Thailand kini membenarkan pelancong asing menukar pegangan aset digital mereka kepada mata wang baht bagi membiayai perbelanjaan ketika melancong di negara itu, menurut laporan Bloomberg.
Menteri Kewangan Pichai Chunhavajira berkata langkah itu sebahagian daripada usaha kerajaan mempromosikan inovasi serta menyokong penggunaan aset digital untuk merangsang industri pelancongan negara.
“Kita mahu mengambil setiap tindakan untuk memudahkan pelancong asing sepanjang berada di Thailand,” katanya dalam sidang media pada Isnin.
Program yang dinamakan TouristDigipay itu akan bermula suku keempat tahun ini dengan tempoh percubaan selama 18 bulan melalui kerangka kawal selia ‘regulatory sandbox’. Bagaimanapun, aset digital tidak boleh digunakan terus sebagai kaedah pembayaran barangan atau perkhidmatan – ia hanya boleh ditukar kepada baht dan peniaga hanya akan menerima bayaran dalam mata wang tempatan.
“Kemudahan baharu ini turut menambah baik kaedah pembayaran sedia ada dan menggantikan kebergantungan pelancong asing terhadap tunai atau kad kredit,” kata Pichai lagi.
Langkah tersebut diambil ketika Thailand berdepan penurunan ketibaan pelancong dari China susulan kebimbangan keselamatan. Kerajaan kini menyasarkan peningkatan pelancong dari Asia Barat dan Asia Tenggara bagi mengimbangi kejatuhan 33 peratus pelancong China pada separuh pertama tahun ini, susulan laporan penculikan pelakon China Wang Xing berhampiran sempadan Thailand-Myanmar.
Agensi perancangan utama Thailand pada Isnin turut menurunkan unjuran ketibaan pelancong asing tahun ini kepada 33 juta berbanding 37 juta sebelum ini, disebabkan kemerosotan kedatangan pelancong dari China.