logo
Politik Nuklear Global: Siapa Layak Memiliki Bom?
09:17
09:17
Politik
Politik Nuklear Global: Siapa Layak Memiliki Bom?
Susulan ketegangan antara Iran dan Israel, kami mengajukan persoalan yang lebih mendalam: siapa yang layak memiliki senjata nuklear – dan mengapa?
15 Ogos 2025

Ini merupakan antara perdebatan terbesar dalam hubungan antarabangsa zaman moden.

Mereka yang memiliki senjata nuklear adalah negara yang mahu negara lain melucutkan senjata mereka.

Dan negara yang tidak mempunyai senjata nuklear? Mereka dipaksa untuk patuh – atau terima akibatnya.

Dalam episod ini, kita akan cuba memahami garis kabur antara pencegahan, ancaman, dan dua darjat.

Ini adalah Santapan Minda oleh TRT Global Podcasts. Rancangan ini mengadaptasi artikel-artikel TRT Global dalam bentuk audio. Dalam episod ini, kami mengadaptasi artikel tulisan Sami Al-Arian bertajuk “Israel boleh miliki bom nuklear tapi bukan Iran: Hipokrasi sistem antarabangsa”, yang diterbitkan pada 17 Jun 2025.

Cerita ini perlu dimulakan dengan situasi yang melibatkan Israel dan Iran.

Israel tidak pernah mengaku ia memiliki senjata nuklear secara rasmi. Tetapi berdasarkan imej satelit, pendedahan pemberi maklumat, kenyataan pegawai dan dokumen yang dibocorkan, dipercayai Israel memiliki antara 100 hingga 400 hulu ledak nuklear.

Israel juga tidak pernah menandatangani Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear – atau NPT – yang bertujuan menghalang penggunaan senjata nuklear secara meluas. Anda mungkin tertanya-tanya, kenapa ya?

Iran pula telah menandatangani perjanjian tersebut. Negara itu membenarkan pemeriksaan oleh pihak antarabangsa dan belum pernah dibuktikan bahawa Iran memiliki atau sedang membangunkan bom nuklear. Dan di bawah syarat perjanjian itu, Iran sebenarnya berhak untuk membangunkan tenaga nuklear.

Jadi persoalannya ialah: Siapa yang layak memiliki senjata nuklear – dan siapa yang menentukannya?

Sejarah senjata nuklear bermula pada 1945 apabila Amerika Syarikat menggugurkan dua bom atom di Hiroshima dan Nagasaki di Jepun – membunuh kira-kira 210,000 orang – menurut anggaran Bulletin of the Atomic Scientists.

Amerika Syarikat adalah satu-satunya negara yang pernah menggunakan senjata nuklear dalam peperangan.

Tidak lama kemudian, negara lain turut serta.

Pada 1949, Kesatuan Soviet (kini Persekutuan Rusia) menguji bom pertamanya. United Kingdom pula menyertai pada 1952. Diikuti dengan Perancis pada 1960. Dan empat tahun kemudian, China turut serta pada 1964.

Kelima-lima negara ini menjadi kuasa nuklear “rasmi” di bawah NPT yang ditandatangani pada 1968. Dan mereka juga menjadi lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB.

Kata mereka? Sampai suatu masa, mereka akan akan melucutkan senjata, dan sebagai balasan, negara lain perlu berjanji tidak akan membina senjata nuklear. Tapi bukan itu yang berlaku.

Lima dekad kemudian, tiada satu pun daripada lima kuasa ini menyerahkan senjatanya. Dan pada masa sama, empat lagi negara lain turut serta dalam kelab eksklusif itu.

Menjelang 1998, India dan Pakistan – dua negara yang bermusuhan – membangunkan senjata nuklear dan enggan menandatangani NPT. Mereka berdepan sekatan ketat tanpa saluran diplomatik, tetapi kemudian ia dilonggarkan.

Korea Utara pula keluar daripada NPT pada 2003 dan menguji bom pertamanya pada 2006. Sekatan terhadap Korea Utara masih berkuat kuasa hingga hari ini.

Dan kemudian, Israel… satu kes yang istimewa.

Israel didakwa membangunkan program nuklearnya secara rahsia pada 1950an dengan bantuan Perancis. Ketika itu, Presiden AS John F. Kennedy mengenakan tekanan ke atas Israel.

Beliau merupakan pemimpin yang lantang menentang penyebaran senjata nuklear.

Pada 1960, AS menemui kemudahan nuklear Dimona milik Israel melalui risikan dan tinjauan udara. Kennedy mahu pemeriksaan tetap oleh AS dan mengutus beberapa surat kepada Perdana Menteri Israel ketika itu, David Ben-Gurion, untuk menuntut ketelusan.

Kennedy menyuarakan kebimbangannya terhadap Israel di Perhimpunan Agung PBB pada 25 September 1961.

Beliau berkata setiap lelaki, wanita dan kanak-kanak hidup di bawah pedang nuklear Damocles yang tergantung hanya dengan sehelai rambut kuda, dan senjata perang mesti dihapuskan sebelum ia menghapuskan kita.

Perumpamaan “pedang nuklear Damocles” dalam ucapannya itu merujuk kepada kisah Yunani kuno di mana beliau menekankan betapa bahayanya senjata nuklear.

Menurut legenda tersebut, Damocles merupakan seorang pembesar istana yang mengagumi kuasa dan kemewahan Raja Dionysius kedua dari Syracuse. Untuk mengajarnya tentang beban memegang kuasa, raja tersebut membenarkan Damocles duduk di atas takhta, tetapi dengan sebilah pedang tajam di atas kepalanya yang digantung dengan menggunakan sehelai rambut kuda.

Pada 1963, Kennedy sekali lagi memberi amaran bahawa AS akan menarik balik sokongannya jika Israel tidak patuh. Tetapi, Ben-Gurion secara tiba-tiba meletak jawatan. Kennedy pula dibunuh beberapa bulan kemudian.

Ahli sejarawan Martin Sandler berkata ada kemungkinan agensi perisikan Israel, Mossad, terlibat dalam usaha menghentikan tekanan oleh AS. Namun, teori ini masih dianggap kontroversial.

Selepas kematian Kennedy, Presiden AS seterusnya, Lyndon B. Johnson, melonggarkan tuntutan AS dan membenarkan program nuklear Israel diteruskan tanpa kawalan.

Meskipun Israel tidak pernah mengisytiharkan senjata nuklearnya secara rasmi, bukti yang ada sangat kukuh. Bukti paling nyata muncul pada 1986 apabila juruteknik nuklear Israel, Mordekhai Vanunu, membocorkan gambar dan butiran teknikal program nuklear Israel kepada akhbar The Sunday Times di UK. Beliau kemudian diculik oleh Mossad, dibawa pulang ke Israel dan dipenjarakan selama 18 tahun.

Bekas Presiden AS Jimmy Carter dan bekas Setiausaha Negara Colin Powell juga pernah mengakui kewujudan senjata nuklear Israel secara terbuka.

Nampaknya wujud persefahaman antara AS dan Israel – selagi Israel tidak menguji senjata nuklearnya secara terbuka, AS dan sekutunya akan pandang ke arah lain.

Sekarang, kita kembali kepada Iran. Di bawah NPT, Iran diberi kebenaran untuk membangunkan tenaga nuklear secara aman, tetapi bukan senjata.

Dengan pengawasan ketat oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), kemudahan nuklear Iran telah diperiksa ribuan kali, tanpa sebarang bukti bahawa ia mempunyai program senjata.

Maka, agak ironik apabila Israel bermati-matian mahu menghentikan program nuklear Iran – yang sebenarnya sah di sisi undang-undang antarabangsa – atas alasan bahawa Iran mengancam kewujudan Israel.

Betul ke?

Ahli sejarawan Israel-British Avi Shlaim tidak bersetuju.

Beliau berkata Iran bukan ancaman kepada kewujudan Israel, tetapi hanya ancaman strategik. Iran tidak pernah menyerang jirannya, tetapi Israel telah melakukan perkara itu berulang kali. Iran menandatangani perjanjian. Tetapi Israel tidak berbuat demikian. Iran membenarkan pemeriksaan oleh IAEA. Teapi Israel tidak. Iran tiada senjata nuklear. Tapi Israel memiliki sehingga 400 hulu ledak. Jadi kesimpulannya, Israellah yang sebenarnya mengancam kewujudan Iran.

Jadi apabila sebuah negara seperti Iran diserang kerana program nuklear yang tidak pernah menghasilkan bom, sukar untuk kita tutup mata dengan sikap dua darjat ini.

Setiap negara nuklear berkata kepada dunia: “Percayalah pada kami. Kami bertanggungjawab.” Tapi tiada satu pun yang melucutkan senjatanya.

Jika senjata nuklear memberi kuasa dan keselamatan, bagaimana dunia boleh secara realistik meminta mana-mana negara untuk tidak memilikinya?

Negara seperti Korea Utara belajar satu perkara: Jika anda mahukan keselamatan untuk rejim anda, mesti ada bom!

Dan negara seperti Iran? Mereka ikut peraturan – tetapi masih dihukum.

Tiada bukti bahawa Iran sedang membangunkan senjata nuklear. Namun, tindakan agresif yang dimulakan oleh Israel, disokong oleh AS dan sekutunya, mungkin akan menyebabkan perubahan dasar.

Hakikatnya, tiada negara yang boleh memonopoli dakwaan bahawa mereka mempunyai moral yang tinggi apabila bercakap tentang senjata nuklear.

Negara-negara nuklear yang lebih baharu membina senjata mereka dalam bayang-bayang dan hipokrasi sistem sedia ada.

Negara seperti Israel diberi laluan khas, manakala Iran pula melihat bahawa mematuhi peraturan tidak memberi jaminan perlindungan.

Jadi kami tinggalkan anda dengan persoalan ini: Siapa yang layak memiliki bom nuklear? Dan lebih penting lagi… apa justifikasi untuk mana-mana pihak memilikinya?

Itu sahaja untuk episod kali ini. Terima kasih kerana mendengar. Episod Santapan Minda ini adalah adaptasi daripada artikel di TRT World.

Audio lain
Fokus Hari Ini | 15 Ogos, Jumaat
Iman Jadi Sasaran
Pergelutan Kuasa Nadir Bumi
Gangguan Bekalan Tenaga
Rohingya: Krisis yang dilupakan
Kebangkitan Peperangan Tentera AI
Menjejak Bunyi
Beban Dunia: Krisis Obesiti
Kenapa Ada Pasport Yang Lebih Kuat Dari Yang Lain?
Bahaya satelit Starlink
Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us