Kabinet keselamatan Israel lulus rancangan Netanyahu duduki semula Bandar Gaza
Kabinet keselamatan Israel telah meluluskan rancangan kontroversi Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk menduduki semula Bandar Gaza.
Susulan mesyuarat kabinet yang bermula pada Khamis, keputusan itu diumumkan pada awal Jumaat.
Rancangan Netanyahu itu akan menyaksikan tentera Israel menduduki semula wilayah bergolak itu, di mana 75 peratus daripadanya sudah pun berada di bawah penjajahan Israel.
Ribuan rakyat Israel bantah rancangan Netanyahu menduduki semula Gaza
Di bandar-bandar di Israel, ribuan orang turun ke jalan raya kerana marah dengan rancangan pendudukan semula Gaza oleh Netanyahu, dan menyeru satu perjanjian dicapai bagi membebaskan tebusan Israel.
Di Baitulmaqdis Barat, keluarga tebusan berkumpul di luar ibu pejabat kerajaan sambil memegang gambar tahanan yang terlibat. Orang ramai turut berkumpul di luar pejabat Parti Likud Netanyahu di Tel Aviv sambil menuntut beliau membuat perjanjian dengan Hamas.
Protes turut diadakan di Haifa dan Negev, di mana penunjuk perasaan melaungkan sentimen yang sama seperti "Bawa mereka pulang."
Keputusan gencatan senjata Rusia-Ukraine 'terserah kepada Putin', kata Trump
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata keputusan gencatan senjata perang Rusia-Ukraine terserah sepenuhnya kepada Vladimir Putin.
Bercakap kepada pemberita di Rumah Putih, Trump berkata beliau "sangat kecewa".
Apabila ditanya sama ada Putin dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy perlu bertemu dahulu sebelum mesyuaratnya dengan Putin, Trump kata "tidak".
UAE tolak dakwaan Sudan bom pesawat guna tentera upahan
Emiriah Arab Bersatu menyangkal tuduhan yang dibuat angkatan tentera Sudan baru-baru ini.
Pada sehari sebelum, TV kerajaan Sudan mendakwa tentera udaranya telah memusnahkan sebuah pesawat Emirati di lapangan terbang Nyala di Darfur — sebuah kawasan yang dikawal oleh Pasukan Sokongan Pantas separa tentera — dan membunuh sekurang-kurangnya 40 tentera upahan dari Colombia.
Namun, kementerian luar UAE berkata dakwaan itu "tidak berasas", sambil menyifatkannya sebagai "aksi PR", dan menuduh Sudan cuba mengalihkan perhatian daripada peranannya dalam perang saudara yang masih berterusan.
Negeri Assam di India rancang beri senjata kepada rakyatnya untuk lawan 'warga haram Bangladesh'
Di negeri Assam, di timur laut India yang betul-betul bersempadan dengan Bangladesh, ketua menterinya berkata kerajaan akan mula mengeluarkan lesen senjata api kepada penduduk "asal" - satu langkah yang kini membimbangkan umat Islam di situ.
Himanta Biswa Sarma, yang mengetuai kerajaan nasionalis Hindu di negeri itu, mendakwa masyarakat asal Assam berdepan ancaman "dari pihak Bangladesh dan dalam kampung mereka sendiri".
Assam mempunyai sejarah ketegangan etnik, linguistik dan agama, yang pernah menyaksikan tragedi berdarah beberapa dekad yang lalu. Dengan undang-undang senjata api yang ketat di India, ramai pengkritik menyifatkannya sekadar teater politik.