logo
Rohingya: Krisis yang dilupakan
06:40
06:40
Asia
Rohingya: Krisis yang dilupakan
Pembiayaan antarabangsa untuk pelarian Rohingya di Bangladesh semakin kecut, membahayakan hampir sejuta orang yang terdesak dalam risiko kelaparan dan penyakit.

Berjalan di kem pelarian yang sesak di selatan Bangladesh, anda akan melihat tanda-tanda kelaparan di mana-mana.

Kanak-kanak Rohingya dengan mata yang cengkung, lengan kurus, dan kepala yang besar. Menurut doktor, seorang kanak-kanak bawah tiga tahun memerlukan sekurang-kurangnya 1,400 kalori sehari untuk membesar. Tetapi di Cox’s Bazar, kebanyakan keluarga hidup dengan kurang separuh daripada jumlah itu.

Pertubuhan bantuan telah memberi amaran selama bertahun-tahun bahawa hampir sejuta Rohingya berisiko menghadapi kelaparan dan penyakit. Namun, perhatian dunia semakin berkurangan, dan pembiayaan antarabangsa semakin menyusut. Pelarian ini melarikan diri daripada pembunuhan beramai-ramai dan keganasan di Myanmar. Tetapi kini, mereka berdepan penderitaan yang lebih perlahan — kekurangan makanan dan kesihatan.

Anda sedang mendengar Santapan Minda dari TRT Global Podcasts. Podcast ini menyajikan artikel-artikel TRT Global yang diadaptasi khusus untuk audio. Dalam episod ini, kami menyesuaikan artikel "The Rohingya are being slowly abandoned by the world" oleh Shamim Chowdhury, yang pertama kali diterbitkan pada 8 April 2025.

Sudah bertahun Rohingya terperangkap dalam keadaan tidak menentu di Bangladesh.

Pada 25 Ogos 2017, tentera Myanmar melancarkan kempen kejam pembunuhan, rogol, dan pembakaran di Negeri Rakhine. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan tindakan ini sebagai "contoh klasik pembersihan etnik" oleh tentera Myanmar. Lebih 730,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, manakala kira-kira 600,000 lagi masih hidup di bawah pemerintahan zalim di Myanmar.

Tujuh tahun telah berlalu. Tiada seorang pun yang dipertanggungjawabkan atas jenayah ini. Setiap tahun, ribuan orang berkumpul dalam perhimpunan memperingati "Hari Peringatan Genosid Rohingya" untuk menuntut keadilan dan perlindungan.

Krisis Rohingnya tidak bermula pada 2017.

Sejak awal 1990-an lagi, masyarakat Rohingya telah berulang kali menghadapi penindasan di Myanmar dan melarikan diri ke Bangladesh. Kini, lebih 1 juta pelarian Rohingya menetap di 33 buah kem di selatan Bangladesh. Bandar Cox’s Bazar khususnya, menjadi tempat tinggal salah satu komuniti pelarian terbesar di dunia.

Di seluruh kem tersebut, kira-kira 320,000 kanak-kanak menderita kekurangan zat makanan. Setiap tahun, angka ini meningkat sebanyak 22,000 apabila bayi baharu dilahirkan ke dalam dunia yang tidak mampu memberi mereka makanan secukupnya.

Selama bertahun-tahun, Program Makanan Sedunia (WFP) hanya memberikan $12.50 sebulan (kira-kira 41 sen sehari) untuk makanan setiap pelarian Rohingya. 

Sebagai perbandingan:  

1 kilo beras di Bangladesh berharga kira-kira 49 sen. 1 kilo lentil sekitar 32 sen. Manakala seekor ayam berharga kira-kira $2.46.  

Bayangkan cuba menyara keluarga empat orang dengan hanya $1.56 sehari. Sudah tentu tidak mencukupi. Malah, keadaan kini semakin buruk.  

Pada Mac lalu, WFP memberi amaran mereka mungkin terpaksa mengurangkan bantuan makanan separuh kepada hanya $6 sebulan. Kemudian, jumlah itu diselaraskan kepada $12 – atau 39 sen sehari –  tetap masih jauh terlalu sedikit.  

WFP menyatakan bahawa pengurangan bantuan makanan ini bukanlah disebabkan oleh keputusan tertentu, tetapi lebih kepada sumbangan dari seluruh dunia yang semakin berkurangan, terutamanya dari Amerika Syarikat.  

Secara lazimnya, AS merupakan penderma terbesar bantuan pelarian Rohingya. Amerika telah menyumbangkan $4.4 bilion daripada anggaran $9.7 bilion WFP pada tahun 2024. Namun, setelah Presiden Donald Trump kembali berkuasa, bantuan AS telah dikurangkan dengan ketara.  

Kami mahukan sokongan mereka. Macam mana kami nak hidup? Bagaimana anak-anak akan dapat pendidikan? Tolonglah cari jalan.”

Memandangkan kerja formal tidak dibenarkan di kem-kem pelarian, seorang lelaki Rohingya bernama Jakir memberitahu Reuters bahawa keluarganya tidak mempunyai cara lain untuk terus hidup.

Pemotongan dana telah memaksa klinik-klinik untuk menutup banyak perkhidmatan. Program-program kesihatan yang membantu wanita dan kanak-kanak terpaksa dihentikan. Ini termasuklah penjagaan ibu mengandung, rawatan untuk mangsa keganasan jantina, serta sokongan kesihatan reproduktif.  

Pada Mac 2025, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres telah melawat pelarian Rohingya di Bangladesh.

Beliau menyeru komuniti antarabangsa untuk memulihkan keamanan di Myanmar agar masyarakat Rohingya dapat kembali ke tanah air mereka.  

Suruhanjaya Eropah baru-baru ini berikrar untuk memberikan bantuan bernilai $79.4 juta. Namun, keperluan sebenar jauh lebih besar. WFP menyatakan mereka memerlukan sekurang-kurangnya $96 juta untuk memulihkan bekalan makanan penuh sehingga akhir tahun 2025.  

Kesan jangka panjang daripada kekurangan dana ini amat membimbangkan kerana impaknya akan berlarutan selama beberapa generasi. Kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan mungkin membesar dengan tubuh yang lemah, kesihatan yang terjejas, serta menghadapi masalah pembelajaran.  

Ahli pakar  juga memberi amaran bahawa peningkatan kelaparan dan kemiskinan akan menyebabkan mereka terjebak dalam anasir buruk - termasuk menyertai kumpulan jenayah, menjadi mangsa perdagangan manusia, atau menghadapi lebih banyak keganasan di rumah.

Lebih satu juta orang tanpa kewarganegaraan terperangkap di kem-kem yang sesak, tidak mampu bekerja atau bergerak bebas. Dan lebih banyak lagi pelarian Rohingya terus tiba, melarikan diri daripada keganasan baharu di Myanmar.  

Masyarakat Rohingya telah melalui neraka dunia yang sukar kita bayangkan: pembunuhan, penyeksaan, rogol, pembakaran rumah, dan kehilangan tanah air yang boleh mereka panggil sebagai milik sendiri. Pertama kali dunia menyaksikan penderitaan mereka, timbul simpati. Namun kini, mereka semakin dilupakan.  

Mereka masih di sini. Masih menderita. Kita tidak boleh berpaling tadah.  

Itu sahaja untuk episod kali ini. Terima kasih kerana mendengar, dan sehingga berjumpa lagi, teruslah kekal maklum! Episod Santapan Minda ini merupakan adaptasi daripada sebuah artikel di TRT World.








Audio lain
Fokus Hari Ini | 8 Mei, Selasa
Kebangkitan Peperangan Tentera AI
Menjejak Bunyi
Beban Dunia: Krisis Obesiti
Kenapa Ada Pasport Yang Lebih Kuat Dari Yang Lain?
Bahaya satelit Starlink
Adakah Nama Boleh Mempengaruhi Takdir Anda?
Melihat Masa Depan
Penyelesaian lestari untuk krisis arang di Afrika
Amaran Asteroid
Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us