PUTRAJAYA – Kementerian Luar Negeri Malaysia mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya keputusan rejim Zionis Israel untuk melancarkan pengambilalihan ketenteraan penuh ke atas Gaza, memberi amaran bahawa tindakan itu boleh mengakibatkan pendudukan kekal ke atas tanah Palestin yang melanggar undang-undang antarabangsa dan prinsip hak asasi manusia.
Selepas 22 bulan pengeboman tanpa henti, kepungan, serta pemindahan paksa lebih 90 peratus penduduk Gaza – bertujuan untuk menghapuskan penyelesaian dua negara.
"Tindakan Israel ini jika diteruskan akan menghancurkan sebarang harapan keamanan dan menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri," tegas kenyataan tersebut.
Malaysia menyeru komuniti antarabangsa agar menolak dasar aparteid Israel dan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara. Malaysia juga mendesak gencatan senjata kekal serta pengunduran segera tentera Israel dari Gaza, di samping menamatkan sekatan terhadap bantuan kemanusiaan dan memastikan akses tanpa halangan untuk bantuan kecemasan. Tambahan lagi, Malaysia menyokong kemasukan penuh Palestin sebagai ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia yang tidak berbelah bahagi dalam mempertahankan hak rakyat Palestin, bukan sekadar melalui kenyataan tegas di peringkat antarabangsa, tetapi juga melalui kerjasama erat dengan pemimpin serantau dan global.