Pusingan pertama rundingan gencatan senjata Gaza berakhir tanpa kata putus
Sesi pertama rundingan tidak rasmi bagi gencatan senjata Gaza di Qatar berakhir tanpa kata putus.
Menurut sumber, delegasi dari Israel tidak mempunyai mandat yang mencukupi untuk mencapai persetujuan dengan Hamas.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dijadual bertemu Presiden AS Donald Trump hari ini.
Trump berkata perjanjian gencatan senjata boleh dicapai minggu ini.
Hingga ke hari ini, Israel masih meneruskan serangannya ke atas Gaza.
Columbia bincang cara pulih pembiayaan persekutuan dengan kerajaan
Lembaga pemegang amanah Universiti Columbia di New York bertemu dengan pegawai pentadbiran kerajaan bagi membincangkan syarat perjanjian yang berpotensi memulihkan sekurang-kurangnya sebahagian daripada pembiayaan persekutuan kepada institusi itu, menurut sumber.
Kata sumber itu lagi, versi terbaharu perjanjian antara pihak universiti dan kerajaan tidak termasuk perintah persetujuan.
Perbincangan terbaharu ini turut mempertimbangkan pelantikan pemantau atau pemerhati luar.
Mahkamah Seoul cadang perbicaraan waran tangkap bekas presiden Yoon pada 9 Julai
Mahkamah Seoul bercadang mengadakan perbicaraan untuk menyemak permintaan pendakwa raya khas bagi menahan bekas Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol.
Pihak pendakwaan khas, yang memulakan siasatannya selepas pemimpin baharu Lee Jae-myung dipilih pada Jun, telah meneliti pertuduhan tambahan terhadap Yoon, yang sudah pun dibicarakan atas tuduhan pemberontakan susulan pengisytiharan undang-undang darurat.
Angka korban banjir di Texas meningkat kepada 82 orang
Pasukan penyelamat di Texas kini mengejar masa untuk mencari puluhan orang yang hilang, termasuk kanak-kanak, yang dihanyutkan banjir kilat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 82 orang, dengan ramalan memberi amaran tentang kemungkinan banjir baharu.
Presiden AS Donald Trump berkata beliau "mungkin" akan melawat negeri itu pada Jumaat.
Presiden itu menepis dakwaan bahawa pemotongan dana oleh pentadbirannya terhadap ramalan cuaca dan agensi persekutuan yang berkaitan telah menyebabkan sistem amaran tempatan bertambah teruk.
AS sedia biayai projek tenaga nuklear di Turkiye
Agensi pembiayaan AS bersedia menyokong projek tenaga nuklear di Turkiye, terutamanya untuk reaktor modular kecil, tetapi sedang menunggu cadangan baharu untuk bergerak ke hadapan.
Bank Eksport-Import AS dan Perbadanan Kewangan Pembangunan Antarabangsa AS telah menghantar surat menyatakan minat dengan jumlah pembiayaan bernilai lebih $17 bilion untuk projek nuklear di Romania dan Poland, dan kini sedang mengkaji penglibatannya di Turkiye.