Dalam 'The Phoenix of Gaza', Alhelou bercerita tentang Bandar Gaza sebelum ia dihancurkan bom
Dalam 'The Phoenix of Gaza', Alhelou bercerita tentang Bandar Gaza sebelum ia dihancurkan bom
Pembikin filem Yousef Alhelou kembali ke tanah airnya selepas sedekad, merakam kegembiraan, ketabahan dan budaya kehidupan di sebuah tempat yang kini hanya tinggal runtuhan.
10 jam yang lepas

Pada musim panas 2023, pembikin filem Palestin yang berpangkalan di London Yousef Alhelou mengembara ke Gaza dengan misi yang ringkas: merakam detik kehidupan di sebuah kawasan yang lama dilupakan oleh dunia.

Apa yang tidak diketahuinya ialah, secara tak sengaja rakaman itu menjadi sebuah obituari.

The Phoenix of Gaza, sebuah dokumentari berdurasi 48 minit, dirakam hanya beberapa bulan sebelum Israel melancarkan apa yang kini disifatkan Alhelou sebagai “perang pembunuhan beramai-ramai” ke atas wilayah itu.

Ditayangkan buat kali pertama di London pada Februari 2025, dokumentari ini menjadi arkib indah yang menyayat hati tentang Gaza yang kini sudah tiada.

Dalam tempoh dua tahun, Israel telah menggugurkan lebih 85,000 tan bom ke atas Gaza, mengubah wilayah itu menjadi debu. Filem Alhelou kini menjadi arkib, memori dan monumen.

Menerusi lensanya, kita menyaksikan Gaza yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai “Riviera Timur Tengah”, sebuah tempat yang penuh dengan kegembiraan dan semangat berjuang — kini berubah selepas Israel menukarnya menjadi tanah perkuburan mega.

“Kami tak mahu lenyap. Kami tak mahu menyerah kalah,” katanya.

Ini memberi kita peluang untuk melihat satu pandangan dari akar umbi tentang tempat yang kini digambarkan sebagai “Riviera Timur Tengah” dalam video-video yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI).

Gaza sebelum dimusnahkan

Dirakam pada Julai dan Ogos 2023, The Phoenix of Gaza sangat memukau dan indah.

Filem ini bermula di London. Anda akan melihat Alhelou di apartmennya mengemas beg, dengan suaranya teruja semasa bersiap untuk pulang ke Gaza selepas sepuluh tahun tidak menjejakkan kakinya.

Dia menelefon ibunya, yang tidak putus-putus mendoakan keselamatannya, manakala anak lelakinya yang berusia 10 tahun turut muncul di skrin.

“Saya mahu menunjukkan kepada dunia kehidupan rakyat Gaza – kehidupan seharian, hiruk-pikuk yang berlaku di sana,” katanya kepada TRT World.

Namun, Alhelou tidak menyangka bahawa rakaman yang diambil pada Julai dan Ogos 2023 itu akan menjadi artifak sejarah — potret terakhir Gaza sebelum ia dimusnahkan oleh tentera Israel.

Menerusi rakaman dron, anda akan melihat sebuah bandar yang terus menerus menentang kepungan sejak 20 tahun lalu.

Jalan raya yang bersih dengan aliran trafik lancar, bangunan tinggi dihiasi panel solar — dipasang disebabkan keperluan selepas Israel mengebom satu-satunya loji janakuasa Gaza pada 2006.

Berbagai jenis pokok menghiasi bandar, taman-taman dipenuhi keluarga yang bersantai, kanak-kanak bermain dan orang ramai berjalan-jalan di sepanjang pantai Mediterranean yang bersih.

“Kami berjaya mencantikkan dan menghiasi penjara Gaza kami,” kata Alhelou, menekankan ketabahan rakyat yang mengubah “kem tahanan peringkat tinggi” menjadi pusat bandar yang meriah.

Pantai dipenuhi orang ramai, airnya jernih. Bendera Palestin berkibar ketika penunggang ski air meluncur laju. Gambar-gambar ini mencabar naratif bahawa Gaza hanyalah tempat untuk menderita.

Caranya bersahaja: dia berjalan melalui pasar, taman, dan jalan-jalan raya. Dia berbual dengan peniaga, kanak-kanak dan warga tua.

Di sebuah dataran, terdapat arca burung phoenix — lambang majlis perbandaran Gaza — yang menjadi simbol kelahiran semula, satu tema yang bergema sepanjang dokumentari itu.

Beliau turut membawa penonton ke pasar emas purba yang dipenuhi kedai barang kemas, dan ke Masjid Agung Omari yang berusia 1,400 tahun yang kini merupakan tapak lindungan UNESCO, yang kemudiannya menjadi runtuhan akibat bom Israel.

Di Jalan Omar al-Mukhtar, dinamakan sempena pejuang anti-penjajah Libya yang terkenal, restoran dan kedai kelihatan penuh dengan pelanggan — satu pemandangan yang kini sukar dibayangkan memandangkan jalan itu telah musnah.

Di kejiranan Shujayyah tempat Alhelou membesar, kanak-kanak masih bermain di jalan yang pernah dilaluinya pada 1980-an, tanpa menyedari bahawa ramai antara mereka bakal terbunuh dalam serangan udara Israel tidak lama selepas itu.

Dia merakam Istana Pasha yang berusia 700 tahun, tempat Napoleon pernah melawat selama tiga malam, serta Gereja Saint Porphyrius yang dibina pada 1160 — kedua-duanya kini musnah akibat serangan bom.

Dia turut pergi ke kafe-kafe di tepi pantai dan meneroka dunia kulinari Gaza di gerai-gerai makanan jalanan. Dia melawat Hamam Uthmaniyah — tempat istirahat yang terletak berhampiran kawasan kejiranan Yahudi yang wujud sebelum Israel menjajah Palestin.

Dokumentari ini turut menyerlahkan pencapaian pendidikan di Gaza, sebuah tempat yang memiliki salah satu kadar celik huruf tertinggi di dunia mengikut per kapita.

Aktiviti kebudayaan seperti muzik, seni dan majlis perkahwinan menggambarkan “degupan jantung Gaza”, manakala majlis penghargaan pelajar meraikan graduan muda dengan nyanyian dan tarian.

Malah, tanah perkuburan Gaza turut menyimpan kisah. Alhelou meluangkan masa di tanah perkuburan orang Inggeris, di mana 3,500 kubur askar Perang Dunia Pertama dijaga rapi — satu simbol maruah — berbeza dengan ribuan rakyat Palestin yang kini tertimbus di bawah bangunan yang runtuh.

Memperingati mangsa di bawah runtuhan

Beliau meninggalkan Gaza pada hujung Ogos 2023. Kesan perang ini amat mendalam baginya.

“Perang pembunuhan beramai-ramai ini memberi kesan besar kepada saya kerana saya masih tidak percaya bahawa bandar kelahiran saya telah dimusnahkan sehingga tidak dapat dikenali lagi,” katanya.

Kakak sulung Alhelou, Asma, bersama tujuh orang anaknya, terbunuh dalam serangan udara Israel dan masih tertimbus di bawah runtuhan. Ibu bapa serta adik-beradiknya yang sudah berusia masih berada di Gaza, berjuang setiap hari untuk terus hidup dalam kebuluran disebabkan rejim ganas Israel.

Dokumentari yang pada asalnya bertujuan untuk penonton berbahasa Arab itu kini menjadi sebuah elegi — satu usaha untuk “memelihara memori dan warisan Gaza untuk generasi akan datang.”

Perbezaan antara Gaza dahulu dan kini amat memilukan. Dahulu wujud pasar yang meriah, kini hanya tinggal runtuhan. Dahulu kanak-kanak bermain, kini hanya terdapat kawah-kawah besar.

Riviera Gaza — yang disamakan Alhelou dengan Singapura dan Dubai — kini lenyap. Ia telah digantikan dengan lanskap “tanpa infrastruktur, tiada elektrik, tiada air, tiada makanan, tiada tempat untuk dilihat.”

Kebuluran yang sengaja dicipta oleh manusia, didalangi Israel, amat menyayat hati. “Susah untuk saya faham yang kita sedang menghadapi kebuluran dalam abad ke-21,” kata Alhelou.

SUMBER:TRT World
Jenguk TRT Global. Kongsikan maklum balas anda!
Contact us