logo
Gangguan Bekalan Tenaga
06:59
06:59
Gangguan Bekalan Tenaga
Apa berlaku apabila grid yang paling kuat di dunia hilang kuasa? Episod ini menerokai gangguan bekalan elektrik terbesar di Eropah dengan melihat bagaimana gangguan bekalan elektrik boleh membuat masyarakat moden terhenti.
21 Julai 2025

Bayangkan dunia di mana satu suis—atau kegagalannya—boleh mengubah segalanya. 

Anda mungkin pernah tonton filem atau drama di mana orang cuba hidup dalam dunia yang telah runtuh masyarakat selepas kegagalan bekalan elektrik.  

Di negara yang mempunyai bekalan elektrik stabil, ia seakan semudah bernafas—elektrik jadi sesuatu yang sangat normal sampai orang tak terfikir pun pasalnya. Orang guna elektrik untuk masak, bersihkan rumah, bawa kereta, malah buka pintu pun pakai elektrik.  

Tapi, kalau tiba-tiba ada gangguan elektrik? Habis! Semua boleh berhenti berfungsi dengan sekelip mata sahaja. Apa akan terjadi bila elektrik hilang dengan begitu saja?  

Anda kini tengah melayan Santapan Minda dari podcast TRT Global. Rancangan ini menyesuaikan artikel dari TRT Global dalam bentuk audio. Dalam episod ini, kami telah mengadaptasi artikel bertajuk “Reality Inspired by Fiction: Energy Collapse” oleh Adna Ganibegović, yang diterbitkan pada Jun 2025.

Pada 28 April 2025, satu gangguan elektrik besar-besaran melanda Sepanyol, Portugal, dan selatan Perancis— dan ia adalah insiden yang terburuk dalam sejarah Eropah baru-baru ni. Selama lebih 20 jam, semuanya terhenti: telefon, pengangkutan, dan perkhidmatan penting lain.  

Puncanya masih tak diketahui tepat, tapi ramai teringat drama Sepanyol tahun 2022 bertajuk Offworld. Dalam cerita tu, ribut solar musnahkan grid kuasa, dan lima orang cuba hidup tanpa kehidupan moden.  

Ada sesetengah pakar yang berkata gangguan elektrik di Sepanyol ada kaitan dengan tenaga solar. Jadi, adakah Offworld itu hanya satu kebetulan…. atau, amaran untuk masa depan?  

Sebenarnya, gangguan elektrik besar-besaran di negara maju bukanlah perkara baru.  

Pada tahun 2019, satu kesilapan kecil di Argentina dan Uruguay mengakibatkan hampir 50 juta orang hidup tanpa elektrik untuk satu hari.  

Pada tahun 2003, 57 juta penduduk di Itali hidup dalam gelap gelita apabila masalah grid kuasa merebak.  Pada tahun yang sama di timur Kanada dan AS pula, berlakunya gangguan elektrik terbesar dalam sejarah Amerika Utara.  

Dalam zaman ini, kita sangat bergantung pada elektrik – baik untuk kerja, kesihatan, komunikasi, bahkan belajar. Jadi, bila terputus bekalan elektrik, impaknya memang akan lebih teruk.  

Yang lagi menakutkan? Sistem yang paling canggih pun, seperti di Eropah, masih boleh gagal... atau diserang.  

Apa punca gangguan bekalan elektrik? Kadang-kadang, masalah teknikal pada transformer atau bahagian penting lain boleh jadi penyebab. Tapi, kini bencana alam lebih kerap jadi punca – ribut, banjir, kebakaran, gelombang haba, dan gempa bumi yang rosakkan sistem kuasa.  

Contoh paling jelas adalah pada tahun 2021 di Texas. Tiga ribut musim sejuk bekukan kincir angin dan loji gas. Hasilnya? Lebih empat juta rumah dan perniagaan terpaksa hidup tanpa elektrik berhari-hari!  

Dengan krisis iklim yang memburukkan lagi bencana alam, gangguan bekalan elektrik pun jadi lebih kerap. Ramai anggap tenaga bersih boleh selesaikan masalah ni. Tetapi ahli pakar berkata ia tidak semudah itu.

Sepanyol adalah di antara negara contoh dalam tenaga bersih - lebih separuh daripada elektrik mereka datang dari solar dan angin. Tapi di sebalik kejayaan ni, ada risiko yang ramai tak sedar.

Tenaga solar dan angin sebenarnya kurang stabil. Mereka perlukan pengganti seperti gas, hidro, atau bateri besar yang boleh ambil alih dengan serta-merta apabila berlaku masalah besar.  

Menurut data, gangguan bekalan elektrik bermula di barat daya Sepanyol – kawasan yang penuh dengan ladang solar. Gangguan bermula pada waktu tengah hari, ketika matahari paling terik. Mungkin terlalu banyak tenaga dihasilkan sekaligus dan kerana Sepanyol tidak ada penyimpan elektrik yang mencukupi, maka berlakulah masalah sistem sarat dan akhirnya menyebabkan kegagalan bekalan elektrik.

Nak beralih ke tenaga hijau ada cabarannya. Syarikat elektrik kena menaik taraf teknologi untuk kekalkan grid yang stabil. Kalau tak, maka akan berlaku gangguan elektrik yang kerap dan agak susah untuk pulihkan bekalan elektrik.  

Ada satu solusi menarik: Iaitu menyambungkan grid elektrik dengan negara jiran. Bila berlaku gangguan, negara lain boleh hantar bekalan tambahan untuk stabilkan sistem.  

Iberia ada masalah lain pula disebabkan geografinya. Ia terpisah dari grid Eropah lain dan oleh itu tidak mempunyai sambungan grid elektrik dengan negara-negara Eropah yang lain. Sebab itu, bila berlakunya gangguan bekalan elektrik, ia ambil masa yang agak lama untuk pulih. 

Ada risiko lain juga seperti serangan siber. Menurut EnergiCERT, iaitu badan keselamatan siber untuk tenaga, serangan pada sistem tenaga telah berlipat ganda antara 2020 dan 2022. Sejak tahun 2015 saja, telah berlaku 48 serangan siber yang dilancarkan pada infrastruktur elektrik Eropah.  

Namun, Sepanyol menyatakan serangan siber bukanlah punca gangguan elektrik terkini, tapi ancaman ini memang nyata. Drama seperti Zero Day - memberi gambaran apa akan jadi kalau penggodam atau hacker mengakibatkan gangguan bekalan elektrik yang dapat melumpuhkan kapal terbang, membuat hospital tidak berfungsi, dan menghentikan perkhidmatan kecemasan. Drama Zero Day menunjukkan penggodam mengganggu aliran trafik dan memadam semua sistem elektrik sambil menghantar mesej seram ke telefon anda.

Kalau anda masih tidak yakin, ada lagi satu drama Perancis tahun 2019 bertajuk The Collapse yang menceritakan apa akan terjadi jika sistem tenaga kita gagal sepenuhnya. Walaupun fiksyen, senario yang ditunjukkan betul-betul hampir dengan realiti kita semua.

Sebulan sebelum berlakunya gangguan elektrik di Sepanyol, Kesatuan Eropah telah menasihatkan rakyatnya untuk sediakan kit kecemasan selama 3 hari yang mengandungi: Air, makanan, ubat-ubatan, wang tunai, lampu suluh, mancis atau pemetik api, salinan dokumen-dokumen penting, dan radio. Ini cara EU menghadapi krisis.

Vienna ada podcast khusus bernama “Gangguan Bekalan Elektrik Dan Cara Menghadapinya” untuk tingkatkan sikap waspada dan bersiap sedia. Finland pula sedang membina sistem sandaran untuk jaringan mobil yang boleh tahan untuk beberapa hari.

Tetapi, adakah gangguan elektrik semuanya berita buruk? Mungkin kita semua perlukan waktu rehat. Seperti di Sepanyol, ramai yang duduk di luar tanpa kehadiran gajet elektronik atau bunyi-bunyi bising. Mungkin drama-drama tersebut hanyalah drama. Mungkin kehilangan bekalan elektrik tidak bermakna akan ada kucar-kacir. Ia mungkin peluang untuk kita semua hidup di dunia yang nyata.

Itu sahaja untuk episod kali ini. Terima kasih kerana mendengar, dan sampai jumpa lagi! Episod Santapan Minda ini adalah adaptasi daripada artikel TRT Balkan.  

Audio lain
Fokus Hari Ini | 22 Julai, Selasa
Rohingya: Krisis yang dilupakan
Kebangkitan Peperangan Tentera AI
Menjejak Bunyi
Beban Dunia: Krisis Obesiti
Kenapa Ada Pasport Yang Lebih Kuat Dari Yang Lain?
Bahaya satelit Starlink
Adakah Nama Boleh Mempengaruhi Takdir Anda?
Melihat Masa Depan
Penyelesaian lestari untuk krisis arang di Afrika
Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us