ASIA
2 min membaca
Malaysia tegas tangani ancaman pengintipan, pertahankan kedaulatan – Menteri
Ancaman pengintipan adalah isu yang dipandang serius oleh Malaysia dan perlu ditangani dengan menyeluruh memandangkan keadaan geopolitik kini.
Malaysia tegas tangani ancaman pengintipan, pertahankan kedaulatan – Menteri
Sebarang bentuk ancaman terhadap kedaulatan dan keselamatan Malaysia akan dihadapi dengan tindakan undang-undang yang paling tegas. / AA
9 jam yang lepas

KUALA LUMPUR—Kerajaan Malaysia akan terus memperkukuh pertahanan keselamatan negara bagi menangani secara tegas dan berterusan ancaman aktiviti pengintipan yang disyaki didalangi oleh agensi perisikan asing, menurut Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam kenyataan yang dibentangkan di Parlimen pada hari Khamis, beliau menegaskan bahawa sebarang bentuk ancaman terhadap kedaulatan dan keselamatan negara akan dihadapi dengan tindakan undang-undang yang paling tegas tanpa sebarang kompromi.

Menyentuh ancaman pengintipan dalam keadaan geopolitik kini dengan pendirian tegas Malaysia tentang genosid yang di Gaza, Saufiddin berkata, “Yang jelas ialah ianya satu potensi ancaman yang sangat serius, terutama dalam keadaan geopolitik negara sekarang.” Beliau turut menambah bahawa ketegasan ahli politik Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai isu gaza dengan mengkritik negara-negara terlibat serta memperjuangkan Palestin boleh menjadikan Malaysia sebagai sasaran pengintipan.

Kewaspadaan dan langkah proaktif disebut sebagai kunci dalam menangani isu ini, sepertimana dalam kes penyiasat persendirian Nidarahayu Zainal yang telah berjaya ditahan pada Oktober 2022 atas syak menjadi ejen kepada agensi perisikan Israel, Mossad. Nidarahayu dikatakan menerima bayaran sebanyak RM100,000 untuk tujuan menculik dua warga Palestin di ibu negara. 

Ancaman seumpama ini bukanlah sesuatu yang baru, menurut Saifuddin. Beliau merujuk kepada insiden pada tahun 1981 yang membabitkan penahanan seorang setiausaha politik yang didapati menjadi ejen KGB Soviet. 

Dengan taktik yang digunakan semakin matang, termasuk penggunaan rakyat tempatan sebagai pengintip dan sokongan logistik, serta penyamaran sebagai pelancong untuk mengintip lokasi strategik, ternyata cabaran Malaysia dalam isu pengintipan makin mencabar.

Beberapa langkah pencegahan bersepadu telah dan sedang giat dilaksanakan bagi menangani ancaman ini. Melalui Cawangan Khas, polis bukan sekadar bertindak balas, malah menjalankan pemantauan proaktif, meningkatkan kempen kesedaran awam, dan memperkukuh pertahanan siber.

Berkenaan pesalah asing, Saifuddin berkata, tindakan tegas dan menyeluruh akan diambil. “Mereka akan disiasat dan dibawa ke muka pengadilan untuk disabit kesalahan. Setelah menjalani hukuman penjara, pesalah asing akan dihantar ke negara asal.”

Kerjasama erat dengan agensi seperti Jabatan Imigresen serta perkongsian maklumat dengan Interpol dan Aseanapol turut dipertingkat. Kerangka undang-undang sedia ada termasuk Akta Rahsia Rasmi, Kanun Keseksaan, SOSMA, dan AMLA juga memastikan sebarang percubaan spionase boleh dibawa ke muka pengadilan.

Mesej kerajaan disampaikan dengan jelas: Malaysia bersedia mempertahankan kedaulatannya, dan sebarang bentuk ancaman terutamanya spionase akan dihapuskan hingga ke akar umbi.

Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us