Usaha menyelesaikan ketegangan antara Thailand dan Kemboja berhubung sempadannya dijangka dapat diselesaikan menjelang Khamis ini, menurut Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim.
Berucap di Parlimen pada Selasa, Anwar mengesahkan pegawai kanan tentera dari kedua-dua negara kini berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri rundingan yang dikoordinasikan oleh Malaysia menerusi inisiatif damai yang disokong ASEAN.
“Kita ucapkan terima kasih kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia yang telah membantu menyelaras pertemuan ini,” kata Anwar semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
“Kita harap satu kata sepakat dapat dicapai, yang difasilitasi oleh Malaysia, sebelum atau pada 7 Ogos kerana Menteri Pertahanan Kemboja dan Thailand akan turut hadir untuk memuktamadkan persetujuan.”
Pertemuan ini merupakan fasa penting dalam campur tangan diplomatik Malaysia, susulan persetujuan gencatan senjata tanpa syarat pada 28 Julai lalu yang dicapai dalam sidang khas di Putrajaya yang dipengerusikan oleh Anwar. Sidang itu turut dihadiri Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai.
Mengenai peranan Malaysia yang menjadi orang tengah dalam usaha gencatan senjata itu, Anwar menjelaskan negara-negara anggota ASEAN telah menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif berkenaan.
“Semua bersetuju menghantar pegawai diplomatik pertahanan masing-masing untuk terus memantau keadaan. Mesyuarat di Kuala Lumpur ini akan dikendalikan oleh pegawai diplomatik pertahanan Malaysia dengan kehadiran pegawai diplomatik pertahanan negara-negara ASEAN,” katanya.
Amerika Syarikat dan China turut hadir sebagai pemerhati, menandakan kepentingan geopolitik dalam ketegangan ini. Namun, Anwar menegaskan inisiatif tersebut diterajui sepenuhnya oleh Malaysia dengan sokongan ASEAN.
“Ini adalah inisiatif Malaysia yang mendapat sokongan penuh ASEAN,” jelasnya, sambil merakamkan penghargaan kepada kedua-dua kerajaan Thailand dan Kemboja atas komitmen positif mereka dalam mencari penyelesaian.
Rundingan yang sedang berlangsung dijangka selesai dengan Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (General Border Committee Meeting) seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua pemimpin dalam sidang terdahulu. Sekiranya berjaya, persetujuan ini akan menjadi pencapaian diplomatik penting bagi usaha keselamatan serantau yang diterajui ASEAN.