Apabila anda mendengar perkataan “buruh kanak-kanak”, anda mungkin membayangkan kanak-kanak yang bekerja di ladang, kilang atau lombong.
Tetapi bagaimana jika buruh kanak-kanak berlaku di tempat lain… di tangan anda sendiri — di dalam telefon bimbit anda?
Kini muncul satu bentuk eksploitasi baharu yang menuntut perhatian kita: buruh kanak-kanak di alam maya. Ini berlaku apabila aksi kanak-kanak dirakam, dikongsi dalam talian dan digunakan untuk menjana pendapatan — kadangkala tanpa perlindungan.
Anda sedang mendengar Santapan Minda oleh TRT Global Podcast. Rancangan ini membawa artikel-artikel TRT Global dalam bentuk audio. Dalam episod ini, kami mengadaptasi artikel bertajuk “Born to Be Watched: The Rise of Digital Child Labour“ yang diterbitkan pada 11 Jun 2025.
Baru berusia tiga tahun, Ryan Kaji sudah pun menjadi bintang YouTube terkenal di seluruh dunia.
Saluran YouTube-nya yang mengulas barang permainan, dikenali sebagai Ryan’s World, menjadi tular selepas dia membuka lebih 100 kereta dan kapal terbang mainan dalam satu video. Video itu kini mempunyai lebih satu bilion tontonan.
Pada usia enam tahun, Ryan telah menjadi salah seorang jutawan termuda di dunia.
Ibu bapa Ryan yang berketurunan Jepun dan Vietnam berhenti kerja untuk menguruskan saluran YouTube-nya sepenuh masa.
Setakat Jun 2025, Ryan’s World mempunyai lebih 39 juta pengikut, kedai atas talian, sebuah filem, pelbagai jenis barang permainan serta permainan atas talian.
Ramai berpendapat bahawa Ryan yang memulakan trend “kidfluencer”.
Tetapi adakah zaman kanak-kanak yang normal boleh wujud dengan jutaan penonton, urus niaga jenama dan penggambaran yang berterusan? Dalam satu temu bual, ibu Ryan berkata dia dan suaminya sentiasa cuba memberi keseimbangan untuk anak mereka.
Mereka mahu Ryan melihat kembali zaman kanak-kanaknya dan berkata dia juga pernah meluangkan masa dengan kawan-kawan dan keluarga, bermain papan selaju dan berenang.
Namun, apabila populariti dan kekayaan Ryan bertambah, perhatian dan kritikan umum juga bertambah. Pengkritik bertanya: Bolehkah seorang kanak-kanak benar-benar memberi persetujuan untuk kehidupan seperti ini? Apakah kesan jangka panjangnya?
Pakar memberi amaran bahawa kanak-kanak influencer berisiko tinggi mengalami keresahan, kemurungan dan ketagihan apabila dewasa, kerana harga diri mereka terlalu bergantung kepada apa yang orang katakan.
Jika sesebuah video tidak mendapat sambutan, ramai pencipta kandungan dalam kalangan generasi muda menyalahkan diri mereka sendiri dan merasakan merekalah puncanya.
Dan ini bukan hanya melibatkan influencer kanak-kanak. Ramai keluarga kini berkongsi kehidupan harian mereka secara dalam talian melalui “vlog keluarga”. Mereka bukan sahaja merakam diri sendiri, tetapi turut mendedahkan kehidupan anak-anak mereka.
Vlogger keluarga merakam segalanya — dari langkah pertama anaknya hinggalah persembahan piano dan saat-saat peribadi.
Sheri Fran Key, bekas bintang kanak-kanak saluran YouTube ‘Eight Passengers’ yang kini telah dipadam, menggambarkan kehidupan yang sentiasa dipantau dalam bukunya ‘The House of My Mother’.
Dalam bukunya, dia berkata, “anda tak boleh bersin tanpa ia dirakam dari pelbagai sudut.”
Ibunya, Ruby Fran Key, mahu menjadi popular dan berkongsi semuanya tentang keluarga mereka. Menurut Sheri, ibunya pernah berkata: “Inilah yang boleh buat duit. Perkara yang peribadi.”
Namun, kisah keluarga itu berubah menjadi tragedi.
Pada 2023, Ruby ditangkap atas dakwaan penderaan kanak-kanak selepas salah seorang anak lelakinya yang kelaparan melarikan diri dan meminta bantuan jiran.
Ruby dituduh tidak memberi makanan kepada anak-anaknya sebagai hukuman dan didakwa beberapa hari kemudian atas enam pertuduhan penderaan kanak-kanak. Beliau dijatuhi empat hukuman penjara dan setiap satunya adalah selama 15 tahun. Saluran ‘Eight Passengers’ memiliki 2.8 juta pengikut sebelum ia dipadam.
Dalam kenyataan Sheri di mahkamah selepas ibunya dijatuhkan hukuman, dia memberi amaran keras terhadap vlogging keluarga:
Katanya, kanak-kanak tidak mampu memberi persetujuan yang sebenar, dan dia sendiri tidak memahami kesan rakaman tersebut terhadap dirinya. Katanya, tiada jumlah wang yang boleh menghalalkan perkara itu. Dalam mana-mana pekerjaan lain, ini adalah kesalahan besar.
Jadi, adakah vlogging keluarga sedang menjadi satu bentuk buruh kanak-kanak yang baharu?
Kanak-kanak dalam talian mendapat tontonan tinggi, wang dan perhatian — tetapi mereka sering tidak diberi pilihan.
Dan sistem perundangan masih ketinggalan.
Di Amerika Syarikat, “Fair Labor Standards Act” 1938 digubal lama sebelum Instagram atau YouTube wujud. Undang-undang ini membenarkan kanak-kanak bekerja untuk perniagaan keluarga dan ini menyebabkan ramai influencer kanak-kanak tidak dilindungi.
‘Koogan Law’ di California melindungi pelakon kanak-kanak, mewajibkan ibu bapa menyimpan sebahagian daripada pendapatan anak mereka dalam akaun amanah. Tetapi ini tidak terpakai untuk kidfluencer tanpa kontrak.
Bapa Ryan, yang menyumbang ke dalam akaun Koogan, berkata mereka melakukan lebih daripada apa yang diwajibkan oleh undang-undang.
Katanya, dalam salah satu projek Ryan, mereka membuat bayaran 100% kepada Ryan, selain memberi pegangan syarikat kepada anak mereka.
Kini, beberapa negeri di Amerika Syarikat mula mengambil tindakan.
Pada 2025, California menambah perlindungan dengan mewajibkan akaun amanah Koogan dibuat supaya pencipta kandungan media sosial dapat menyimpan hasil pendapatan mereka.
Illinois dan Minnesota memperkenalkan rang undang-undang baharu yang menuntut pampasan, akaun SIMPANAN, dan hak untuk kanak-kanak memadam kandungan mereka apabila mereka dewasa.
Utah meluluskan undang-undang baharu yang menggariskan tanggungjawab bagi ibu bapa yang mengurus kerja anak mereka di alam maya.
Di Perancis, undang-undang kebangsaan bagi mengawal buruh kanak-kanak dalam kandungan video yang membuat keuntungan diluluskan pada 2020. Undang-undang ini membenarkan kanak-kanak memohon kandungan media sosial dipadam apabila mereka dewasa.
Belgium turut berbuat yang sama pada 2023 dengan rang undang-undang untuk mengawal pemasaran digital dan kandungan influencer.
Namun, ramai sarjana memberi amaran bahawa undang-undang sekarang masih jauh ketinggalan berbanding kadar penciptaan kandungan.
Trend media sosial berubah dengan pantas.
Mungkin sudah tiba masanya kita tidak hanya melihat ladang dan kilang, dan mula tengok ruang tamu, bilik tidur dan skrin di mana jutaan kanak-kanak masih belum dilindungi.
Hak digital kanak-kanak juga penting.
Demikian episod kali ini. Terima kasih kerana mendengar. Episod Santapan Minda ini adalah adaptasi audio daripada artikel di TRT World.