ASIA
2 min membaca
Malaysia ketuai misi pemerhati ASEAN di sempadan Thailand-Kemboja
Misi tersebut melibatkan 14 wakil dari lapan negara anggota ASEAN iaitu Malaysia, Brunei, Laos, Indonesia, Myanmar, Filipina, Singapura dan Vietnam.
Malaysia ketuai misi pemerhati ASEAN di sempadan Thailand-Kemboja
Pasukan Pemerhati Interim melawat kawasan Kompleks Kuil Preah Vihear, iaitu Tapak Warisan Dunia UNESCO di Kemboja. / AP
20 Ogos 2025

Atase Pertahanan Malaysia ke Thailand Brig Jen Samsul Rizal Musa mengetuai pasukan pemerhati interim ASEAN dalam misi pemantauan pelaksanaan gencatan senjata di sempadan Thailand-Kemboja.

Lawatan tiga hari itu bermula pada Isnin hingga Rabu bersama-sama tuan rumah Angkatan Tentera Diraja Thailand, menurut laporan Bernama.

Misi tersebut melibatkan 14 wakil dari lapan negara anggota ASEAN iaitu Malaysia, Brunei, Laos, Indonesia, Myanmar, Filipina, Singapura dan Vietnam. Kawasan yang ditinjau termasuk wilayah Ubon Ratchathani, Si Sa Ket dan Surin, yang sebelum ini menjadi lokasi panas yang mencetuskan perselisihan antara kedua-dua negara.

Samsul menegaskan komitmen pasukan pemerhati untuk memastikan proses gencatan senjata berlangsung secara telus, adil dan tanpa berat sebelah. “Tugas kami adalah memerhati pelaksanaan perjanjian gencatan senjata oleh kedua-dua negara serta mengumpul maklumat, data dan fakta supaya proses ini kekal telus,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Angkatan Tentera Thailand berkata lawatan bermula dengan taklimat insiden di Hospital Kem Sunphasitthiprasong, sebelum pemeriksaan lapangan dilakukan di beberapa lokasi strategik.

Tentera Thailand menegaskan komitmen menyelesaikan pertikaian secara aman, selaras prinsip ASEAN dan undang-undang antarabangsa, namun tetap mempertahankan kedaulatan serta keselamatan rakyatnya jika berlaku pelanggaran gencatan senjata.

Pasukan pemerhati interim ini merupakan hasil persetujuan mesyuarat luar biasa Jawatankuasa Sempadan Umum Thailand-Kemboja (GBC) di Kuala Lumpur pada 7 Ogos lalu. Peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, bersama Amerika Syarikat dan China sebagai pemerhati, dilihat penting dalam meredakan ketegangan antara kedua-dua negara jiran itu.

Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us