Dari Washington ke Beijing, beberapa negara sedang berlumba-lumba mendapatkan mineral nadir bumi yang penting untuk teknologi seperti kenderaan elektrik dan sistem pertahanan canggih.
Namun tidak ramai yang bertanya: mengapa nama-nama mineral kritikal ini kedengaran seperti dipetik dari novel fantasi?
Prometium, neodimium, tulium… bunyinya seperti mantera daripada Harry Potter, tetapi sebenarnya ia adalah unsur nadir bumi yang penting bagi dunia moden kita.
Nama-nama pelik ini membawa kisah menarik tentang kesilapan saintifik, inspirasi mitologi dan cita-cita kebangsaan yang membara sepanjang 300 tahun.
Kesemua 17 unsur nadir bumi ini, meskipun namanya mengelirukan, sebenarnya mereka bukanlah “nadir” mahupun “bumi”.
Kekeliruan linguistik ini bermula pada 1788 apabila seorang pelombong di Sweden menemui batu hitam yang kelihatan luar biasa berhampiran kampung Ytterby.
Bijih itu dipanggil “nadir” kerana ia belum pernah dilihat sebelum itu dan “bumi” kerana itulah istilah geologi abad ke-18 bagi batu yang boleh larut dalam asid.
Salah faham ini hanyalah permulaan kepada perjalanan pemberian nama yang melibatkan api yang dicuri dari dewa-dewa Yunani purba, identiti yang tersilap, dan tanah mitos di hujung dunia.
Unsur yang dinamakan sempena pencuri api
Daripada semua nama unsur nadir bumi, prometium membawa makna simbolik yang paling mendalam.
Para saintis menemui unsur radioaktif ini pada 1945, iaitu waktu yang sama projek bom atom sedang dijalankan di Makmal Kebangsaan Oak Ridge di Tennessee.
Penemuan itu berlaku pada masa yang paling dramatik — ketika manusia pertama kali membelah atom dan menyaksikan kemusnahan nuklear yang mengakhiri Perang Dunia Kedua serta meninggalkan kesan mendalam kepada generasi seterusnya.
Para saintis Amerika memerlukan satu nama yang dapat mencerminkan kejayaan dan kegerunan daripada hasil pencapaian mereka ini.
Mereka merujuk kepada mitologi Yunani, di mana Prometheus adalah Titan yang mencuri api dari Gunung Olympus. Dia kemudian memberikannya kepada manusia, sekali gus membolehkan tamadun berkembang, namun dia dihukum secara kekal – seekor helang akan memakan hatinya setiap hari, dan hatinya akan tumbuh semula setiap malam.
Para saintis menjelaskan mengapa mereka memilih nama Prometheus, “yang mencuri api dari syurga untuk kegunaan manusia dan kerana keberaniannya, dirantai di gunung oleh para dewa dan diserang burung helang. Nama ini bukan sahaja melambangkan cara dramatik unsur ini dapat dihasilkan dalam kuantiti besar hasil penguasaan manusia terhadap tenaga pembelahan nuklear, tetapi juga memberi amaran kepada manusia tentang bahaya hukuman yang menanti.”
Grace Mary Coryell, isteri kepada salah seorang penemu unsur itu, mencadangkan nama tersebut. Para saintis menyatakan nama ini akan melambangkan “kedegilan secara berani serta potensi penyalahgunaan kecerdasan manusia.”
Perkampungan Sweden yang memberi nama kepada empat unsur
Bayangkan sebuah perkampungan perlombongan kecil menjadi begitu terkenal sehingga ia berjaya menamakan bukan satu, tetapi empat unsur dalam jadual berkala. Itulah kisah luar biasa Ytterby di Sweden.
Kuari di perkampungan ini, yang beroperasi dari akhir 1700-an hingga 1933, menghasilkan mineral yang mengandungi sembilan unsur nadir bumi.
Para saintis menghargai produktiviti kawasan ini dengan menamakan sebahagian besar unsur tersebut sempena nama perkampungan itu: yttrium, erbium, terbium, ytterbium; serta scandium (sempena Scandinavia); holmium (sempena Stockholm); dysprosium (bermaksud “sukar diperoleh”) dan lutetium (berasal daripada nama Latin bagi Paris, tempat unsur itu berjaya diasingkan).
Sekeping lagi bijih hitam yang serupa didapati mengandungi satu lagi unsur, yang kemudian dinamakan gadolinium.
Tiada tempat lain di dunia yang memberi nama kepada sebegitu banyak unsur.
Perlumbaan memberi nama-nama ini tidak berhenti di situ. Apabila ahli kimia Per Teodor Cleve menemui satu lagi unsur pada 1879, beliau ingin menghormati warisan purba Scandinavia. Beliau memilih nama thulium, sempena Thule, yang dipercayainya sebagai nama purba bagi Scandinavia.
Namun, Cleve terlepas pandang sesuatu. Walaupun Thule sering dikaitkan dengan Scandinavia purba, “ultima Thule” membawa maksud sempadan terakhir dunia — sebuah tanah mitos yang begitu jauh dan tidak dapat dicapai, sehingga tiada siapa pernah menjejakkan kaki ke sana.
Dalam peta zaman pertengahan, Thule terletak jauh di luar dunia yang dikenali, menjadikannya lebih sebagai simbol kepada perkara yang tidak diketahui, berbanding sebuah lokasi sebenar.
Cleve malah tersilap eja pada awalnya, mencadangkan “Thullium” dengan dua huruf L. Unsur baharunya dinamakan sempena tempat yang mungkin sebenarnya tidak pernah wujud.
Persaingan antara negara
Perlumbaan untuk menamakan unsur-unsur baharu turut mencerminkan semangat nasionalisme saintifik pada abad ke-19.
Ahli kimia Eropah bersaing sengit untuk menuntut penemuan tersebut, didorong oleh rasa bangga terhadap negara masing-masing.
Carl Auer von Welsbach merupakan salah seorang daripada mereka. Beliau belajar di bawah bimbingan Robert Bunsen di Universiti Heidelberg pada 1880-an. Bunsen merupakan antara ahli kimia paling berpengaruh pada zamannya dan terkenal kerana mencipta “penunu Bunsen”, alat yang menjadi asas dalam makmal kimia di seluruh dunia.
Latihan Welsbach di bawah Bunsen meletakkannya dalam aliran kimia Jerman yang berkuasa, yang ketika itu bersaing hebat dengan penyelidik dari Sweden dan Perancis.
Sering kali, beberapa saintis mendakwa membuat penemuan yang sama, berlumba-lumba untuk menamakan unsur baharu sempena bandar mereka sendiri.
Pada 1926, ahli kimia Itali mendakwa mereka telah menemui unsur ke-61 dan mencadangkan nama “florentium” bagi menghormati Florence.
Pada tahun yang sama, saintis Amerika pula mencadangkan nama “illinium”, merujuk kepada Universiti Illinois. Namun kedua-dua pasukan itu tersilap; unsur ke-61 sebenarnya belum berjaya diasingkan.
Ia hanya dikenal pasti dan disahkan pada 1945, dan dinamakan “prometium”.
Implikasi moden
Hari ini, nama-nama mitologi dan geografi ini membawa makna baharu.
China kini menguasai kira-kira 69 peratus pengeluaran nadir bumi global, bermakna unsur-unsur yang dinamakan sempena perkampungan Sweden, tokoh Yunani purba dan tempat seperti Scandinavia kini menjadi tenaga penggerak dalam elektronik dan kenderaan elektrik buatan China di seluruh dunia.
Unsur “pencuri api” prometium digunakan dalam bateri nuklear, meneruskan kaitannya dengan tenaga atom. Unsur-unsur “kembar” pula digunakan dalam pembuatan magnet berkuasa tinggi bagi turbin angin dan motor elektrik.
Memahami nama-nama ini dapat membantu kita memahami bahan-bahan asas yang menjadi nadi kepada perlumbaan global untuk tenaga bersih dan usaha memerangi perubahan iklim.
Kerana di sebalik setiap nama unsur yang kedengaran seperti pelik, tersembunyi kisah manusia — tentang cita-cita, persaingan, kesilapan dan detik inspirasi yang diilhamkan dari dunia purba.