logo
Iman Jadi Sasaran
06:51
06:51
Dunia
Iman Jadi Sasaran
Memahami kenapa Islamofobia meningkat di Perancis, daripada warisan penjajahan kepada undang-undang dan retorik sayap kanan. Episod ini mengupas apa yang berlaku apabila fahaman sekular dijadikan alat diskriminasi.
4 Ogos 2025

Ucapan kebencian, undang-undang diskriminasi, dan serangan terhadap umat Islam semakin meningkat di Perancis.

Idea sayap kanan kini tersebar luas di kebanyakan negara Eropah, sebahagiannya berpunca daripada perang Israel di Gaza. Islamofobia bukan lagi satu fenomena tersembunyi; ia kini menjadi perkara biasa, terutamanya di Perancis.

Islamofobia di Perancis dilihat sebagai cerminan masa silam penjajahannya. Isu semasa seperti sekularisma, imigrasi, dan identiti nasional memainkan peranan besar, tetapi warisan penjajahan Perancis — terutama di Afrika Utara — menjadi asas kepada banyak ketegangan hari ini.

Adakah apa yang berlaku kini merupakan kesinambungan masa lalu?

Anda sedang mendengar Santapan Minda oleh TRT Global podcasts. Rancangan ini membawakan artikel TRT Global dalam bentuk audio. Dalam episod ini, kami mengadaptasi artikel bertajuk "Islamophobia in France: Colonial Roots and Contemporary Continuities" oleh Samir Hamma, yang diterbitkan pada 14 Mac 2025.

Perancis pernah menjajah sebahagian besar wilayah di Afrika Utara dan Barat — terutama Algeria, Maghribi, Tunisia, dan sebahagian daripada Sahel. Kebanyakan jajahan ini mempunyai majoriti penduduk Muslim, namun Islam sering digambarkan sebagai mundur atau tidak selari dengan "peradaban" Perancis.

Ramai pakar berpendapat Islamofobia hari ini mempunyai kaitan dengan penjajahan Perancis di Algeria.

Sejarawan dan aktivis anti-perkauman Youssef Boussoumah berkata, "Penjajahan bukan hanya soal tanah. Ia juga tentang mengawal budaya dan agama. Islam dianggap sebagai masalah."

Semasa penjajahan, Perancis meletakkan hierarki antara pelbagai kaum dan budaya. Umat Islam di tanah jajahan sering dinafikan hak kewarganegaraan penuh melainkan mereka meninggalkan sebahagian aspek agama mereka. Sebagai contoh, pada 1881, kerajaan kolonial memperkenalkan Kod Hak Orang Asal, yang menafikan hak warga Muslim Algeria, mengehadkan pergerakan mereka, dan menjadikan amalan Islam sebagai satu kesalahan.

Pada 1905, Perancis menggubal "Undang-Undang Pemisahan Gereja dan Negara". Undang-undang asas ini meletakkan prinsip sekularisma sebagai asas republik itu.

Walaupun undang-undang ini asalnya disasarkan kepada Gereja Katolik, hari ini ia sering digunakan dalam perdebatan mengenai kehadiran orang Islam dalam ruang awam — seperti larangan hijab di sekolah atau penutup muka di tempat awam.

Pengkritik seperti Rima Hassan, iaitu Ahli Parlimen Eropah, berhujah bahawa sekularisma sering digunakan secara tidak seimbang, menyasarkan amalan orang Islam lebih daripada agama lain.

Beliau berkata, "Penjajahan di Algeria sangat Islamofobik. Ia melarang al-Quran, menutup masjid, dan memaksa wanita membuka tudung."

Kata Rima, undang-undang pada hari ini, seperti Undang-Undang Anti-Pemisahan 2021, mengulangi sejarah lampau. Undang-undang ini mengetatkan kawalan ke atas kumpulan dan sekolah agama Islam. Ramai berpendapat ia disasarkan khusus kepada masyarakat Muslim.

Baru-baru ini, beberapa ahli parlimen sekali lagi cuba untuk melarang wanita Muslim daripada memakai tudung semasa bersukan, dengan menggunakan sekularisma sebagai alasan. Pengkritik berkata ini adalah penyalahgunaan sekularisme untuk menyingkirkan golongan tertentu.

Rima Hassan berkata, "Ini bukan sekadar perkauman yang melibatkan individu. Ini adalah Islamofobia yang melibatkan institusi. Pihak kerajaan meletakkan pakaian dan sekolah orang lslam, serta aktiviti sukan sebagai sasaran."

Bahasa yang digunakan juga tidak banyak berubah sejak zaman penjajahan. Dulu, orang Islam digambarkan sebagai kolot dan berbahaya. Kini, Islam dikaitkan dengan keganasan, dan pemakaian tudung dianggap sebagai menindas.

Youssef Boussoumah berkata ini adalah idea yang sama, cuma dalam bentuk moden.

Beliau berkata Perancis menuntut orang Islam untuk berasimilasi sepenuhnya, tetapi masih menafikan hak sama rata.

Serangan Islamofobik semakin meningkat. 

Pada 25 April 2025, seorang lelaki muda dari Mali, Aboubakar Cisse ditikam hingga mati di dalam sebuah masjid di selatan Perancis. Penyerangnya merakam pembunuhan kejam itu sambil melaungkan kata-kata anti-Muslim, dan kemudian memuat naik rakaman ke Snapchat sebelum melarikan diri dari negara itu.

Suspek, yang dikenali media sebagai Olivier A., merupakan warganegara Perancis yang dilahirkan pada 2004. Beliau melarikan diri selama tiga hari sebelum menyerah diri kepada polis.

Menurut laporan media, beliau dihantar dari Itali ke mahkamah di bandar Nimes, selatan Perancis. Dia berdepan tuduhan "pembunuhan dengan niat awal dan kerana motif perkauman atau agama".

Pembunuhan Cisse mencetuskan kemarahan di Perancis.

Pada mulanya, pemimpin kerajaan enggan mengklasifikasikan pembunuhan itu sebagai jenayah kebencian. Mereka menggambarkannya sebagai tindakan terpencil yang dilakukan oleh individu tidak waras, bukan sebagai cerminan masalah yang lebih besar.

Hasilnya, ramai yang turun ke jalan untuk membantah insiden tersebut.

Dua bulan sebelum Cisse dibunuh, sebuah bilik solat milik kumpulan Franco-Turki di Jargeau dirosakkan dalam satu serangan pada 27 Februari. Jelas ia merupakan serangan anti-Muslim, namun hanya mendapat liputan media yang terhad.

Namun, kedua-dua insiden ini bukan kes terpencil. Ia mencerminkan gelombang kebencian yang semakin meningkat di Perancis — dan satu kesinambungan masa silam penjajahannya.

Keganasan hari ini mungkin berbeza daripada peristiwa dahulu seperti Perang Algeria atau pembunuhan beramai-ramai di Sétif, namun diskriminasi masih kekal.

Apa yang boleh dilakukan? Rima Hassan berkata Perancis mesti berani berdepan dengan sejarah penjajahannya.

"Islamofobia tidak muncul begitu sahaja," katanya. "Ia dibina atas asas sejarah yang masih tidak diselesaikan."

Tanpa kebenaran dan keadilan, kesamarataan tidak akan tercapai. Baru-baru ini, wartawan Jean-Michel Apathie digantung kerja kerana bercakap tentang keganasan penjajahan di Algeria. Reaksi keras terhadap beliau cukup menggambarkan situasi semasa. Perancis masih bergelut untuk berdepan dengan masa silamnya.

Sekian sahaja untuk episod kali ini. Terima kasih kerana mendengar, dan sehingga kita bertemu lagi — terus dapatkan maklumat tepat! Episod Santapan Minda ini merupakan adaptasi daripada artikel terbitan TRT Français.

Audio lain
Fokus Hari Ini | 6 Ogos, Rabu
Pergelutan Kuasa Nadir Bumi
Gangguan Bekalan Tenaga
Rohingya: Krisis yang dilupakan
Kebangkitan Peperangan Tentera AI
Menjejak Bunyi
Beban Dunia: Krisis Obesiti
Kenapa Ada Pasport Yang Lebih Kuat Dari Yang Lain?
Bahaya satelit Starlink
Adakah Nama Boleh Mempengaruhi Takdir Anda?
Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us