Di sebalik pergolakan kuasa global, tersembunyi satu medan pertarungan yang kurang dikenali tetapi amat kritikal: nadir bumi.
Mineral logam ini mungkin tidak boleh nampak pada mata kasar, tetapi ia sangat penting untuk teknologi yang mentakrifkan kehidupan moden dan kekuatan ketenteraan.
Dari skrin telefon pintar yang terang gemilang, hingga sistem senyap pesawat pejuang F-35 – semuanya dikuasakan oleh nadir bumi!
Namun, meskipun Amerika Syarikat memiliki kekuatan teknologi dan bajet pertahanan terbesar di dunia, negara itu sebenarnya bergantung kepada pesaing utamanya, China, untuk lebih kurang 80 peratus bekalan mineral tersebut.
Ini bukan sekadar kebergantungan ekonomi. Ia adalah kerentanan strategik yang akan membentuk keselamatan negara dan dasar luar pada masa hadapan.
Ini ialah Santapan Minda oleh TRT Global Podcasts. Program ini menyajikan artikel TRT Global yang diadaptasi khas untuk audio. Dalam episod ini, kami menyesuaikan artikel bertajuk “Mineral Kritikal, Pilihan Kritikal: Kerentanan Tersembunyi Amerika dalam Perlumbaan Nadir Bumi”, ditulis oleh Burak Uzun dan diterbitkan pada 4 Jun 2025.
Nadir bumi atau REE ialah sekumpulan 17 logam yang penting untuk teknologi moden.
Nama-namanya—seperti neodimium, terbium, praseodimium, dan itrium—mungkin kedengaran asing bagi orang awam, tetapi bahan-bahan ini sangat diperlukan dalam pelbagai aplikasi berteknologi tinggi.
Walaupun dinamakan "nadir", mereka bukanlah jarang ditemui dalam kerak Bumi, tetapi proses untuk mengekstrak agak kompleks, mahal, dan berbahaya kepada alam sekitar.
Bahan-bahan ini menggerakkan motor magnet dalam kenderaan elektrik, membolehkan panduan tepat dalam peluru berpandu, dan merupakan komponen utama dalam peranti pengimejan perubatan
Sebagai contoh, sebuah jet pejuang F-35 mengandungi kira-kira 420 kilogram logam nadir bumi! Turbin angin pula menggunakan bertan-tan magnet berasaskan neodimium, malah skrin telefon pintar anda yang terang dan jernih juga bergantung pada itrium dan terbium.
Pendek kata, unsur nadir bumi membentuk tulang belakang dunia moden yang tidak kelihatan tetapi amat penting.
Kemunculan China sebagai kuasa dominan dalam sektor ini bukanlah suatu kebetulan. Bermula pada tahun 1980-an, Beijing membuat pertaruhan strategik dengan melabur secara besar-besaran dalam infrastruktur perlombongan dan pemprosesan unsur nadir bumi.
Negara-negara Barat - yang risau dengan kesan kerosakan alam sekitar dan kos tinggi - telah mengurangkan pengeluaran mereka sendiri. Menjelang tahun 2000-an, China berjaya mengurangkan kos pengeluaran secara mendadak melalui upah buruh yang murah dan standard alam sekitar yang longgar.
Itu adalah pakar komoditi, Jason Kaplan. Menurut beliau, China mengambil peluang untuk mengekstrak nadir bumi sedangkan Amerika Syarikat tidak. Ini memberi manfaat kepada Beijing kerana negara-negara lain mula mengharapkan China dari Amerika Syarikat.
Pemprosesan unsur nadir bumi menghasilkan sisa toksik, hasil sampingan radioaktif serta pencemaran logam berat. Kawasan seperti Mongolia Dalam telah mengalami kerosakan ekologi teruk akibat proses ini, termasuk sungai tercemar dan tanah pertanian yang musnah.
Masyarakat pribumi yang tinggal berhampiran tapak perlombongan - seperti komuniti Inuit di deposit Kvanefjeld Greenland, serta kawasan Navajo dan Apache di AS - telah menyuarakan kebimbangan mengenai kemerosotan alam sekitar dan kesan budaya daripada aktiviti pemprosesan unsur nadir bumi.
Implikasinya sangat luas.
Ketika China menghentikan eksport nadir bumi ke Jepun pada 2010 semasa pertikaian diplomatik, ia memberikan mesej jelas tentang kuasa di sebalik mineral ini.
Begitu juga pada 2025, China mengenakan kawalan eksport baharu ke atas unsur nadir bumi utama seperti neodimium dan disprosium - elemen kritikal untuk kenderaan elektrik, turbin angin dan teknologi pertahanan.
Satu analisis 2024 oleh RAND Corporation memberi amaran bahawa gangguan rantaian bekalan selama hanya 90 hari boleh memaksa 78% kontraktor pertahanan AS tutup pengeluaran.
Ini membangkitkan kebimbangan di Washington dan rakan-rakannya.
Cadangan kontroversi Donald Trump pada 2019 untuk membeli Greenland mungkin lebih masuk akal dalam konteks ini.
Greenland memiliki simpanan besar unsur nadir bumi berat seperti di lombong Kvanefjeld, yang pernah menarik pelaburan China sebelum isu alam sekitar membantutkan pembangunannya.
Begitu juga, Kanada memiliki sumber unsur nadir bumi yang kaya. Pelaburan China dalam syarikat perlombongan Kanada telah menimbulkan kebimbangan di AS tentang kawalan tidak langsung China ke atas bahan kritikal ini.
Profesor Madya Julie Klinger, yang mengkaji geopolitik pembangunan dan penggunaan sumber, memberikan perspektif yang lebih bernuansa. Beliau menyatakan bahawa di sebalik retorik geopolitik, firma-firma dan aktor antarabangsa sebenarnya sangat berintegrasi dalam bahagian lain rantaian bekalan yang masih bergantung kepada China.
Untuk mengurangkan kebergantungan, Amerika Syarikat sedang meningkatkan pengeluaran domestik. Projek seperti lombong Round Top di Texas bertujuan membekalkan 20% permintaan AS menjelang 2027. Lombong ini dianggarkan menyimpan 130,000 tan rizab unsur nadir bumi merangkumi 16 elemen berbeza.
Syarikat berkenaan juga membina kemudahan pengeluaran magnet bernilai $100 juta di Oklahoma, yang dijangka mampu memproses 2,000 tan bahan nadir bumi setiap tahun.
Kerjasama antarabangsa dengan Lynas Corporation dari Australia dan Inisiatif REEsilience EU turut diusahakan untuk mempelbagaikan sumber selain China.
Program kitar semula seperti robot "Daisy" Apple yang berupaya memulihkan kira-kira 98% nadir bumi dari telefon lama menawarkan potensi, namun masih berskala kecil.
Namun, cabaran tetap besar. RAND Corporation menganggarkan ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya satu dekad untuk membina rantaian bekalan yang mampu berdikari.
Walaupun nadir bumi menjadi titik pertikaian baharu dalam persaingan AS-China, kisah ini sebenarnya sebahagian daripada naratif sejarah yang lebih besar.
Pada abad ke-20, perebutan tertumpu pada minyak.
Pada abad ke-21, ia beralih kepada semikonduktor, mineral kritikal, dan rantaian bekalan.
Dalam zaman ini, nadir bumi menjadi penggerak senyap kuasa moden – 'peluru' dalam Perang Dingin baharu.
Persoalannya kini - adakah AS dan sekutunya sanggup berhadapan dengan kos alam sekitar yang tinggi, melabur berbilion dolar, serta memberi komitmen selama beberapa dekad untuk membina semula apa yang telah dilepaskan dahulu.
Alternatifnya? Terus bergantung kepada pesaing geopolitik yang telah membuktikan kesanggupannya untuk menjadikan monopoli ini sebagai senjata.
Itu sahaja untuk episod kali ini. Terima kasih kerana mendengar Santapan Minda. Episod ini merupakan adaptasi daripada sebuah artikel di TRT World.