan berakhir, serta bagaimana ia boleh hilang kawalan.

Pertama: AI mempercepatkan segalanya.

Algoritma mampu mengenal pasti ancaman dan melancarkan tindak balas dalam kurang satu saat. Ini menyebabkan konflik lebih mudah tercetus. Proses membuat keputusan yang perlahan — yang dahulunya memberi masa kepada pemimpin untuk berfikir — kini semakin lenyap.

Kedua: AI mencipta kekeliruan.

Dahulu, sesebuah negara bergantung kepada isyarat yang jelas seperti pergerakan tentera atau amaran rasmi untuk memahami niat masing-masing. Ini membantu mengelakkan salah faham dan mencegah konflik. Namun, sistem AI tidak bertindak dengan cara yang boleh dijangka pada setiap masa. Apabila keputusan dibuat oleh mesin, dan pakar sendiri tidak memahami sepenuhnya bagaimana keputusan itu dibuat, proses menilai rancangan sesebuah negara menjadi sukar. Ketidakpastian ini boleh menyebabkan panik atau serangan awal. Pihak lawan mungkin bertindak melulu kerana takut dengan kemungkinan mesin bertindak dengan cara yang tidak menentu.

Ketiga: Sistem AI boleh bertindak balas antara satu sama lain tanpa kawalan manusia.

Bayangkan dron berautonomi mencetuskan reaksi automatik ke atas sistem pertahanan berautonomi. Ini boleh menyebabkan perang tercetus secara tidak sengaja.

Bekas Pengerusi Ketua Turus Bersama Amerika Syarikat Jeneral Mark Milley pernah memberi amaran tentang kelajuan perkembangan AI.

Beliau menegaskan AI adalah teknologi yang berkuasa dan menjangkakan bahawa dalam tempoh 10 hingga 15 tahun, AI mungkin akan mengendalikan arahan dan kawalan operasi ketenteraan. Apabila digabungkan dengan sistem robotik, beliau berkata sebahagian besar angkatan tentera negara maju — kira-kira satu pertiga — boleh menjadi berautonomi. Beliau membandingkan skala dan kepantasan perubahan ini dengan lonjakan dramatik daripada kapal layar kepada kapal pengangkut pesawat, dan menyifatkannya sebagai satu transformasi asas dalam peperangan moden.

Dengan bentuk perang yang baharu ini, mangsa terbesar mungkin ialah masa — masa untuk berfikir, masa untuk bertanya, dan masa untuk membuat keputusan dengan teliti.

Pembangunan teknologi canggih hanyalah sebahagian daripada cerita ini. Persoalan lebih besar ialah bagaimana dan sejauh mana masyarakat akan menggunakannya.

Apabila sistem berautonomi menjadi komponen utama dalam perang moden, keputusan tentang penggunaannya akan membentuk masa depan konflik dunia. Ia menawarkan kelajuan dan kuasa — tetapi ia turut membawa risiko, kekeliruan, dan hilangnya pertimbangan manusia.

Apabila mesin mula mengambil alih kawalan — apa akan berlaku bila tiada sesiapa yang benar-benar mengawalnya?

Audio lain
Fokus Hari Ini | 3 Julai, Khamis
Menjejak Bunyi
Beban Dunia: Krisis Obesiti
Kenapa Ada Pasport Yang Lebih Kuat Dari Yang Lain?
Bahaya satelit Starlink
Adakah Nama Boleh Mempengaruhi Takdir Anda?
Melihat Masa Depan
Penyelesaian lestari untuk krisis arang di Afrika
Amaran Asteroid
Selesema Burung: Perlukah Kita Bimbang?
Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us